PUTRAJAYA, 3 DISEMBER 2020 – Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK) menyasarkan 1,000 bekas banduan menyertai program I-Kembali yang dilaksanakan khusus untuk membantu kumpulan itu memperoleh pekerjaan bagi memulakan kehidupan baharu, tahun ini.
Pengerusinya Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad berkata sejak dilancarkan pada 2 Jun lepas, seramai 385 bekas banduan telah menyertai program I-Kembali dengan kebanyakkannya telah memperoleh pekerjaan. Langkah itu bukan sahaja membantu bekas banduan mendapat pekerjaan bahkan mereka boleh diterima semula ke pangkuan masyarakat.

Menurutnya, bekas banduan yang menyertai program I-Kembali akan diberikan pekerjaan di sektor seperti perladangan, perkhidmatan, pekilangan, pertanian dan pembinaan.
Mengenai rasa kecurigaan majikan yang ingin mengambil bekas banduan ini sebagai pekerja, Siti Murni menjelaskan “saya memberikan satu pendekatan yang mudah, mereka ini perlu teruskan kehidupan dan mereka ini anak tempatan, warganegara Malaysia yang sah dan bukan seperti pekerja asing yang kita sendiri tidak tahu mereka ini mempunyai salah laku jenayah atau tidak? dan apabila saya menjelaskan kepada majikan, mereka mengakui ada kebenaran dengan apa yang saya sampaikan. Ini kerana kebanyakan majikan hanya berpandukan kepada pasport dan visa pekerja asing tanpa tahu latar belakang mereka yang sebenar” ujarnya lagi.
“Ramai lagi bekas banduan akan mendaftar dengan program I-Kembali pada minggu depan. Jumlah bekas banduan yang menyertai program ini akan mencecah 1,000 peserta hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi penyerahan kad pengenalan kepada 18 peserta program I-Kembali di Jabatan Pendaftaran Negara di sini, hari ini.
