Catatan Perjalanan Kembara Sabah
(Oleh: Idzham Hadi Sidik)
Seperti yang dijanjikan, catatan perjalanan siri 2 saya di negeri di bawah bayu ini di teruskan. Kali ini saya kongsikan cerita sebuah ‘bandar’ yang dikatakan ‘hilang’ sejak tahun 1934. Kunjungan saya ke Silimpopon ini pada tahun 2018.
Silimpopon, itulah nama ‘bandar’ yang dikatakan ‘hilang’. Kedudukannya kira-kira 158 kilometer dari bandar Tawau. Dari pekan Kalabakan masa perjalanan ke Silimpopon antara 20 minit ke setengah jam melalui jalan tidak berturap dan jalan estate.
Nasihat saya, bagi anda yang hendak ke Silimpopon perlulah menggunakan kenderaan pacuan empat roda, kerana selain tidak berturap, laluan yang akan ditempuhi berbukit dan jika hujan sudah tentu berselut dan berlumpur.
Untuk masuk ke kawasan Silimpopon ini perlu mendapatkan kebenaran pihak syarikat terlebih dahulu. Kebenaran bertulis perlu diajukan kepada Kertam Holdings Berhad. Ini disebabkan Silimpopon berkedudukan di dalam kawasan persendirian bukannya di tanah awam atau Kerajaan negeri.
Maklumat berkaitan pemilik Silimpopon ini boleh dilayari pada laman web Kertam Holdings Berhad atau carian Google dengan perkataan “Silimpopon estate Kertam Holdings Berhad”.
Sebaik mendapat kebenaran daripada pihak Kertam Holdings Berhad, anda bolehlah merancang untuk menjejaki lokasi bersejarah ini. Kalau hendak memandu dari Kota Kinabalu bolehlah menggunakan ‘jalan belakang’ (artikel pada Siri 1).
Disebalik kelapa sawit dan aliran sungai yang cukup indah serta cantik ini, kira-kira 100 tahun lalu pernah dikatakan wujud sebuah bandar di sini yang dikenali sebagai Silimpopon.
Kisah sejarah Silimpopon ini sering digembar gemburkan di media sosial sebagai bandar yang hilang, teruja dengan paparan itu, saya mengambil inisiatif menjejaki kawasan Silimpopon yang dikaitkan sebagai sebuah bandar besar yang wujud antara tahun 1901 hingga 1934.
Alhamdulillah, dengan bantuan penduduk Kalabakan (Encik Asri) saya berjaya menghubungi pihak pengurusan Kertam Holdings Berhad dan berurusan dengan Pengurus Kanan Silimpopon Estate Bahagian Tawau, Tuan Siaw Yun Kui (kunjungan penulis pada tahun 2018).
Pihak Silimpopon Estate memberi Kerjasama yang baik, saya dan krew diberi tempat tinggal di estate tersebut dan di bawa melawat ke seluruh Kawasan bersejarah Silimpopon.
Selain saya menjejaki sendiri kawasan Silimpopon ini, rujukan juga saya buat menerusi buku bertajuk “Silimpopon A Borneo Coal Mine” yang ditulis oleh Ross Ibbotson.
Oleh kerana kesan sejarah yang amat bernilai ini berada di dalam kawasan ladang kelapa sawit Silimpopon. Syarikat Kertam Holdings mengambil inisiatif dan rasa bertanggungjawab untuk memelihara khazanah warisan Sabah dan khasnya sejarah di Tawau ini.
Sehari suntuk juga saya menjelajah kawasan Silimpopon, banyak kesan Sejarah mengenai industri arang batu di situ.
Antara kesan ‘bandar’ Silimpopon yang dapat saya lihat termasuklah peralatan melombong arang batu, gua, tapak kilang, sungai, terowong, kawasan perumahan, kawasan hospital, tapak sekolah, landasan keretapi dan tanah perkuburan.
Saya juga berpeluang untuk memasuki beberapa terowong bekas kawasan perlombongan arang batu yang dibina di Silimpopon dan terbukti kawasan itu sangat kaya dengan galian tersebut.
Alhamdulillah, niat untuk menyelusuri dan membongkar kisah Sejarah industri arang batu di Silimpopon Tawau itu mendapat kerjasama baik daripada pihak Kertam Hodings Berhad.
Seharian menerokai kesan sejarah di situ belum cukup, saya dan krew menginap semalam di Rest House Silimpopon yang disediakan oleh pihak pengurusan. Bukan setakat tempat tinggal mereka turut menyediakan makan dan minum. Terima kasih Kertam Hodings Berhad.
Hari kedua berada di Silimpopon, saya dan krew dibawa pula melawat jeti kelapa sawit serta sungai Silimpopon yang sangat cantik, ia terbentuk daripada kesan hakisan.
Selain menggunakan jalan raya, Silimpopon dihubungkan juga dengan laluan air untuk ke Tawau atau terus ke Pulau Sebatik (Pulau 2 negara). Cukup sistematik kaedah pengangkutan yang digunakan.
