Catatan Perjalanan Kembara Sabah
(Oleh: Idzham Hadi Sidik)
Tiga tahun bertugas di Sabah memberi peluang buat saya untuk menjelajah ke seluruh negeri ini, menyelusuri setiap daerahnya yang menyimpan pelbagai khazanah dan cerita untuk dirungkai.
Untuk siri 5 ini, saya memilih untuk menulis, kembara saya ke Kampung Widu dalam daerah Ranau. Kampung ini terletak di Kawasan pedalaman dan ia mempunyai produk pelancongan berasaskan sejarah, budaya, rekreasi dan alam sekitar.
Untuk ke kampung ini, saya berkenalan dulu dengan ahli persatuan dan perserta ekspedisi pusing Sabah Gantong Sorili Kampung Widu. Perjalanan saya kali ini disertai enam buah kenderaan pacuan empat roda dan kami bergerak secara konvoi bermula dari perkarangan Pejabat Daerah Tambunan pada kira-kira pukul 9 pagi.
Pada awal konvoi kami melalui jalan Tambunan – Ranau yang berturap dan semestinya pergerakan serta perjalanan kami lancar. Dari pekan Tambunan menuju ke simpang masuk Kampung Widu mengambil masa kira-kira 45 minit sahaja.
Selepas selesa dengan jalan berturap dari Tambunan ke simpang masuk Kampung Widu, kini kami melalui cabaran menggunakan laluan yang tidak berturap pula. Jaraknya kira-kira 17 kilometer. Kedudukan Kampung Widu adalah di kawasan sempadan antara daerah Ranau dan Tambunan. Dari Tambunan jaraknya 54 kilometer manakala dari Ranau pula kedudukannya 29 kilometer.
Sepanjang perjalanan menggunakan jalan tidak berturap ini kami turut melalui beberapa kampung, antaranya kampung Tiong yang mempunyai kemudahan sebuah sekolah kebangsaan.
Dalam perjalanan, ada cabaran menanti. Terdapat pokok tumbang dan merentangi jalan tidak berturap. Dengan kemahiran dan ketangkasan ahli kelab pacuan empat roda, pokok yang tumbang itu berjaya dialihkan dan semua kenderaan dapat menyambung semula perjalanan ke Kampung Widu.
Alhamdulillah, akhirnya saya dan peserta konvoi sampai di Kampung Widu. kami terus dibawa ke kawasan Widu Resort yang menyediakan pelbagai pakej lawatan dan penginapan di kampung ini. Saya dan peserta konvoi disambut meriah oleh pegawai dan kakitangan Widu Resort.
Untuk pengetahuan dan informasi anda, terdapat 13 keluarga yang menetap di kg widu ini. Kebanyakan daripada mereka berbangsa Dusun dan beragama Islam. pelbagai kemudahan disediakan di kampung ini.
Antara kemudahan yang ada termasuklah bekalan elektrik yang dibekalkan oleh SESB, bekalan air graviti, tempat rekreasi seperti gelanggang takraw dan surau bagaimanapun jalan masuk ke kampung ini masih belum berturap.
Kampung Widu ini sebuah perkampungan yang cukup cantik. hutannya masih kekal asli, sungainya yang jernih dan banyak menyimpan kisah lagenda, antaranya ialah Gantong Sorili.
Penceritaan Gantong Sorili ini disampaikan oleh murid-murid Sekolah Kebangsaan Tiong menerusi persembahan sketsa. Sebelum sektsa bermula saya dan rakan rakan konvoi disambut meriah di perkarangan tajau Gantong Sorili.
Saya kongsikan secara ringkas mengenai Gantong Sorili ini. Kisah Gantong Sorili dikatakan bermula daripada pengalaman seram seorang pemuda yang menetap di salah satu desa di daerah Tambunan berabad-abad yang silam.
Dikatakan pada suatu hari pemuda ini seperti biasa keluar ke hutan untuk menjala di sungai. Leka menjala ikan, beliau tidak sedar bahawa hari telah beransur gelap. akhirnya beliau mengambil keputusan untuk tidur di dalam hutan dengan berselimutkan jala yang dibawa.
Apabila tiba waktu tengah malam beliau terjaga kerana mendengar suara-suara orang ramai sedang bercakap. Bimbang dengan keselamatannya, dia mematikan diri.
Ternyata suara-suara yang bercakap-cakap itu kononnya makhluk Bunian yang mendiami hutan berkenaan. Apabila ketua pada makhluk itu ternampak pemuda yang sedang berbaring itu, dia menyangka pemuda itu telah tercedera di seluruh tubuh kerana samar-samar tubuh pemuda itu terlihat seperti demikian, walhal lubang-lubang yang terdapat pada jala itulah yang menghasilkan ilusi bahawa tubuh pemuda itu sedang terluka.
Kerana niat untuk menolong, dikatakan makhluk itu telah memasukkan tubuh pemuda itu ke dalam tajau (tempayan) ajaib milik mereka. Namun tajau berkenaan tidak dapat memuatkan tubuh pemuda itu. Mereka mencuba tajau yang lain, berulang-ulang sehingga akhirnya mereka berjaya memasukkan tubuh pemuda itu pada sebuah tajau yang sangat besar.
Namun apabila fajar menyingsing, makhluk-makhluk berkenaan secara tergesa-gesa menghilangkan diri meninggalkan tajau besar milik mereka. Kejadian mistik itu segera diadukan pemuda itu apabila dia kembali ke desanya. Kemudian tajau besar itu dibawa kembali ke rumah pemuda itu dengan bantuan penduduk kampung.
Menurut penceritaan daripada penduduk kampung Widu, tempat di mana tajau misteri ini berada, pernah satu ketika tajau ini tiba-tiba dipenuhi air, dan untuk selama beberapa ratus tahun, air itu tidak pernah kering.
Ajaibnya lagi, di dalam air itu terdapat beberapa ekor ikan yang hidup sepanjang air itu tidak kering. Malangnya dikatakan orang-orang kampung telah melanggar satu pantang larang sehingga menyebabkan air menjadi kering dan ikan-ikan tersebut turut hilang.
Demikianlah, kisah menakjubkan di sebalik tajau Gantong Sorili di Tambunan. Tajau sememangnya merupakan satu objek mistik yang menjadi sebahagian daripada elemen penting dalam etnik pribumi di Sabah khususnya etnik Dusun dan Murut. [rujukan: Wikipedia]
Kedudukan Kampung Widu yang berhadapan dengan Gunung Kinabalu ini amat indah, suasana pagi ketika matahari terbit juga amat cantik. Pada celahan belukar dan hutan semulajadi di sini, banyak reflesia yang tumbuh, uniknya ada yang tumbuh berhampiran rumah penduduk dan ada juga yang hidup mekar dilereng serta tebing bukit yang menyukarkan untuk kita menyaksikannya.
Kembara saya ke Kg Widu ini bukan setakat melihat produk pelancongan budaya dan Sejarah tetapi produk keindahan alam semulajadi turut tersedia di sini. Untuk mengetahuinya anda boleh mendapatkan catatan saya daripada Buku “Destinasi Tersembunyi Sabah” yang boleh dipesan secara atas talian atau membeli di kedai buku seluruh negara.