Suki Low: “Anugerah Hati” bukan sekadar lagu, tapi suara buat kanak-kanak autistik

SUBANG JAYA, 21 Mac 2025 – IDEAS Autism Centre (IAC) dengan bangganya melancarkan kempen “Anugerah Hati” bagi meningkatkan kesedaran tentang autisme serta mempromosikan keterangkuman buat individu dalam spektrum autisme. Bersempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, inisiatif ini menyeru masyarakat untuk meraikan kepelbagaian serta memupuk pemahaman dan kasih sayang terhadap kanak-kanak autistik.

Sebagai teras utama kempen ini, sebuah lagu dan video muzik Hari Raya yang menyentuh hati telah dilancarkan. Projek ini diterajui oleh penyanyi terkenal, Suki Low, bersama kumpulan budaya Alun Tradisi dan turut disertai oleh Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz. Dirakam di IDEAS Autism Centre, Nilai, karya ini menggambarkan semangat kegembiraan Hari Raya dengan menampilkan kanak-kanak IAC menyambut perayaan tersebut bersama masyarakat. Melalui melodi yang penuh semangat dan visual yang bermakna, ia menekankan kepentingan keterangkuman serta sokongan komuniti.

Majlis pelancaran kempen “Anugerah Hati” baru-baru ini telah diadakan di Bizmilla Wedding Hall, One City, Subang, dan dihadiri oleh penaja, rakan kongsi, penyokong, serta keluarga IAC. Majlis berbuka puasa yang dianjurkan turut mencerminkan nilai empati, kemurahan hati dan perpaduan sepanjang bulan Ramadan.

Suki Low, yang telah lama bekerjasama dengan IAC, menyatakan bahawa projek ini amat dekat di hatinya. “Saya berbesar hati mempersembahkan ‘Anugerah Hati’, sebuah lagu yang didedikasikan untuk kanak-kanak autistik dan kepelbagaian yang kita boleh cipta bersama. Muzik melampaui batasan dan lagu ini adalah rayuan mesra saya – satu seruan agar kita lebih mendengar dengan kasih sayang, mencintai dengan lebih mendalam, dan membina dunia yang lebih inklusif.

“Saya memilih irama Joget kerana semangatnya yang ceria dan kaitannya dengan budaya Melayu. Seperti ketabahan kanak-kanak autistik, Joget meraikan kehidupan dan kebersamaan. Saya berharap lagu ini menjadi lagu Raya yang abadi yang menghormati tradisi sambil merangkul kemajuan,” katanya.

Pengarah IAC, Puan Mazrina Arifin, turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha ini. “Anugerah Hati sangat bermakna buat kami. Dengan mengangkat suara dan senyuman anak-anak serta guru-guru kami, kami berharap dapat menginspirasi Malaysia yang lebih inklusif dan penuh kasih sayang.

“Setiap sumbangan, besar atau kecil, membantu kami menaja terapi, melatih pakar, dan memperluaskan jangkauan kepada lebih banyak keluarga yang memerlukan. Kami juga menghargai inisiatif Suki yang sudi menggunakan bakatnya untuk membangkitkan kesedaran melalui muzik,” jelasnya.

Kempen ini turut mendapat sokongan daripada beberapa penaja utama, termasuk Lee & Poh Partnership, Enotech, Mar’s Kuala Lumpur, Kitsui, serta penyumbang lain yang prihatin terhadap keterangkuman autisme.

IAC menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyokong usaha ini sepanjang Ramadan dan Aidilfitri. Orang ramai boleh menonton dan berkongsi video muzik “Anugerah Hati” di YouTube serta menstrim lagu tersebut di semua platform digital utama.

IDEAS Autism Centre, yang ditubuhkan pada 2012 oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) di bawah kepimpinan presiden pengasasnya YAM Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz, menyediakan penjagaan dan pendidikan khusus untuk kanak-kanak autisme, terutamanya daripada keluarga berpendapatan rendah. Dengan pusat di Rawang, Nilai, dan Port Dickson, IAC kini menyokong 90 kanak-kanak dengan menyediakan mereka kemahiran penting serta membimbing mereka ke arah kehidupan yang lebih bermakna.