January 20, 2025

KUALA LUMPUR – Biarpun berbentuk komedi, namun telefilem bertajuk “Bakal Menantu Hajah Noraini”yang disiarkan mengisi slot Panggung RTM di TV1 baru-baru ini sarat dengan pengajaran yang bertepatan situasi pemilihan jodoh yang tepat kepada anak lelaki memiliki susur galur keturunan Syed.

Elemen sinikal atau sindiran secara halus tentang isu individu yang melakukan aktiviti penipuan dalam telefilem arahan Yen Osing ini nyata menjadi apatahlagi dengan kemunculan pelakon-pelakon yang tepat dan berwibawa bagi menghidupkan setiap karakter masing-masing.

Bermula dengan memperkenalkan watak pelakon utama Danial Dashuki dengan gaya bersahaja menjayakan watak Syed Husin yang baru pulang ke kampung selepas menamatkan pengajian di Mesir. Ditambah pula dengan keterujaan ibunya, Hajah Noraini lakonan Khatijah Tan untuk mendapatkan calon yang terbaik dalam kalangan wanita di kampung mereka untuk dijadikan bakal menantu. 

Ketika itulah kemunculan Mona lakonan Nora Danish mula memainkan peranan. Dengan kepakarannya dalam bidang masakan, dia sentiasa mencari peluang untuk mendekati Hajah Noraini dan Syed Husin. Setiap hari ada sahaja lauk-pauk dan kuih muih dihantar kepada dua beranak itu.

Tingkahlaku Mona itu rupa-rupanya kurang disenangi tiga sahabat berbilang kaum yang dilakonkan wataknya oleh Zulin Aziz, Kimberly Chuah, dan Satthiya Kandi. Apatahlagi Mona merupakan orang baru di kampung mereka.

Ada sahaja usaha dilakukan mereka bertiga untuk menggagalkan rancangan Mona menjadi calon menantu Hajah Noraini. Hingga berlaku satu kejadian yang menyebabkan mereka ditangkap oleh Hajah Noraini yang kemudiannya beranggapan mereka dengkikan Mona.

Tiga sahabat itu bergaduh besar menyebabkan peluang semakin terbuka untuk Mona. Hinggalah sehari sebelum Syed Husin dan Mona disatukan, terbongkar satu rahsia besar melibatkan Mona. Lalu apakah rahsia tersebut? Masih adakalah peluang untuk tiga sahahat itu merebut peluang menjadi bakal isteri Syed Husin? Ikuti kesudahannya hanya di RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).