April 22, 2024

KUALA LUMPUR – Figura hebat ini antara juara program realiti yang masih kekal relevan hingga kini. Segalanya bermula 15 tahun lalu selepas dia dinobatkan sebagai juara ‘Akademi Fantasia’ musim keenam (AF6).

Single sulungnya, Aku Stacy membawa namanya di puncak kerjaya apatah lagi menerusi lagu itu juga dia buat pertama kali berjaya melangkah ke pentas berprestij ‘Anugerah Juara Lagu’ ke-23.

Mendapat jolokan Ratu Tari, Stacy, 33, atau nama sebenarnya Ummu Syaikhah Stacy Anam cukup sinonim dengan lagu-lagu rancak. Malah, Stacy tidak pernah gagal menghiburkan peminat dengan aksi lincah dan bertenaga di atas pentas.

Kemampuan Stacy mempersembahkan sesebuah lagu dengan ‘trademark’ dimiliki itu meletakkannya di kelas tersendiri. Tidak keterlaluan jika dikatakan, Stacy hanya satu, tiada dua.

Stacy muncul dengan single terbaharu berjudul Teriak

Ingin mengulangi kejayaan hampir kesemua lagu yang pernah dilancarkan, Stacy muncul dengan single terbaharu berjudul Teriak. Sekali lagi, Stacy menerusi nama pena Bunga Cantik bekerjasama dengan suami tercinta juga penyanyi Akim Ahmad atau nama penanya, Hang Nadim dalam penghasilan single terbaharu ini.

Menariknya, lagu Teriak membawakan mesej berkaitan masalah kesihatan mental.

“Lagu ini menceritakan perkara yang pernah dilalui ramai orang. Ia berkaitan masalah kesihatan mental dan lagu ini juga sebenarnya bercerita mengenai pengalaman saya sendiri yang pernah mengalami masalah depresi dan tekanan mental. Cuma, bila teringat kembali peristiwa itu, saya tidak terlalu mengambil berat emosi saya ketika itu, sedangkan ia sangat penting. Saya rasa ramai orang mengalami masalah yang sama.

“Kalau dahulu, saya tidak begitu faham dengan masalah kesihatan mental. Saya hanya belajar untuk banyak bersabar untuk menghadapi tekanan jiwa yang dirasai ketika itu. Sedangkan sebenarnya ada banyak kumpulan sokongan seperti Befrienders KL yang boleh dihubungi untuk membantu individu yang berhadapan dengan masalah itu,” katanya.

Menurutnya, lirik lagu bertemakan masalah kesihatan mental itu ditulis selepas mendengar melodi terlebih dahulu. 

“Saya berasakan melodi ini memerlukan lirik yang betul-betul kuat. Disebabkan lagu ini juga saya yang nyanyikan sendiri, saya mahukan lirik lagu yang lebih daripada biasa. Ia mengambil masa agak lama juga untuk dihasilkan kerana perlu mencari lirik yang betul-betul sesuai,” katanya.

Lagu Teriak membawakan mesej berkaitan masalah kesihatan mental

Berbeza dengan kebanyakan single terdahulu, Teriak menampilkan genre rock yang memberikan cabaran tersendiri.

“Dari segi genre muzik pula, ia lebih terarah ke genre rock. Lagu ini boleh dikatakan agak mencabar kerana saya sudah lama tidak menyanyikan lagu seperti ini. Dari segi teknikal pula, ia sangat memerlukan usaha yang banyak untuk dapatkan hasil terbaik.

“Saya berterima kasih kepada Akim kerana dia banyak membantu saya. Tanpa adanya bantuan daripada dia, mungkin lagu ini tidak akan menjadi. Untuk bawa genre muzik seperti ini memang susah dan sekarang ini saya giat berlatih supaya dapat menanyikan lagu ini secara langsung dengan baik,” katanya.

Buat peminat Stacy, lagu Teriak ini bakal dipersembahkan secara eksklusif pada Konsert Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Stacy, 25 Februari ini.

“Untuk konsert di DFP nanti, saya akan bawa lagu ini secara eksklusif. Jadi, memang sekarang saya banyak tumpukan perhatian untuk mempersembahkan lagu ini dengan baik. Semoga semuanya berjalan lancar.

“Saya harap orang ramai dapat faham apa isi sebenar yang ingin saya sampaikan dalam lagu terbaharu saya ini. Saya pernah mengalami masalah sedemikian, jadi saya mampu berikan penjiwaan sepenuhnya ketika menyampaikan lagu ini,” katanya.

Single terbaharu Teriak terbitan bersama Nova Music dan Rhythm & Rhyme Entertainment nyanyian Stacy boleh mula distrim di semula perkhidmatan striming muzik digital bermula semalam. Video lirik lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada hari yang sama.

Teriak – Stacy | Lirik Video Rasmi