Drama Bersiri Penuh Emosi ‘Calon Isteri Buat Suami’ Temui Penonton Slot Akasia TV3 Mulai 8 April Ini
PETALING JAYA, 7 April 2025 – Kisah cinta luar biasa yang bermula daripada satu perjanjian kontrak kini bakal mencuri perhatian penonton menerusi drama terbaharu Calon Isteri Buat Suami yang akan menemui penonton mulai 8 April ini di slot Akasia TV3, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam. Drama ini turut boleh distrim di platform iQIYI secara percuma bermula jam 8.00 malam.

Membariskan pelakon popular seperti Siti Hariesa, Jazmy Juma, Trisha Ooi, Jasmin Hamid, Hazeeq Dean, dan Emelda Rosmila, drama terbitan Sha’s Media Sdn. Bhd. ini diarahkan oleh Bahri Umar dan ditulis oleh penulis skrip Sophilea. Mengandungi 25 episod, drama ini mengetengahkan tema cinta, keluarga, dan pengorbanan yang sarat emosi dan konflik.
Calon Isteri Buat Suami mengisahkan tentang Haizi (lakonan Siti Hariesa), seorang wanita yang bangkit daripada kekecewaan putus tunang dan memulakan hidup baru di Kuala Lumpur. Takdir mempertemukannya dengan Datin Yasmin, yang kemudiannya mencadangkan satu perjanjian luar biasa – Haizi perlu berkahwin dengan anaknya, Nazim (Jazmy Juma), dan sebagai syarat pembebasan daripada perkahwinan itu, dia perlu mencarikan calon isteri yang lebih baik untuk Nazim.

Apa yang bermula sebagai perkahwinan atas dasar perjanjian mula berkembang menjadi hubungan cinta yang penuh emosi. Namun, kebahagiaan mereka diuji dengan kemunculan Dayana (Trisha Ooi), sepupu Nazim yang membawa fitnah dan konflik. Ketika Haizi sedang mengandung, pasangan ini perlu berdepan dengan ujian terbesar mereka.
Menurut Jazmy Juma, kerjasamanya bersama Siti Hariesa di set penggambaran merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

“Kami saling menyokong dan berbincang agar setiap babak dilakonkan dengan penuh jiwa. Chemistry antara kami sangat kuat dan saya percaya penonton akan turut merasainya,” ujar Jazmy.
Beliau juga menekankan kepentingan kerjasama erat antara pelakon dan pengarah dalam menghasilkan drama berkualiti tinggi.
“Setiap pandangan dan tunjuk ajar daripada pengarah menjadikan lakonan kami lebih mantap,” tambahnya lagi.
Penonton VIP iQIYI boleh menonton episod baharu secara ekspres pada hari tayangan jam 8.00 malam, manakala pengguna biasa boleh menstrim secara PERCUMA selepas 48 jam. Aplikasi iQIYI boleh dimuat turun di App Store dan Play Store.
Adakah perjanjian yang pada asalnya bersifat sementara akan membawa kepada cinta sejati? Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Calon Isteri Buat Suami – drama yang penuh dengan kejutan, dilema dan kasih sayang.