
Catatan Perjalanan Kembara Sabah
(Oleh: Idzham Hadi Sidik)
KALABAKAN destinasi pertama yang menjadi pilihan saya untuk dikunjungi sebaik sahaja menerima surat arahan pertukaran tempat bertugas dari bumi Hang Tuah ke bumi negeri di bawah bayu.
Pada Mac 2018, saya memulakan tugas seperti di arahkan di salah satu jabatan Kerajaan di Kota Kinabalu dan saya bertekad untuk menjelajah ke seluruh negeri Sabah selagi khidmat saya diperlukan di sana.
Keterujaan untuk ke Kalabakan ini berpunca daripada cerita arwah Abah yang pernah bertugas dan terlibat dalam operasi ketenteraan di Tawau semasa Konfrontasi Malaysia-Indonesia 1963.

Tugas pertama saya adalah menerbitkan dokumentari khas bersempena sambutan Hari Malaysia. Ini peluang keemasan saya untuk ke Kalabakan dan saya memilih subjek Batu sumpah Keningau serta Konfrantasi Malaysia – Indonesia.
Perkongsian catatan perjalanan saya dari Kota Kinabalu ke Kalabakan ini bolehlah dijadikan sebagai panduan untuk anda yang berhasrat hendak ke destinasi ini dan mungkin mencari destinasi baharu selain Kundasang serta Ranau yang sudah cukup popular di kalangan pelancong.
Anda boleh pilih untuk memandu sendiri atau menggunakan khidmat agensi pelancongan atau individu kenalan anda bagi kembara dari Kota Kinabalu [latitud 5.97801, longitud 116.0729] ke Kalabakan [latitud 4.41439, longitud 117.4906]. ia membabitkan jarak perjalanan darat sejauh 362 kilometer.




Oleh kerana saya bertugas, maka penjelajahan saya ke Kalabakan pada 2018 itu menggunakan kenderaan jabatan, bermula dari Kota Kinabalu melalui jalan Kimanis menuju ke Keningau. Selepas melintasi pekan Keningau kenderaan saya naiki terus bergerak menuju ke Sook dan kemudiannya ke Nabawan.
Pada masa ini, laluan dari Kota Kinabalu melalui Putatan ke Benoni terus Papar dan Kimanis cukup sibuk dengan kerja kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo. Perjalanan akan mula mendaki Banjaran Crocker dari Bukit Kimanis.
Dari Kota Kinabalu ke Keningau akan mengambil masa antara 2 jam ke 2 jam 30 minit bergantung kepada pemanduan, cuaca dan permintaan anda untuk berhenti bergambar atau membuang air.

Laluan dengan jalan raya berturap melalui Banjaran Crocker ini banyak selekoh, curam dan tinggi mendaki tetapi jalannya lebar ada lorong untuk memintas kenderaan di hadapan. Hati-hati dan sila ikut peraturan.
Sebaik anda tiba di bandar Keningau seelokknya singgahlah untuk mengisi bahan bakar kenderaan, buang air atau membeli makanan untuk kudapan sepanjang perjalanan ke Kalabakan.
Apabila anda sudah berada di Keningau, lokasi yang perlu anda lawati adalah monumen Batu Sumpah Keningau yang terletak di hadapan Muzium Warisan Keningau berdekatan dengan Hotel Perkasa Keningau.

Serba sedikit mengenai Batu Sumpah Keningau yang saya petik informasinya daripada Muzium Warisan Keningau.
‘Batu Sumpah Mengikut Parlambagaan’ merupakan Batu Sumpah yang masih relevan selagi Persekutuan Malaysia masih wujud. Sebelum itu Batu sumpah ini diletakkan di kawasan Jabatan Tanah dan Ukur Keningau kemudian dipindahkan ke Pejabat Daerah Keningau dan akhir sekali ke Muzium Warisan Keningau di pada tahun 2018 sebagai tapak tetapnya.

