KUALA LUMPUR : Kumpulan rock terkenal Indonesia, ST12 akan memberi penghormatan buat komposer atau pencipta lagu Isabella nyanyian kumpulan Search yang pernah menjadi fenomena bukan sahaja di malaysia malah di Indonesia.
Munurut bekas vokalis ST12 yang kini bersama Setia Band, Charly Van Houten, 43, beliau akan memberi penghormatan sempena konsert ST12 Reunion 20 Tahun Charly Berkarya yang bakal diadakan pada 11 Mac 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula jam 8 malam.
Lagu Isabella yang dinyanyikan semula oleh ST12 mendapat sambutan hangat di Indonesia sehingga ada peminat yang menganggap lagu itu hasil karya charly. Namun Charly bersama ST12 berasa bertuah kerana diberi peluang dan kepercayaan oleh pencipta asalnya untuk menyanyikan semula lagu tersebut.
“Di Indonesia, lagu Isabella dianggap lagu kepunyaan ST12 lebih-lebih lagi generasi era milenium mereka tidak tahu bahawa lagu popular itu asalnya oleh penyanyi dari Malaysia, itu sangat luar biasa dan saya akan beri penghargaan khusus buat pencipta lagu itu di malam konsert tersebut,” kata Charly.
Ketika ditemui pada sesi sidang media di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Charly memaklumkan persediaannya bersama ST12 untuk mempersembahkan 20 buah lagu hasil karya-karya beliau dan memberikan semaksima mungkin dari segala aspek termasuk promosi, konsep dan sebagainya.
“Harap konsert ini success, berjalan lancar dan kita semua diberi kesihatan yang baik agar bisa memberikan pertunjukan yang terbaik buat seluruh penikmat muzik di Malaysia,” ujarnya lagi.
Semasa sidang media itu juga, Charly mendedahkan yang beliau banyak menolak tawaran untuk mengadakan konsert yang menuntutnya menaiki pesawat disebabkan beliau trauma selepas melihat banyak kes pesawat terhempas dan maut ketika melakukan penerbangan. Namun pihak penganjur Menara Network Sdn Bhd berjaya menambat hati Charly untuk mengadakan konsert di Malaysia walaupun beliau terpaksa menaiki pesawat.
“Peminat di Malaysia sudah lama menginginkan saya untuk mempamerkan karya-karya saya di sini dan sebagai seorang seniman saya ingin memberikan yang terbaik buat peminat, walaupun saya takut untuk menaiki pesawat tetapi saya memberanikan diri, bertawakal dan berserah hanya kepada Allah,” katanya.
Sebelum ini juga ST12 pernah menolak lebih 50 undangan menyanyi bukan sahaja di Malaysia bahkan di Amerika Syarikat disebabkan Charly takut untuk menaiki pesawat.
Konsert yang menggabungkan band yang dianggotai Charly ketika ini iaitu Setia Band dan band terdahulu yang dianggotainya iaitu ST12 turut mengundang penyanyi berasal dari Malaysia iaitu Ezad Lazim dan Jaclyn Victor. Turut serta dalam konsert yang bakal diadakan nanti penyanyi yang pernah popular dengan lagu berjudul Kehilangan iaitu Firman Siagian.
Untuk rekod, ST12 merupakan band yang ditubuhkan oleh Charly (vokalis), Pepep (drum), Pepeng (gitar), dan Iman Rush (gitar) pada tahun 2004. Nama ST12 sendiri adalah pemberian dari ayah Pepep yang merupakan singkatan dari Jalan Stasiun Timur No. 12, tempat mereka berkumpul untuk bermain muzik bersama.
Populariti ST12 semakin dikenali dengan lagu-lagu Aku Masih Sayang dan Aku Tak Sanggup Lagi (ATSL) sehingga mereka merilis album P.U.S.P.A sehingga ‘meledak’ ke Malaysia dengan lagu-lagu hit antaranya Jangan Pernah Berubah, Putri Iklan dan P.U.S.P.A. Namun pada tahun 2012, Charly akhirnya memutuskan untuk keluar dari ST12, kemudian disusuli oleh Pepeng.
Charly dan Pepeng mengambil keputusan dengan menubuhkan Setia Band untuk menghasilkan karya-karya hasil sentuhan mereka, manakala Pepep masih meneruskan perjuangan ST12 dengan anggota yang baharu. Namun begitu, ketiga-tiga personil ini masih mempunyai hubungan yang baik sehingga sekarang.
Tiket sudah mula dijual kepada orang ramai dan boleh didapati di www.tiket2u.com.my. Tiket bermula serendah harga RM99, RM165, RM290, RM365 dan RM395.