KUALA LUMPUR : Peneraju pertunjukan ‘lifestyle’ alternatif dan juga indie, Art of Speed Malaysia (AOSM) bersama pengeluar produk peranti elektronik BRO ASIA, berganding bahu buat pertama kalinya bagi menganjurkan festival muzik yang ditunggu-tunggu saban tahun dengan menghimpunkan nama-nama besar pengkarya muzik tempatan dan luar, ‘SoundCircus Weekender’ bakal berlangsung pada 4 dan 5 Mac 2023 ini bermula jam 10:00 pagi sehingga lewat bertempat di hab komuniti dan budaya terkenal, REXKL.
“Istimewanya acara SoundCircus Weekender pada tahun ini, selain mengambil tempat di bangunan pawagam lama yang diberi nafas baharu iaitu REXKL, yang berada di tengah-tengah ibukota Kuala Lumpur, ia juga diadakan secara ‘stand-alone’ tanpa acara tahunan AOSM yang biasanya diadakan di MAEPS, Serdang,” jelas Encik Asep Ahmad Iskandar, yang merupakan Pengarah Festival, Art of Speed Malaysia & SoundCircus.
Bermula pada tahun 2017, SoundCircus merupakan sebuah ‘gig’ kecil yang bertujuan menyediakan ‘platform’ khusus bagi penggiat muzik arus perdana dan terutamanya ‘underground’ untuk mempersembahkan hasil karya mereka.
Kemudian pada tahun 2019, disebabkan respon yang menggalakkan daripada pengunjung, lokasinya diubah ke luar dewan utama acara AOSM bagi menampung penambahan jumlah pengunjung seramai 5,000 orang.
Dan pada tahun ini pula, AOSM turut mempelawa BRO ASIA, sebuah jenama baharu dalam industri peranti elektronik di Malaysia yang ingin menunjukkan sokongannya terhadap AOSM dalam penganjuran acara muzik SoundCircus Weekender selain berpeluang memperkenalkan jenama mereka kepada pengunjung serta peminat acara muzik secara ‘live’ tanpa henti.
Menurut Encik Roman Lai, selaku Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif jenama BRO ASIA, “Kami sangat berbangga dan teruja menerima pelawaan AOSM untuk bersama-sama menjayakan acara SoundCircus Weekender yang gah ini, ia sangat tepat dengan hala tuju jenama kami yang baharu dan bersesuaian dengan peminat AOSM.”
Acara SoundCircus Weekender merupakan medan pengumpulan pengkarya muzik dari dalam mahupun luar negara dengan menghidangkan citarasa muzik segar masa kini demi memuaskan halwa telinga peminat dan pengikut acara ini.
Tambah Encik Asep, “Lebih istimewa pada tahun ini, buat pertama kalinya festival muzik bergenre indie rock diadakan di lokasi istimewa iaitu REXKL dan digelar ‘SoundCircus Weekender’ selama 2 hari berturut-turut pada hujung minggu.
Barisan pemuzik yang bakal beraksi adalah The Sigit (Indonesia), Mooner (Indonesia), Sweetass, Bunkface, Noh Salleh & Restoe Iboe Band, Iqbal M, Flop Poppy, A.C.A.B, Grey Sky Morning, Naratu, Budak Nakal Hujung Simpan, Jemson, Margasatwa, Impatient Sisters, Republic of Brickfields, Asyrfnsir, Yonny Boii, Kmy Kmo dan Lucka Sickta.
Ujar Encik Asep, “Pemilihan band adalah berdasarkan suara kolektif komuniti yang telah disenaraikan pendekkan oleh mereka yang peka dengan perkembangan muzik semasa.”
“Kami menjangkakan pengunjung yang bakal hadir rata-ratanya terdiri daripada peminat muzik indie sehingga hip-hop berumur di antara 18 sehingga 40 tahun.”
“Selain itu ‘Battle of The Bands’ turut diadakan pada sebelah siangnya yang akan disertai lebih kurang 10 buah kugiran muzik baharu yang bergenre indie, rock dan reggae dengan jumlah lebih 30 artis serta kugiran yang bakal menghiburkan pengunjung.
Akhiri Encik Asep, “Kami (AOSM & BRO ASIA) berharap agar acara muzik ini menjadi pilihan utama peminat muzik yang ingin berhibur di lokasi strategik iaitu di tengah-tengah ibukota Kuala Lumpur, semoga pengunjung akan pulang terhibur oleh acara SoundCircus Weekender dengan memori yang indah!”
Bagi mereka yang berminat untuk menyaksikan acara SoundCircus Weekender, tiket 2 hari serendah RM158 masih ada dijual, sila layari https://scf.artofspeedmy.com/ untuk pembelian.