Siti Halijah Promosi Melaka Menerusi Single Terbaharu ‘Sila-Sila Ke Melaka’

MELAKA, 19 Mei 2025 – Penyanyi tempatan kelahiran Melaka, Siti Halijah, tampil dengan single terbaharu berjudul Sila-Sila Ke Melaka, sebuah karya istimewa ciptaan penuh komposer tempatan, Anwar Jaapar atau lebih dikenali sebagai Cik Mai.

Lagu ini merupakan satu kolaborasi nostalgia antara dua anak jati Melaka. Siti Halijah yang dahulunya dikenali sebagai ahli kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, pernah menyinar dalam pertandingan Idola Bandaraya Antara Bandaraya Se-Malaysia pada tahun 2011, turut merakamkan lagu raya bersama Ratu Irama Tradisional, Noraniza Idris, menerusi lagu Cinta Lebaran bersama Kumpulan Akasia.

Menariknya, lagu Sila-Sila Ke Melaka pernah dipersembahkan oleh Siti Halijah dalam pertandingan Idola Bandaraya yang sama, di mana lagu ini merangkul gelaran Juara serta Anugerah Lagu Terbaik PBT Se-Malaysia. Berikutan sambutan dan pencapaian cemerlang tersebut, pasangan artis dan komposer ini mengambil keputusan untuk merakamkan lagu tersebut secara rasmi untuk pasaran digital.

Menurut Siti Halijah, “Lagu ‘Sila-Sila Ke Melaka’ adalah sebuah karya yang unik dengan tema pelancongan sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2025 yang bakal dilancarkan pada September ini di Melaka.”

Rakaman semula lagu ini menampilkan sentuhan muzik kontemporari oleh Amy Bong dengan susunan muzik yang lebih segar. Lirik pula digubah berinspirasikan semangat kepahlawanan Melaka, dengan tema “Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat”, membawa mesej tentang keunikan sejarah dan budaya Bandaraya Melaka yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Lagu ini diterbitkan dan diedarkan oleh syarikat Luncai Emas, yang turut menjaga hak cipta lagu dan lirik. Video klip rasmi Sila-Sila Ke Melaka telah pun dilancarkan di saluran YouTube rasmi Luncai Emas, manakala audio boleh distrim di semua platform digital utama.

Pihak produksi berharap lagu ini bukan sahaja dapat menyemarakkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia, tetapi juga mengangkat Melaka sebagai destinasi pelancongan utama negara.

“Mana lagi? Melaka ler…” ujar Siti Halijah penuh semangat.