Stacy Hadiahkan Konsert Paling Ikonik Buat Peminat Negeri Kelahiran

KOTA KINABALU, 12 April 2025 – Pentas ikonik Sabah International Convention Centre (SICC) dijangka bergema dengan sorakan peminat apabila bintang kelahiran Sabah, Stacy, kembali ke tanah airnya dengan konsert solo mega yang paling dinanti-nantikan – “Aku Stacy Menggegar Kota U”.

Dalam satu sidang media eksklusif petang tadi, Stacy secara rasmi mengumumkan konsert istimewa ini yang akan berlangsung pada 21 Jun 2025, hasil anjuran Rhythm & Rhyme Entertainment dengan sokongan padu daripada U Mobile. Acara tersebut turut diserikan dengan persembahan akustik penuh emosi dari Stacy yang membawakan lagu-lagu hitsnya — “Pelangi Senja”, “Not For Sale” dan “Jahat” — berlatarbelakangkan pemandangan laut dan matahari terbenam, mencipta suasana magikal yang menggetarkan jiwa.

Sebuah Persembahan, Sejuta Makna

“Konsert ini bukan sekadar persembahan. Ia adalah hadiah daripada saya untuk Sabah — negeri yang membesarkan saya,” kata Stacy sambil menekankan penglibatan penuhnya dalam keseluruhan proses konsert termasuk konsep, koreografi, pemilihan pasukan produksi dan susunan muzik.

Dengan tema yang penuh warna dan tenaga, Stacy turut mendedahkan akan membawa penari dari Semenanjung untuk digandingkan dengan penari tempatan, dalam usaha mencipta sebuah persembahan yang unik dan tidak pernah dilihat sebelum ini.

Stacy & Akim: Cinta dan Muzik Bersatu di Pentas

Satu lagi detik yang pasti dinanti-nantikan peminat adalah kemunculan suami Stacy, Akim Ahmad, yang bakal bergandingan bersama dalam segmen khas duet romantis. “InsyaAllah, segmen ini akan bersemut,” gurau Akim sambil menyatakan keterujaannya dapat menyertai isteri tersayang dalam konsert sebesar ini.

Beliau turut bersyukur kerana cuaca cerah menyinari sidang media yang diadakan secara terbuka. “Seolah-olah alam pun merestui,” katanya tersenyum.

Konsert Penuh Jiwa Di Negeri Kelahiran

“Aku Stacy Menggegar Kota U” akan menyajikan gabungan elemen muzik, tarian, visual dan penceritaan yang menyentuh perjalanan karier Stacy dari awal kemunculannya menerusi lagu “Aku Stacy” sehingga ke karya terkininya seperti “Menyala”.

“Setiap lagu dalam konsert ini membawa kisah tersendiri. Saya mahu setiap penonton pulang dengan hati yang penuh — puas, terhibur dan terinspirasi,” ujar Stacy, penuh harapan.

Tiket & Kategori Harga

Tiket konsert kini telah mula dijual sejak 10 April menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com. Berikut adalah kategori serta harga tiket:

  • Not For Sale (Seating) – RM6,000
  • Aku Stacy (Seating) – RM399
  • Pelangi Senja (Free Standing) – RM257
  • Gilalah (Free Standing) – RM197
  • Jahat (Free Standing) – RM137

Ikuti Perkembangan Terkini

Peminat disarankan untuk mengikuti akaun media sosial rasmi Stacy serta saluran U Mobile bagi mendapatkan maklumat terkini, kandungan di belakang tabir dan pengalaman eksklusif menjelang malam konsert yang dijangka mencipta sejarah tersendiri dalam dunia hiburan Malaysia.

Sabah, bersedialah! Stacy akan pulang untuk menggoncang kota.