KUALA LUMPUR – Kumpulan death metal legenda Malaysia, Silent Death, yang pernah menjadi nadi utama dalam evolusi muzik ekstrem tanah air, kini bangkit semula dengan tenaga baharu, semangat yang diperbaharui, dan misi untuk mengukir babak seterusnya dalam sejarah metal tempatan.
Bukan sekadar nama, Silent Death adalah sebuah institusi yang telah melahirkan karya-karya ikonik seperti “Before the Sunrise” (1992), EP “Break the Silence” (1997), serta album penuh terakhir mereka, “Silent Kiss of Death” (2012). Kini, dengan pelancaran EP terbaru “Morbid Massacre”, kumpulan ini membuktikan bahawa legasi mereka terus relevan, memberi inspirasi kepada generasi baharu pemuzik metal tempatan.

Kembali dengan Semangat Baru
Menurut Ollie Ahmad, pemain dram yang juga satu-satunya anggota asal yang masih meneruskan perjuangan Silent Death, perjalanan untuk menghidupkan semula band ini bukan sesuatu yang mudah.
“Sebenarnya, Silent Death tak pernah menyepi sepenuhnya. Kami sentiasa ada dalam perancangan, cuma masa yang tidak mengizinkan,” kata Ollie.
“Selepas kehilangan arwah Stone, Pink, dan AS, saya tertanya-tanya sejauh mana saya boleh bawa legasi ini seorang diri. Tapi saya tahu, kalau nak teruskan Silent Death, tanggungjawab itu terletak di bahu saya.” Katanya lagi.

Setelah bertahun-tahun menyimpan harapan, titik perubahan muncul sekitar tahun 2020. Ollie bersama vokalis baharu, Zizi Hashim, mula membentuk semula identiti Silent Death. Dengan semangat yang tidak pernah luntur, mereka memulakan sesi jamming, mencari barisan baru, dan akhirnya kembali aktif pada tahun 2023.
Zizi Hashim: Vokalis Wanita yang Mengubah Persepsi
Kemunculan Zizi Hashim sebagai vokalis tunggal Silent Death bukan sahaja mengejutkan ramai, malah mengubah paradigma dalam dunia metal Malaysia yang didominasi oleh lelaki. Menariknya, Zizi bukan asing dalam dunia Silent Death, beliau telah menjadi pengurus band ini sejak 2009 dan pernah mendapat restu arwah Stone sendiri untuk mengisi kekosongan vokal.
“Saya tidak pernah bermimpi untuk menggantikan kehebatan Stone dan tiada siapa yang boleh,” ujar Zizi dengan penuh rendah diri.
“Tapi setiap growl dalam ‘Morbid Massacre’ adalah dedikasi untuk memastikan legasinya terus hidup.” Katanya.

Zizi mengakui peralihan daripada pengurus kepada vokalis adalah perjalanan yang penuh cabaran. Namun, growl beliau yang bertenaga, yang dikatakan memiliki persamaan sehingga 85% dengan gaya vokal Stone, membuktikan beliau layak menggalas tanggungjawab ini.
Moral dan Integriti Tetap Utama
Selain mengangkat semula muzik Silent Death, Zizi dan Ollie juga menekankan pentingnya profesionalisme dan integriti dalam setiap aspek perjalanan mereka.
“Kami mungkin band underground, tapi kami serius dalam soal pengurusan.
“Setiap pembayaran royalti diagihkan secara adil. Kami mungkin tidak menjadi jutawan, tapi prinsip adalah perkara yang kami pegang teguh.” Jelas Zizi.
Kemunculan Semula yang Dinanti: ‘The Resurrection of Emergence’
Silent Death bakal menggegarkan pentas dalam konsert kemunculan semula mereka bertajuk ‘The Resurrection of Emergence: Live in Bagan’ yang akan berlangsung di Mie Thrash Studio, Bagan, Pulau Pinang.
Tiket eksklusif ini terhad kepada hanya 120 orang sahaja, dengan harga RM60 (early bird) dan RM70 (walk-in). Acara penuh brutaliti ini akan bermula tepat jam 8:30 malam, menjanjikan satu malam yang tidak akan dilupakan oleh para peminat metal tanah air.

Sebagai pelengkap kebangkitan ini, Silent Death juga akan melancarkan video muzik terbaru mereka, “Dying Moment”, yang dijangka menggegarkan dunia metal Malaysia.
“Silent Death mungkin telah melalui fasa senyap, tapi legasinya tidak pernah mati.
“Kini, kami kembali dengan lebih kuat, lebih brutal, dan lebih bersedia untuk menggegarkan dunia.” Tegas Ollie.
Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada sejarah metal Malaysia. Dapatkan tiket anda sekarang dan saksikan sendiri kebangkitan Silent Death yang penuh epik!