
KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik yang berteraskan genre rock, Sigma Replacement buat julung kalinya melancarkan pakej album studio bersama novel berjudul Selembut Suara Kirana. Album yang diterbitkan oleh Legasi Sigma Sdn Bhd ini mengandungi 11 buah lagu termasuk sebuah lagu berjudul Bagai Malam yang dinyanyikan oleh seorang artis undangan mereka bagi melengkapkan keseluruhan album ini.
Menurut ketua kumpulan Sigma Replacement, Mohd Rozaimi Bin Mohd Zaini atau senang disapa Amy Sigma, pelancaran pakej album berserta novel ini adalah sebagai satu bentuk pemasaran baharu dalam industri muzik. Dia juga tidak gusar berkenaan jualan album fizikal pada masa ini yang dilihat kurang popular dikalangan pendengar kerana dia yakin peminat novel terutamanya golongan remaja masih lagi membeli novel secara fizikal.

“Ini keunikkan yang kami cuba tonjolkan dimana kisah novel ini bukan hanya sekadar cerita, tetapi secara khasnya novel ini mempunyai lagunya sendiri yang berjudul Selembut Suara Kirana, dalam CD album ini mempunyai 11 buah lagu, dimana 10 lagu daripada Sigma Replacement termasuk 1 lagu bonus track daripada artis undangan kami. Set ini bukan sahaja mempunyai senaskah novel dan CD album, tetapi juga mempunyai T-Shirt eksklusif Sigma Replacement.” Ujarnya yang merupakan anggota asal kumpulan Sigma yang masih kekal semenjak 20 tahun yang lalu.

Selain Amy Sigma yang merupakan pemain gitar dan juga vokalis, Sigma Replacement dibarisi oleh pemuzik yang serba boleh, mereka terdiri daripada Kharul Faizal Bin Bujang atau Pejal Seroja (pemain gitar dan vokalis), Muhammad Jaidil Bin Majid atau Jai (pemain bass dan vokalis), Muhammad Noor Hakim Bin Hashim atau Akim Analogi (pemain dram dan vokalis) dan Muhammad Baihaqi Hakimi Bin Mohd Rozaimi atau Baihaqi (pemain gitar utama dan vokalis). Baihaqi yang merupakan anggota paling muda pernah mengeluarkan single lagu berjudul Kasih Suci ketika usianya 11 tahun pada waktu itu.

Menariknya, kesemua anggota Sigma Replacement ini bukan sahaja boleh bermain pelbagai alat muzik tetapi mereka juga berbakat dalam bidang nyanyian. Oleh kerana setiap anggota mempunyai bakat yang serba boleh, tidak mustahil setiap anggotanya boleh bertukar-tukar posisi dalam kumpulan yang berasal dari Melaka ini.
“Secara langsung nama kumpulan ini diletakkan sebagai Replacement yang mana posisi mereka boleh bertukar kedudukan. Paling penting semua anggota Sigma Replacement adalah kenalan dari rakan-rakan jamming, anak didik, sahabat dan anak sendiri yang disatukan dalam kumpulan ini. Prinsip yang diterapkan sesama ahli adalah dimana kami perlu menerapkan nilai yang paling penting iaitu semangat brotherhood, dan ini pesanan secara umum kepada semua supaya jadi pemuzik yang dihormati dan disegani satu hari nanti.” Jelas Amy ketika ditemui media dipelancaran album dan novel Selembut Suara Kirana bertempat di Konamokapot Cafe, Universiti Malaya, Ahad lalu di sini.

Sementara itu, karya novel Selembut Suara Kirana yang telah dikeluarkan kembali dalam simpanan selepas 25 tahun telah diolah semula oleh Nurin Natasya daripada penulis asalnya iaitu Rossa. Menurut Nurin, dia mengambil masa selama 3 bulan untuk menyiapkan senaskah novel ini demi merealisasikan idea ayahnya sendiri menyebabkan dia terpikat untuk menulis semula novel yang menceritakan kisah kehidupan yang berkaitan tentang muzik, konflik keluarga dan agama.
“Saya terpikat untuk menulis novel ini, kerana saya cuba merealisasikan idea daripada ayah saya beberapa tahun dahulu. Ini adalah olahan ketiga daripada jalan cerita asal. Cuma saya buat ayat dalam novel itu jadi lebih santai untuk orang senang faham baca, sebab kalau kita tengok novel di pasaran, kebanyakannya bahasa mereka bahasa yang aras tinggi, jadi saya jadikan novel ini kepada bahasa yang mudah difahami,” jelas Nurin yang juga merupakan anak kepada Amy Sigma.

Novel Selembut Suara Kirana yang mengisahkan tentang perjalanan hidup sekumpulan remaja berasal dari kampung tetapi mempunyai cita-cita yang tinggi terutamanya dalam bidang seni muzik. Secara lazimnya sudah pasti ramai yang tertanya-tanya berkenaan dengan gerangan ‘Kirana’. Secara ringkasnya Kirana merupakan gadis remaja yang berdarah kacukan berbangsa Cina, tetapi sudah sebati dengan cara kehidupan orang Melayu. Kirana juga mempunyai kaitan dengan Azral iaitu salah seorang anggota Sigma tetapi semuanya akan terjawab di dalam Novel Selembut Suara Kirana.
Bagi Amy, dia mengambil inisiatif kembali ke persada seni atas tanggungjawab mengembalikan era kegemilangan rock 80an yang perlu dikekalkan dalam industri. Dengan pengalaman dan semangat juang yang ada padanya untuk melihat muzik rock ini terus kekal segar, dia sedaya upaya menubuhkan Sigma Replacement yang melibatkan gabungan orang lama dan juga baharu.

Kebanyakan lagu-lagu yang terkandung dalam album Sigma Replacement mempunyai vibe 80an. Menurut Amy karya-karya tersebut dapat mengembalikan memori zaman kegemilangan rock suatu ketika dahulu. Malah susunan lagu dalam album ini juga adalah pilihan beliau sepenuhnya. Antara lagu yang dimuatkan dalam album ini adalah Hasrat, Kehancuran, Persembahan Citraku, Haluan Keinsafan, Gegar, putar dan Selembut Suara Kirana.