January 15, 2025

KUALA LUMPUR – Sejak mula mencipta nama dalam industri muzik Malaysia, Stacy Anam, bintang kelahiran Sabah yang memenangi Akademi Fantasia musim keenam pada 2008, terus menjadi perhatian. Dikenali dengan vokal mantap dan keupayaan menari yang luar biasa, Stacy sinonim dengan lagu rancak bertempo tinggi.

Kini, Stacy bukan sahaja aktif menyanyi dan membuat persembahan, tetapi turut mencipta serta menulis lagu berkualiti bersama suaminya, Akim Ahmad. Pasangan ini menggunakan nama pena Bunga Cantik dan Hang Nadim dalam penghasilan karya terbaharu mereka, Menyala.

Menurut Stacy, lagu Menyala tercetus daripada siulan melodi yang memancarkan dua emosi berbeza – bermula lembut sebelum beralih kepada elemen rock yang bertenaga.

“Liriknya dihasilkan berdasarkan rasa yang disampaikan oleh melodi lagu ini, dan kami berjaya menghabiskannya dalam satu cerita,” katanya.

Lagu ini memaparkan gabungan elemen reggaeton, rock, dan pengaruh dramatik Nusantara. Stacy menjelaskan bahawa proses penghasilan lagu ini tidak mengambil masa lama kerana pemahaman dan sinergi antara dirinya dan Akim.

 muzik Menyala memberi nyawa kepada melodi dan lirik, dengan nuansa yang mengingatkan kita untuk sentiasa berpada-pada dalam kehidupan,” tambah Stacy.

Bagi Stacy, peringatan ini turut digunakannya ketika membuat persembahan.

“Untuk tampil sederhana bersama penari, saya perlu ketenangan dan fokus. Perkara ini juga diterjemahkan dalam susunan graf momentum muzik Menyala,” ujarnya.

Stacy berharap lagu ini dapat diterima baik oleh peminat dan pendengar.

Menyala berbeza daripada lagu-lagu saya sebelum ini tetapi masih kekal dengan identiti muzik Stacy. Saya harap lagu ini mampu mewarnai industri muzik tempatan,” katanya.

Lagu Menyala telah dilancarkan di semua platform digital sejak 8 November lalu. Muzik video rasmi pula boleh ditonton di saluran YouTube SonymusicMYVEVO.

Lagu ini merupakan hasil kerjasama antara Sony Music Entertainment Malaysia, Alternate Records, dan Rhythm & Rhyme Entertainment.

Stacy – Menyala (Muzik video rasmi)