July 19, 2024

KUALA LUMPUR : Sudah lama tidak mendengar perkhabaran dari kumpulan terkenal Indonesia, Slank. Aksi-aksi mereka di pentas dengan lagu-lagu cukup bertenaga mereka dirindui khalayak terutama para peminat setia mereka di Malaysia. 

Nyata, mimpi dan keinginan para peminat Malaysia bakal berbalas kenyataan apabila kumpulan terkenal seberang itu bakal diterbangkan khas oleh TBRW Global Sdn Bhd untuk bertemu mata dengan peminat setia mereka sambil menyanyikan bersama-sama lagu kegemaran mereka. 

Tanggal 19 November 2022 adalah tarikh yang harus ditandakan di kalander anda kerana Slank akan mempersembahkan ‘Konsert 4 Dekad Slank’. Bertempat di Zepp Kuala Lumpur dan akan bermula pada pukul 8.30 malam, Slank bakal mempersembahkan konsert dengan durasi 2 jam khas buat para peminat di Malaysia. 

Pihak penganjur TBRW Global Sdn Bhd berasa cukup terharu dan gembira dengan kesudian Slank untuk muncul di Malaysia setelah sekian lama tidak muncul di Kuala Lumpur khususnya.

“Kami ingin membawakan sebuah kumpulan yang sangat legenda dari seberang dan kami berasa sangat gembira untuk mengumumkan Konsert 4 Dekad Slank yang akan diadakan pada 19 November ini,” ujar Wan Norul Fadly mewakili TBRW Global Sdn Bhd. 

Kumpulan Slank yang dianggotai oleh Kaka (vokal), bimbim (dram), Abdee Negara (gitar), Ridho (gitar) dan Ivanka (bass) juga sangat teruja untuk bertemu para Slankers di Malaysia sambil membawakan lagu-lagu popular mereka pada malam konsert tersebut. 

Kumpulan Slank merupakan kumpulan rock terbesar di Indonesia yang berasal dari Jakarta. Kumpulan pujaan ramai ini diasaskan pada tahun 26 Disember 1983 oleh remaja di lorong di Jakarta yang bergelar Gang Potlot, dengan membawa muzik aliran rock. 

Slank akan mengadakan konsert November ini di Zepp Kuala Lumpur

Slank muncul dengan album berjudul Suit-suit…Hehehe (Gadis Sexy) pada tahun 1990 diikuti dengan pelbagai album pada setiap tahun hinggalah album Vaksin Slank yang dilancarkan pada 1 Januari 2021 dengan tag line ‘Suntikan cinta yang menyehatkan hati dan mencerdaskan akal. Vaksin Slank.’ Sehingga kini dalam usia mencapai 40 tahun, Slank sudah mengeluarkan 24 buah album dan itu merupakan kunci kepada keberadaan mereka hingga kini.

Menurut Kaka dalam sebuah temubual, kunci kepada keberadaan mereka selama 40 tahun dalam industri dan diterima oleh pelbagai generasi adalah kerana rutin mengeluarkan karya baharu. Malah Bimbim yang merupakan pemain dram Slank menganggap bahawa pemuzik akan selalu diingati dan dilihat kerana karya mereka. 

Pesan Bimbim lagi jangan berhenti berkarya kerana karya seniman akan ditunggu. Jika berhenti berkarya, orang akan turut berhenti mengikuti. 

Kumpulan yang aktif dan bertenaga hingga sekarang ini juga pernah muncul dengan beberapa album runut bunyi seperti Get Married, Get Married 2 dan  Generasi Biru The Movie.  Slank turut menyatakan rasa syukur kerana dari tahun 1990 hingga kini, masih produktif dan tetap muncul dengan karya-karya baharu. 

Muzik Slank juga dianggap sebagai salah satu khazanah kebudayaan Indonesia. Malah kumpulan ini pernah merangkul pelbagai anugerah antaranya empat kali memenangi Album Rock Terbaik di ‘Anugerah Musik Indonesia’ serta memenangi ‘Most Favorite Band’ di Anugerah MTV Indonesia dan pelbagai lagi. 

Setelah vakum kerana pandemik, akhirnya Slank muncul pada Mac tahun ini melalui persembahan pentas di Mandalika untuk mengubat kerinduan para Slankers. Dan tentunya tarikh 19 November merupakan tarikh yang ditunggu-tunggu oleh para peminat di Malaysia untuk melepaskan kerinduan tersebut untuk menyanyikan bersama-sama lagu-lagu seperti Ku Tak Bisa,  I Miss You But I Hate You, Kamu Harus Pulang, Orkes Sakit Hati dan Virus. 

Tiket-tiket dengan harga (early bird) Cat 4 (RM298), Cat 3 (RM398), Cat 2 (198) dan Cat 1 (238). Tiket-tiket harga biasa (normal) Cat 4 (RM318), Cat 3 (RM418), Cat 2 (218) dan Cat 1 (258) akan dijual mulai hari ini, 23 September, pukul 11 pagi di https://www.ticket2u.com.my.