September 10, 2024

KUALA LUMPUR – Aura kumpulan Slam tidak boleh disangkal lagi, ini terbukti mereka masih kekal relevan sehingga kini, jadi tidak hairanlah mengapa setiap kali kemunculan mereka sentiasa mendapat sambutan hebat daripada peminat-peminat setia mereka.

Slam telah mengharungi perjalanan seni hiburan tempatan selama 3 dekad. Lantaran itu Zamani, Shah, Eddie, Lili dan Man berharap peminat-peminat mereka terus memberikan sokongan yang padu.

Kejayaan demi kejayaan diraih kumpulan Slam, kini sekali lagi diberi kepercayaan untuk menjayakan sebuah konsert yang berprestij pada 6 Ogos 2023 bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

Kumpulan Slam

Menurut pemain bass kumpulan Slam, Noor Azli Masrani atau Lili, Konsert kali ini diberi nama ‘NurKasih’ yang juga merupakan salah satu judul lagu hits kumpulan Slam yang membawa erti curahan kasih sayang Slam kepada peminat yang selama ini tidak putus-putus menyokong mereka.

“Pihak penganjur telah memilih ‘Nurkasih’ sebagai tajuk konsert pada kali ini dan disebabkan kami baru selesai mengadakan konsert 30 tahun Slam di Singapura maka pihak penganjur mahu kami membuat kelainan dalam konsert 6 Ogos ini nanti.

“Kami juga mahu merapatkan silaturahim bersama peminat dan Slam juga mahu menghadiahkan beberapa buah gitar kepada peminat yang bertuah, ini adalah salah satu penghargaan kepada peminat yang menyokong Slam selama ini.” Ujar Lili selaku pemain bass.

Bagi Shah atau nama sebenar, Shah Nizam Abdul Halim turut berkata mungkin ada beberapa lagu yang tidak pernah persembahkan akan dimainkan ketika konsert tersebut.  

“Kalau diikutkan, lagu Slam kebanyakannya agak perlahan. Setiap kali menjayakan konsert, pasti ada peminat bertanya mengenai kelainan atau susunan muzik yang bakal dibawa, jadi, untuk semua peminat yang datang ke Konsert Slam Nurkasih, mereka akan rasai kelainan yang cuba dibawa dalam segenap sudut persembahan.

“Bagaimanapun, untuk lagu bergenre balada, kami tidak boleh membuat perubahan yang begitu besar kerana boleh mencacatkan susunannya. Pada masa berbaki ini, kami akan beri kelainan pada setiap susunan lagu yang akan dibawa pada malam itu,” ujar Shah ketika ditemui media di Ukay Perdana, baru-baru ini.

“Konsert ‘NurKasih’ tidak sama dengan konsert Slam 30 tahun yang telah berlangsung di Singapura baru-baru ini.  Konsert tersebut bagi kami ianya cukup ‘berat’ namun berbeza dengan konsert ini dimana ianya lebih santai dan yang penting lagu-lagu yang bakal dipersembahkan cukup dekat di hati para peminat”, ujar Zamani selaku vokalis Slam.

Zamani dan Shah Slam

Zamani yang akan mendendangkan antara 18 lagu hingga 20 lagu pada konsert itu berkata, kesihatannya stabil untuk beraksi kelak.

“Susunan lagu pada Konsert Slam Nurkasih dibuat mengikut kesesuaian dan kemampuan vokal saya ketika ini. Saya harap semuanya lancar. Alhamdulillah, setakat ini, keadaan fizikal saya baik dan diharap dapat terus mengekalkannya menjelang konsert. Namun, tidak dinafikan, risau itu ada”, ujarnya.

“Tahap kesihatan saya semakin hari semakin baik, cuma masih perlu menjaga suara, InshaAllah saya akan memberikan yang terbaik buat semua peminat. Apa yang penting kita kena sama-sama berdoa agar semuanya lancar seperti yang dirancang” katanya.

Konsert Slam Nurkasih yang dibawa AV Group & WMD Event menawarkan tiket bermula RM198. Tiket boleh didapati menerusi pautan ilassotickets.com/event/konsert-slam-nurkasih/.

Penonton bukan sahaja berpeluang menyaksikan persembahan hebat selama lebih dua jam, malah berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik, antaranya empat buah gitar (dua elektrik, dua akustik) yang ditaja khas oleh PBH MUSIC Sdn Bhd.

Temu bual SLAM tentang Konsert Nurkasih dan kenangan Slam selama 3 dekad dalam industri seni