March 28, 2025

KUALA LUMPUR – Drama bersiri popular Keluarga Itu terus mencetuskan perbincangan hangat apabila watak Ansara, lakonan Fattah Amin, didakwa mempunyai persamaan dengan kisah peribadi pelakon itu. Spekulasi ini semakin hangat diperkatakan di media sosial dengan pelbagai komen daripada peminat yang membandingkan jalan cerita drama tersebut dengan kehidupan sebenar Fattah.

Antara komen yang menarik perhatian adalah, “Macam kisah benar Fattah pula…” dan “Kenapa watak Fattah dalam cerita ini seakan-akan kisah hidupnya sendiri?” yang membanjiri ruangan media sosial sejak episod terbaru drama ini ditayangkan.

Eirma Fatima

Bagaimanapun, penerbit dan penulis skrip drama tersebut, Eirma Fatima, tampil menafikan dakwaan bahawa watak Ansara diilhamkan daripada kehidupan sebenar Fattah Amin. Ditemui pada majlis Istimewa Iftar Keluarga Itu pada Rabu lalu, Eirma menegaskan bahawa watak tersebut sudah lama dirancang sebelum pelakon itu berdepan dengan isu peribadi.

“Saya menghasilkan skrip Keluarga Itu dan menawarkannya kepada Fattah sebelum dia bercerai. Saya tidak pernah peduli tentang sebab atau punca perceraiannya. Sama ada kebetulan atau tidak, saya sendiri tidak pasti. Mungkin bahagian perceraian itu ada persamaan, tetapi selain itu, saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Apa yang pasti, cerita ini sudah pun dirancang lebih awal,” jelasnya.

Fattah Amin

Sementara itu, Fattah Amin ketika diminta mengulas mengenai spekulasi tersebut memilih untuk tidak memberi komen lanjut.

“Soal jalan cerita atau watak, saya tak boleh ulas kerana pelakon hanya menerima skrip daripada penulis dan pengarah. Namun, bagi saya, yang paling penting adalah menjalankan tanggungjawab serta amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin. Itu sahaja,” katanya ringkas.

Drama Keluarga Itu terus mendapat perhatian ramai dan disiarkan setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di TV3. Peminat juga boleh menontonnya 24 jam lebih awal secara penstriman di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store.

Leave a Reply