April 19, 2024

KUALA LUMPUR – Percutian mesra keluarga sememangnya diidamkan setiap orang. Namun ia mungkin mencabar untuk memutuskan tempat untuk membawa keluarga bercuti, terutamanya jika ianya adalah percutian singkat dan anda tidak merancang untuk pergi jauh iaitu destinasi pelancongan dalam negara.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) merealisasikan hasrat percutian keluarga penyanyi yang juga pengacara Sissy Imann menerusi program travelog terbaharu bertajuk “Family Trip” mulai 22 Februari ini, setiap Khamis, pukul 10.00 malam di Okey.   

13 episod ini membawa Sissy Imann bersama ayahnya Mohammad Kamil Moustaffa dan ibu saudaranya, Cik Mas mengunjungi setiap pelusuk negeri di Malaysia sambil melakar kenangan berharga untuk mereka.

Johor Bahru

Sissy Imann bersama keluarga memenuhi hajat percutian mereka di Johor Bahru. Lokasi pertama mereka di Kampung Sungai Melayu Eko Pelancongan. Mereka menerokai keindahan hutan paya bakau, mempelajari cara menangkap ketam dan kupang. Setelah itu, mereka ke lokasi seterusnya melakukan aktiviti lasak seperti memanah, go cart dan flying fox. Ibu saudara dan ayahnya berkeras untuk tidak melakukan aktiviti lasak kerana faktor usia mereka. 

Pengembaraan seterusnya membawa mereka ke Pal-my sebuah organisasi yang mengeluarkan produk berasaskan daun nanas. Mereka perlu mempelajari cara pembuatan kertas dan bermesra bersama orang tempatan di sana. Mereka mengakhiri percutian mereka di Kacang Pool Haji. Drama dan ragam yang keluarga ini hadapi sepanjang pengembaraan ini membuatkan percutian mereka lebih bermakna.

Melaka

Lokasi pengembaraan mereka seterusnya ialah Bandaraya Bersejarah Melaka. Mereka diberi kejutan dengan membawa mereka merasai pengalaman pembuatan dan pemprosesan cencaluk dan belacan. Kemudian, menikmati panorama malam di kota Melaka dengan River Cruise Melaka. Mereka telah diberi cabaran kuiz tentang sejarah asas Melaka dan pemenang cabaran ini dapat memilih hajat yang diingini. Pemenangnya  Cik Mas mahu menerokai keindahan dan kebudayaan masyarakat Baba Nyonya di Melaka. Lokasi akhir membawa mereka ke Muzium Baba Nyonya dan mereka telah terokai pelbagai info tentang budaya dan keunikan masyarakat Baba Nyonya melalui Baba Lee yang merupakan generasi kelima Baba dan Nyonya. 

Negeri Sembilan

Seterusnya kali ini mereka ke Negeri Sembilan. Lokasi pertama mereka adalah Mama One Stop Bakery & Cafe. Mereka diberi cabaran untuk membuat dan menghias donut mengikut kreativiti masing- masing dan pemenang akan diberikan peluang untuk memilih hajat yang mereka ingini. Cabaran ini telah dimenangi oleh ayah Sissy Imann dan hajatnya adalah untuk ke Muzium Replika Astana Raja Melewar. Mereka menerokai dan mengenali adat dan budaya masyarakat di Negeri Sembilan. 

Pengembaraan mereka diteruskan dengan aktivti watersport di Port Dickson. Ayahanda tidak melepaskan peluang untuk berseronok walaupun Sissy Imann dan Cik Mas bertegas untuk tidak menaiki jetski kerana takut dan pengembaraan mereka berakhir di PD Ostrich Farm. Mereka diberi cabaran untuk bergambar bersama burung unta dan cabaran ini telah membuatkan Sissy Imann menangis dan diberikan penalti untuk lumba lari bersama burung unta.

Selain tiga lokasi ini, ada banyak lagi destinasi menarik dikunjungi Sissy bersama yang tersayang ini. Namun dimana dan apakah aktiviti yang dicuba mereka? Ikuti perkongsiannya dalam 13 episod travelog ini.

RTM turut memberikan peluang kepada anda yang tidak berkesempatan menyaksikan menerusi saluran TV untuk mengikuti penstriman langsung secara percuma menerusi RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).