Batu Sumpah ini telah didirikan dan dirasmikan pada Tahun 1964 sebagai sumpah rakyat pedalaman dalam pembentukkan Malaysia dengan mengenakan 5 syarat utama disebaliknya pula rakyat pedalaman akan taat setia dalam Persekutuan Malaysia. Sehingga sekarang, Batu Sumpah ini masih di kunjungi oleh masyarakat tempatan atau Bobolian untuk menjalankan upacara ‘Moningolig’ .
Satu lagi peristiwa menarik yang menggemparkan negara adalah kejadian bencana Ribut Greg yang berlaku pada 26 Disember 1996 dengan meranapkan puluhan rumah serta korban melebih 200 orang akibat air Sungai Pampang mengganas di Keningau.
Berikut adalah informasi Ribut Greg yang saya petik daripada utusan TV.
Tragedi ribut tropika Greg yang pernah melanda Sabah pada Disember 1996 merupakan salah satu bencana terburuk dalam negara. Ribut yang melanda telah membawa banyak kemusnahan di daerah Keningau, Kota Kinabalu, Tuaran dan Papar.
Difahamkan, lebih 200 mangsa meninggal dunia dan 102 lagi gagal dikesan sehingga hari ini, membabitkan kerugian mencecah RM150 juta.
Mengikut kronologi, serangan ribut yang menakutkan itu melanda daerah Keningau selama lima jam, bermula pada 26 Disember 1996 dari pukul 1:00 pagi dan berakhir sekitar 6:30 pagi. Dalam tempoh tersebut, kawasan bencana dikatakan mengalami hujan lebat berterusan dan tiupan angin mencecah sehingga 80 kilometer sejam.
Ekoran keadaan itu, sungai-sungai di sekitar daerah berkenaan seperti Sungai Pampang, Bayayo, Liawan serta Sinagang telah melimpah, menyebabkan sembilan buah kampung ditenggelami air, sekali gus memusnahkan 500 buah rumah penduduk berhampiran tebing sungai. Kesan daripada kejadian itu, dianggarkan kira-kira 3,000 orang penduduk di daerah tersebut hilang tempat tinggal.
Paling teruk dilaporkan adalah tiga buah kampung berhampiran Sungai Pampang iaitu Kampung Pampang, Limbawan dan Batu Satu yang lenyap dalam sekelip mata selepas ditelan arus deras berlumpur.
Pada masa yang sama, laluan utama dari daerah Keningau ke Kota Kinabalu juga terputus hubungan ekoran dua buah jambatan utama yang terletak di Sungai Liawan dan Pegalan roboh selepas dihanyutkan arus deras.
Dalam pada itu juga, sebahagian bukit berhampiran Gunung Emas di Tambunan runtuh lalu menutup jalan raya yang menghubungkan laluan dari ibu negeri ke Tambunan dan Keningau.



Selepas selesai melawat tempat bersejarah di Keningau, perjalanan diteruskan menuju ke Kalabakan sebelum menuruni kawasan tinggi untuk sampai ke Keningau. Perjalanan seterusnya rata tetapi turut melalui bukit berselekoh dan masih selesa sampai ke Nabawan.
Selepas Nabawan jalan raya banyak yang rosak, jalan berturap mulai pecah, berlubang lubang dan jumlah kenderaan mula berkurangan. Kiri dan Kanan hutan simpan serta tanaman kelapa sawit hinggalah sampai ke warong “Baru Jumpa” di tengah tengah belantara berhampiran simpang masuk ke Maliau Basin.




