May 1, 2024

KUALA LUMPUR – P.Radhi atau nama sebenar , Muhammad Radhi Ab Rahman , muncul dengan cover terbaru Suatu Masa nyanyian asal M.Nasir, terbitan Luncai Emas Sdn Bhd. P.Radhi berjaya menarik perhatian dengan single ‘cover’ pertama beliau Tiara dalam gaya ala – ala seniman agung Allahyarham P.Ramlee. P.Radhi merupakan Juara Bintang P.Ramlee Kebangsaan tahun 2016. 

Suatu Masa merupakan sebuah lagu nyanyian dan ciptaan M.Nasir untuk OST Dia Ibuku yang telah diterbitkan pada tahun 1981 dan kemudian dinyanyikan semula oleh M.Nasir dalam album Srikandi Cintaku pada tahun 1999.

“Saya mendapat sokongan penuh daripada Luncai Emas untuk ‘cover’ lagu Suatu Masa ini. Saya sangat gembira ia juga dapat respons yang positif daripada Dato’ M. Nasir.” Kata P.Radhi tentang perasaan beliau mengenai single ini.

“Saya memilih lagu Suatu Masa kerana lagu ini sangat besar bagi saya. Bait – bait liriknya sangat mendalam bila dihayati dan ia serasi dengan jiwa saya.” Terang penyanyi yang berasal dari Melaka tentang sebab-sebab pemilihan lagu Suatu Masa sebagai ‘cover’ kedua beliau di bawah Luncai Emas. 

P.Radhi tampil dengan lagu ‘cover’ berjudul Suatu Masa

Gubahan lagu Suatu Masa digubah dalam gubahan klasik sepertimana lagu Tiara terdahulu. Gubahan klasik adalah kreativiti Mohd Ridzuan Taib atau lebih dikenali sebagai Wan Dillhanaridz. 

Video muzik Suatu Masa berkisahkan kerinduan seorang suami kepada isterinya yang telah pergi selama-lamanya. Selain P.Radhi, ia turut dibintangi oleh penyanyi dan pelakon, Aznie Azmi, seorang ahli kumpulan popular, The Gady’s, yang berlakon sebagai isteri. Video muzik telah diarahkan oleh pengarah, Juril Jumali dan penggambaran telah dijalankan di Laman Dayung, Kuang, Selangor.  

Pembikinan video muzik Suatu Masa

Luncai Emas Sdn Bhd mendedikasikan muzik video ini kepada insan – insan rapat seperti komposer dan penulis lirik yang telah meninggal dunia di antaranya Allahyarhamah Puan Junainah Johari , Allahyarham Bob Lokman , Loloq, Tony Spider, Wan Zul dan Dr. Wan Zawawi. Insan – insan ini telah menjadi sebahagian daripada keluarga Luncai Emas sejak penubuhan Luncai Emas pada tahun 1990. Luncai Emas berharap video muzik ini akan memberi kesan kepada yang menontonnya. 

Audio Suatu Masa nyanyian P.Radhi sudah pun ada di semua saluran digital seperti Spotify, Apple Music manakala video muzik pula telah dilancarkan dan sedia untuk dilayari di YouTube pada hari ini, 20 Januari 2023.

SUATU MASA (COVER VERSION) – P.RADHI – OFFICIAL LYRIC VIDEO