Kisah perlombongan arang batu di Silimpopon ini ada tercatat dalam buku tulisan Roos Ibboston yang melibatkan ramai pekerja tempatan dan pekerja asing yang di import dari luar negara.
Saya teruja denga isi kandungan buku tersebut dan berjaya menemui salah seorang waris pekerja Silimpopon iaitu Puan Mary Domingo. Beliau adalah anak kepada kerani syarikat arang batu di Silimpopon yang pernah bertugas di situ, cerita dan kenyataannya mengenai Silimpopon amat menarik (pertemuan bersama penulis pada tahun 2018).
Untuk mendapatkan kesahihan mengenai cerita Silimpopon, saya terus menjejaki waris pekerja estate arang batu itu. Saya berjaya bertemu dengan Encik Abu Bakar Pan Abdullah di Tawau.
Beliau juga menceritakan kisah Silimpopon. Cerita mengenai ‘Bandar yang hilang’ itu didengar daripada bapanya yang pernah berniaga di kawasan Silimpopon pada zaman kegemilangan lombong arang batu di situ.
Menariknya, Silimpopon juga dikatakan mengeluarkan matawang sendiri, ‘duit siling’ untuk kegunaan pekerja-pekerjanya berurusniaga di dalam kawasan estate itu. Apakah itu benar-benar duit siling seperti yang ditulis oleh beberapa blogger sebelum ini?
Dua temubual waris pekerja arang batu Silimpopon, melihat sendiri kesan sejarah kilang arang batu di lokasi (bukan dengar cerita orang atau melalui rujukan buku-buku serta video-video di media sosial), saya boleh membuat kesimpulan.
Adakah benar SILIMPOPON ialah sebuah BANDAR? dan hilang?
Jawapannya… mari kita kembali pada zaman ini tahun 2024. Anda pernah masuk ke estate di tempat anda?. Apa yang anda akan lihat dalam sebuah estate itu? Perhatikan betul-betul.
Kebiasaannya dalam sesebuah estate akan disediakan kemudahan seperti rumah Pengurus, rumah kerani, rumah mandor dan rumah pekerja. Medan kedai runcit, kedai makan dan pelbagai ruang perniagaan.
Sudah pasti dalam sesebuah estate terdapat kilang, pejabat, klinik Kesihatan, ada juga sekolah yang dibina dalam kawasan estate serta kawasan rekreasi malah ada estate yang menyediakan padang golf.
Maka tidak hairanlah sesebuah estate itu akan dilihat lengkap dan seolah-olah wujud sebuah ‘bandar’ di kawasan tersebut, sedangkan semua kemudahan, binaan dan kelengkapan yang ada hanya untuk kegunaan estate berkenaan sahaja.
Mari kita fahami pengertian bandar pula. Melalui rujukan saya dalam portal perbandaran, ciri-ciri sebuah bandar adalah kawasan yang diwartakan serta kawasan tepu bina yang bersempadanan dengannya dan gabungan kedua-dua kawasan ini mempunyai penduduk 10,000 orang atau lebih atau kawasan Pembangunan khusus atau pusat pentadbiran daerah walaupun penduduk kurang daripada 10,000 orang dan sekurang-kurangnya 60% penduduknya berumur 15 tahun dan ke atas terlibat dalam aktiviti bukan pertanian.
Oleh itu, jolokkan “SILIMPOPON BANDAR YANG HILANG” adakah sesuai? atau ia sesuai pada zaman itu sahaja? Sejauh mana penulis-penulis atau pengamal media sosial mengetahui mengenai Silimpopon ini? Sekadar membaca, menonton dan mendengar? Sila hadir ke lokasi anda pasti ada jawapannya.
Menjejaki sejarah Silimpopon sesuatu yang menarik, ia merungkai kekayaan khazanah alam di Sabah, arang batu sumber tenaga yang penting suatu ketika dulu.
Sekurang-kurangnya ada 4 terowong arang batu yang ditemui di bekas kawasan perlombongan Silimpopon ini, bagaimanapun tiada satu pun kesan atau bekas binaan yang boleh menyokong Silimpopon ini adalah sebuah bandar satu ketika dahulu.
Mary Domingos, antara waris yang paling banyak menyimpan bukti sejarah Silimpopon, dan beliau bertuah kerana sering dijadikan sebagai bahan rujukan sekiranya ada pengkaji sejarah yang hendak menyulusuri sejarah perlombongan arang batu Silimpopon.
Silimpopon dilabel sebagai sebuah bandar yang hilang, kini Silimpopon menjadi salah satu kawasan pengeluaran sawit di negeri Sabah, nama Silimpopon akan terus tercatat dalam sejarah negara sebagai pengeluar arang batu terbesar Asia Tenggara.
Lebih banyak lagi kisah Silimpopon, Tawau dan Kalabakan serta destinasi menarik yang tidak didendang di Sabah boleh anda ikuti dengan memiliki buku bertajuk “Destinasi tersembunyi di Sabah”.