Warong ini menyediakan makanan seperti nasi campur, goreng-goreng, air panas dan sejuk. Ada disediakan surau untuk anda solat jamak dan qasar serta tandas juga tersedia untuk anda mandi atau membasuh muka sebelum meneruskan perjalanan.
Lokasi ini juga menjadi persinggahan bas-bas ekspres Tawau – Keningau dan perjalanan sebaliknya. Jalanraya di sini pada Ketika itu amat mendukacitakan dan sekarang juga dikhabarkan masih lagi teruk.
Laluan Kota Kinabalu – Papar – Kimanis – Keningau – Sepulut – Kalabakan – Tawau dikenali sebagai “jalan belakang” manakala jalan Kota Kinabalu – Ranau – Telupid – Sandakan – Lahad datu – Kunak – Tawau diberi jolokkan sebagai “jalan depan”.
Sama ada jalan depan atau jalan belakang dua-dua pun sama teruk tetapi jarak perjalanan jalan belakang lebih dekat berbanding jalan depan yang mengambil masa antara 10 hingga 11 jam.

Hati-hati apabila melintasi simpang Maliau Basin… selain jalan rosak, lokasi di sini sering menjadi laluan lintasan gajah liar yang bergerak secara berkumpulan. Jangan bunyikan hon kenderaan sebaiknya tunggu hingga haiwan itu selesai melintas jalan raya tersebut.
Jika hendak melalui jalan belakang pastikan anda melintasi kawasan Sepulut atau Maliau Basin ini sebelum gelap. Dari Keningau tadi hingga tiba di bulatan Kalabakan akan mengambil masa antara 4 hingga 5 jam itu setelah masuk masa berhenti, tandas dan jalan rosak.

Bulatan Kalabakan sangat besar dan sila ambil jalan yang ke dua atau nombor tiga untuk masuk ke perkampungan serta pekan Kalabakan. Terlebih dahulu sebelum sampai ke kampung di sebelah kiri anda pasti melihat tugu peristiwa Konfrontasi Malaysia – Indonesia.

Singgahlah disitu untuk menghayati kisah perjuangan pasukan keselamatan negara yang mempertahankan tanah air daripada serangan gerila Indonesia akibat terpengaruh dengan slogan “ganyang Malaysia” pada 1963.
Mengenai Kalabakan… Kalabakan sebuah daerah baharu di negeri Sabah, kedudukannya di sebelah barat daerah Tawau. Kedudukan Kalabakan dari Bandar Tawau sejauh 106 kilometer.
‘Kalabakan’ mendapat nama dari perkataan ‘kaap ngakan’ maksudnya ‘dapat makan’ yang berasal dari bahasa suku kaum Tidong iaitu penduduk asal kampung ini. Merupakan kampung tertua di sabah wujud sebelum merdeka lagi. Majoriti penduduk asal di kampung ini adalah suku Tidong dan Murut. Sekarang ini ia diduduki oleh pelbagai bangsa dan suku kaum termasuk Cina, Lundayeh, dan Dusun. – Wikipedia


Selain tugu peringatan, terdapat kawasan peranginan iaitu Air Terjun Batu 9 yang amat cantik dan indah. Bagi anda yang hendak menginap di Kalabakan, sebuah resort milik Felda ada disediakan.
Sungai Kalabakan adalah sungai yang besar dan panjang di daerah tersebut dan udang galah Sungai Kalabakan antara makanan enak yang perlu dirasa oleh anda sebelum meninggalkan destinasi pelancongan ini.



Kampung lama Kalabakan iaitu kampung ‘Liasau’ merupakan kampung yang tertua di dalam Kalabakan dan mempunyai tapak arkeologi yang boleh di buat kajian. Menurut sumber ada nisan yang terdapat di kawasan ini bertarikh 1400 masihi.
Satu lagi kesan sejarah yang menarik di Kalabakan adalah Lombong Arang Batu Silimpopon yang wujud sekitar tahun 1920. Ia digelar sebagai “Bandar yang hilang”. Bagaimanapun jika dikaji secara terperinci ia bukanlah sebuah bandar tetapi kawasan estate yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan kisah “Silimpopon kota yang hilang” dan “Batu sumpah Keningau” ia akan diperincikan dalam siri jelajah seterusnya, pastikan anda terus bersama sama Kelkatutv.com.
