Catatan Perjalanan Kembara Sabah
(Oleh: Idzham Hadi Sidik)
Bila melancong ke Sabah, pasti tergambar pada wajah anda adalah Kundasang, Ranau dan Gunung Kinabalu. Anda salah kerana di Sabah seluruh daerahnya menjanjikan 1,001 macam keindahan dan produk pelancongan yang amat menarik.
Catatan kali ini, saya bawa anda ke daerah Tambunan. Daerah Tambunan adalah kawasan tanah tinggi yang terletak di bahagian pedalaman negeri Sabah. Kedudukannya 81 kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu dan keunikannya ialah, Tambunan berada pada ketinggian 1,000 m di Banjaran Crocker.
Kebanyakan daripada penduduk di sini ialah Kaum Dusun, pemandangannya amat indah berikutan daerah ini dikelilingi oleh sawah padi dan 77 buah perkampungan. Gunung Trus Madi iaitu gunung ke dua tertinggi di Malaysia selepas Gunung Kinabalu juga terdapat di daerah ini iaitu pada arah Timur Tambunan.
Salah satu lokasi yang boleh kita lihat dari arah pekan Tambunan adalah Sinurambi atau Menara tinjau. Sinurambi ini dijadikan sebagai mercu tanda Tambunan bersempena tahun melawat Tambunan 2017. Menara ini tingginya 17 meter dan pembinaannya menelan belanja lebih setengah juta. Individu yang bertanggungjawab mencetuskan idea membina menara tinjau ini ialah anak jati Tambunan iaitu, Datuk Joseph Pairin Kitingan.
Sebagai panduan laluan ke puncak Sinurambi. bulatan sompoton, jalan terus sehingga sampai di simpang tiga yang terdapat signboard Gereja Katolik St. Mary Magdalene dan Sister Putri Karmel & Brother CSE.
Jangan masuk simpang tersebut tapi maju terus ke depan lagi. Tak sampai 50 meter dari signboard Gereja Katolik St. Mary Magdalene, akan sampai di simpang tiga dengan papan tanda (signboard) Hutan Simpanan TrusMadi sekali lagi. Masuk simpang tersebut (kanan) dan nampak signboard sinurambi Tambunan dengan jelas. Ikut arah yang ditunjukkan dalam signboard tersebut.
Dalam masa 30 minit hingga 45 minit dari bulatan sompoton pekan Tambunan kita akan berada di puncak bukit yang ada menara tinjau sinurambi ini. Bukit ini tinggi ditambah pula dengan menara tinjau, maknanya pemandangan dari sinurambi ini memang luas dan cantik.
Jadi jika anda ke Tambunan, banyak tempat yang boleh dilawati, sehari tidak mencukupi untuk pusing Tambunan, elok kiranya anda bermalam sambil menikmati udara segar dari daerah ini.
Banyak hotel, chalet malah ada rumah rehat disediakan oleh Pejabat Daerah Tambunan untuk pelawat bermalam di pekan Tambunan, tak rugi berkunjung ke sini.
Antara tempat menarik di daerah Tambunan termasuklah Pisompuruan square, Air Terjun Mahua, Gunung Trusmadi, Batu Gong Kampung Solibog, Kampung tradisional Tombotuon, tugu peringatan Mat Salleh (Pahlawan Sabah) dan Laluan Garam.
Sesuatu yang menarik ketika dalam perjalanan dari Kota Kinabalu melalui Penampang dan Gunung Emas, pasti anda dapat melihat gerai-gerai di bahu jalan yang menjual pelbagai jenis sayur kampung.
Uniknya di gerai tersebut tiada penjual tetapi yang ada hanyak barangan jualan dan pada tiang gerai akan diletakkan tabung untuk pembeli membayar harga barangan yang hendak dibeli.
Ini namanya jualan kejujuran, terpulang pada anda, boleh ambil pisang, sayur, cili atau buah-buahan tanpa bayaran tetapi ia akan menjadi adarah daging selepas anda menikmatinya.
Tidak seberapa harga sayur-sayuran dan buah-buahan di gerai tersebut, apa salahnya masukkan jumlah duit seperti yang tertera pada barangan jualan dan anda akan berasa tenang meninggalkan laluan itu untuk maju ke Tambunan.
Moga catatan Tambunan – Sinurambi ini dapat memberi panduan kepada anda untuk menikmati sendiri destinasi dan produk pelancongan yang sangat menarik di daerah Tambunan.
Masih ramai orang Sabah yang belum sampai ke Tambunan kan? Jadi apa lagi, datanglah ke Tambunan. Jemputan ini juga buat anda semua, Jika ke Sabah pastikan anda berkunjung ke Tambunan kerana pemandangannya dikatakan secantik Switzerland.
Lebih banyak lagi kisah destinasi kunjungan saya di Sabah suka untuk dikongsikan pada anda. Jika berminat anda boleh memiliki buku bertajuk “Destinasi tersembunyi di Sabah”.