March 21, 2025

Catatan Perjalanan Kembara Sabah

(Oleh: Idzham Hadi Sidik)

SATU Pulau milik dua negara, mengetahui keunikan pulau itu membuatkan saya teruja untuk menjejakkan kaki ke Pulau Sebatik yang berkedudukan di Pantai Timur kepulauan Borneo atau lebih tepat lagi berdekatan dengan bandar Tawau.

Jarak Pulau Sebatik dari bandar Tawau hanya 8 km sahaja, ia dipisahkan oleh Telok Cowie. Dengan menaiki bot yang mengambil masa 20 minit dari jeti Tawau ke jeti Kampung Sungai Tongkang. 

Telok Cowie, mengingatkan kita tentang satu tragedi kemalangan sebuah pesawat Caribou TUDM dalam tahun 1970 yang mengorbankan 11 orang tentera termasuk juruterbangnya.

Alhamdulillah, untuk ke Pulau Sebatik, saya dibantu oleh penduduk tempatan iaitu saudara Arbain, beliau adalah pengendali bot di Kg Sg Tongkang, manakala seorang lagi kenalan iaitu Encik Mohd Zikri seorang peladang, penternak dan nelayan di Kampung Sungai Melayu Pulau Sebatik.

Mereka berdua adalah antara 25,000 penduduk Pulau Sebatik, sebuah pulau unik berdepan dengan bandar Tawau, pulau yang bergarisan sempadan sangat lurus, di tadbir dan dimiliki dua negara berjiran Malaysia dan Indonesia.

Pulau Sebatik secara keseluruhannya berkeluasan 433.84 kilometer persegi. Pulau Sebatik milik Malaysia luasnya 187.23 kilometer persegi manakala Pulau Sebatik di wilayah Indonesia pula berkeluasan 246.61 kilometer persegi.

Terdapat 15 kampung di Pulau Sebatik dalam wilayah Malaysia, di sebelah utara adalah Wallace Bay, di bahagian tengah kampung Sungai Tongkang manakala paling Selatan di Pulau Sebatik adalah kampung Sungai Melayu. 

Daripada jumlah itu terdapat 3 kampung yang terletak betul-betul di garisan sempadan Malaysia – Indonesia. Kampung tersebut ialah Kampung Sungai Melayu, Kampung Sungai Aji Kuning dan Kampung Sg Limau.

Bagaimanapun dari Kampung Sungai Melayu ke Kampung Sungai Tongkang dan seterusnya ke Wallace Bay hanya laluan laut saja yang boleh digunakan berikutan jaluran jalan raya yang menghubungkan antara kampung tersebut tidak tersedia, yang ada jalan berturap hanyalah menghubungkan Wallace Bay dengan kampung Sungai Tongkang dengan jarak  25 kilometer atau 30 minit masa perjalanan. 

Wallace Bay ada sejarah tersendiri dan dipercayai menjadi penempatan awal Pulau Sebatik. Insfrastruktur di Pulau Sebatik yang disediakan oleh kerajaan, belum dapat menjangkau ke seluruh 14 kampung di pulau ini.

Sekolah Kebangsaan, masjid, klinik kesihatan, jalan raya, balai polis, pusat kegiatan masyarakat, kemudahan sukan disediakan di beberapa kampung sahaja manakala yang lain masih dalam proses perancangan.

Kemudahan elektrik dengan saluran kabel dasar laut telah disediakan tetapi ia masih belum dapat menampung ke semua kampung di Pulau Sebatik. Begitu juga dengan bekalan air, air bersih hanya dapat disalur dibeberapa kampung melalaui loji air di Wallace Bay.

Kawasan sempadan dua negara di Pulau Sebatik mempunyai keunikan tersendiri, di Kampung Sungai Melayu, tiga batang pokok mangga di tanah Mohd Zikri menjadi penanda.

Bagaimanapun, pencarian kawasan sempadan pada google map menunjukkan kawasan sempadan sebenarnya terletak kira-kira 100 meter dari kawasan mangga tiga batang, masuk ke bahagian Indonesia.

