
Catatan Perjalanan Kembara Sabah
(Oleh: Idzham Hadi Sidik)
TITIK Paling Timur Malaysia mewarnai catatan kali ini dalam siri ke 6 jelajah saya ke negeri Sabah. Tanjung Atiam terletak di dalam daerah Lahad Datu dan jaraknya kira-kira 150 kilometer dari bandar Lahad Datu.
Tanjung Atiam diiktiraf sebagi titik paling timur Malaysia, sila lihat peta Sabah dan anda akan dapati kedudukan Tanjung Atiam ini betul-betul pada bahagian hidung peta negeri Sabah.
Pada bahagian tanduk terletaknya daerah Kudat, Sandakan berkedudukan pada bahagian atas hidung, Lahad Datu pula kedudukanya di bawah hidung atau di dalam mulut manakala Semporna pada dagu dan lokasi daerah Tawau umpama di bahagian bawah dagu.



Tanjung Atiam atau catatan di dalam google maps sebagai kampung Ateamu terletak di Mukim Tambisan, Daerah Tungku Lahad Datu, Sabah. lokasi yang terletak di kawasan paling timur peta Sabah ini bagaimanapun tidak berpenghuni.
Destinasi ini saya kunjungi bersama-sama krew RTM Sabah ketika bulan Ramadan dan sudah tentu kami dapat merasai menjadi orang pertama di Malaysia berbuka puasa.
Waktu imsak di Tanjung Atiam Lahad Datu ini adalah pada pukul 4.23 pagi manakala waktu berbuka puasa di kawasan ini pada Ramadan 1440h/2019 adalah pada pukul 6.13 minit petang.


Perjalanan ke Tanjung Atiam ini melalui jalan utama Felda Sahabat kemudiannya akan memasuki estate yang memerlukan kebenaran untuk memasukinya kerana ia adalah Kawasan persendirian.
Suka diingatkan bahawa Tanjung Atiam ini bukanlah destinasi pelancongan yang popular kerana kedudukannya jauh di kawasan pedalaman dan tiada kemudahan asas di situ.
Bagaimanapun jika lokasi ini ingin dimajukan sebagai destinasi pelancongan, kemudahan asas seperti jalanraya berturap perlu dibuat untuk memudahkan orang ramai sampai ke situ.
Tanpa jalanraya yang baik sudah pasti pengunjung akan berfikir berkali kali sebelum meneruskan perjalanan ke kawasan yang mempunyai keunikkan tersendiri ini.
Tumbuhan herba,hidupan liar dan pemandangan pantai pemisah antara laut Sulu dan laut Sulawesi menjanjikan fenomena yang cukup mengkagumkan terutamanya pada masa matahari terbit.


Berdekatan Tanjung Atiam, terdapat beberapa buah kampung yang berpenghuni, paling hampir adalah kampung Tagupi Laut. Penduduk Tagupi Laut adalah di kalangan suku kaum Suluk dan mereka telah menghuni kawasan persisir pantai itu sejak 50 tahun lalu.
Kebanyakan mereka adalah bersaudara, mereka saling hidup bekerjasama dan bersatu hati, jika ada berselisih faham, mereka akan segera meleraikan. Kegiatan ekonomi mereka adalah bergantung kepada hasil laut dan berkebun, hasil laut akan dijual kepada pemborong.
Berbeza dengan Tanjung Atiam, Kampung Tagupi mempunyai kemudahan seperti sekolah dan pusat kegiatan masyarakat yang didirikan oleh kerajaan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Bagi penduduk kampung Tagupi Laut yang berdekatan dengan Tanjung Atiam mereka sebenarnya tidak menyedari bahawa mereka adalah penghuni di tanah paling timur negara. Apabila diberitahu, mereka sangat teruja dan bangga kerana menjadi salah seorang rakyat Malaysia yang menerima cahaya matahari paling awal di negara ini.



Pada 2013, Ops Daulat yang dilancarkan di Tanduo dan sekitar Tanjung Labian telah tercatat sebagai sejarah hitam negara. Tanjung Atiam yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Tanjung Labian melalui pantai turut menjadi kawasan operasi.
Terlalu banyak khazanah dan rahsia masih belum dirungkai di Tanjung Atiam ini. Kisah kapal Jepun karam di perairan Tanjung Atiam juga masih menjadi tanda tanya.

Kembara ke Tanjung Atiam, Titik Paling Timur Malaysia ini menjadi memori indah dan saya percaya tidak ramai yang sampai ke sini. Lengkap destinasi “paling hujung” di Malaysia saya jelajah, pertama Tanjung Piai (Pontian) iaitu tanah paling penghujung Benua Asia dan kedua adalah Simpang Mengayau Kudat yang diiktiraf sebagai Tip of Borneo.
Terus ketahui kembara saya ke seluruh negeri Sabah dan jika anda berminat mengikuiti catatan saya, dapatkan buku “Destinasi Tersembunyi Sabah” yang boleh dipesan secara atas talian atau membeli di kedai buku seluruh negara.