Terus menelusiri kawasan sempadan Malaysia – Indonesia di Pulau Sebatik, destinasi seterusnya adalah Kampung Sungai Aji Kuning. Untuk ziarah sebuah rumah penduduk yang berkedudukan bahagian depan atau serambi pada tanah Indonesia manakala bahadian dapur di wilayah Malaysia, kami perlu melapor diri di Pos kawalan Tentera Nasional Indonesia (Angkatan Darat).

Kedudukan rumah ini sememangnya sudah tular di media sosial yang kebanyakkannya diterbitkan oleh pengamal media sosial Indonesia, bagi Anuar kedudukan rumahnya itu memang unik. Dalam soal hubungan dengan warga Indonesia di kampung itu, Anuar mengakui dia sekeluarga hidup harmoni dan sentiasa bekerjasama dengan penduduk serta pihak berkuasa.

Berikutan kedudukan Kampung Sungai Aji Kuning dan Kampung Sungai Melayu yang sangat berhampiran dengan tanah Indonesia, penduduk di sini menumpang ihsan kemudahan yang disediakan pemerintah Indonesia, termasuklah solat Jemaah di masjid, menggunakan jalan raya negara jiran dan ada di kalangan anak-anak di kampung ini bersekolah di sekolah dalam pentadbiran Indonesia. 

Realiti di Kampung Sungai Melayu dan Kampung Sungai Aji Kuning Pulau Sebatik ini, sama sekali berbeza dengan apa yang sering dipaparkan oleh Pengamal Media Indonesia yang memuji tahap kemajuan Pulau Sebatik Malaysia berbanding Pulau Sebatik Indonesia.

Pengamal Media sosial Indonesia sebenarnya membandingkan kemajuan di bandar Tawau berbanding dengan Pulau Sebatik wilayah Indonesia, memang di akui Tawau lebih membangun daripada Pulau Sebatik, Nunukan dan Tarakan dalam tanah Indonesia.

Hakikatnya pembangunan Pulau Sebatik di wilayah Indonesia lebih terkehadapan selepas lawatan Presiden Indonesia pada 2014 ke Sungai Nyamuk.

Melalui perairan negara, setiap bot diwajibkan untuk melapor diri kepada pasukan yang bertugas seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kawalan keselamatan di perairan negara termasuk di Teluk Cowie, sungai sungai yang sering digunakan penduduk untuk berulang alik diutamakan, bagaimanapun pos kawalan di kawasan sempadan seperti di Kampung Sungai Aji Kuning dan Kampung Melayu tidak disediakan oleh pihak berkuasa negara.

Walaupun penduduk setempat di kawasan sempadan Malaysia – Indonesia sentiasa hidup dalam harmoni dan sentiasa damai. Tetapi soal kedaulatan negara di sempadan perlu diberi perhatian.

Untuk memastikan tanah milik negara seinci pun tidak diceroboh, kerajaan mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk memajukan kawasan sempadan di Pulau Sebatik terutamanya di kampung Sungai Melayu.

Dengan keunikan sebagai sebuah pulau yang terletak dalam 2 negara, Pulau Sebatik berpotensi untuk tarikan pelancong. Di sebelah Indonesia, ada tugu perbatasan atau tugu sempadan yang dibina. Tak mustahil di sebelah Malaysia terutamanya di kampung Sungai Melayu dan Sungai Aji Kuning juga perlu dibina mercu tanda sempadan 2 negara.

Penduduk Pulau Sebatik akan terus mengharap pembangunan di pulau itu menjadi kenyataan, jika tidak sehebat Tawau, standing dengan Pulau Sebatik di seberang sudah memadai.

Dengan pembangunan dan keprihatinan terhadap pulau unik ini Kedaulatan Pulau Sebatik di bahagian Malaysia akan terjamin, malah penduduk dikedua-dua negara akan terus harmoni. Pulau Sebatik… 1 Pulau 2 Negara, Pulau sepakat Malaysia – Indonesia sejahtera selamanya