January 15, 2025

KUALA LUMPUR – Tiada penyingkiran minggu kedua suku akhir Konsert Bintang RTM menjadikan 14 peserta masih terselamat di pentas Bintang RTM 2024 minggu kedua Sabtu lalu (20 Januari 2024) yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media. Namun kali ini, rata-rata juri memberi komen yang memberangsangkan serta ulasan mengenai vokal dan pemilihan genre lagu.  

Menurut Raja Sham selaku ketua juri, persembahan minggu ini tidak sama seperti minggu pertama. “Kebanyakan peserta cuba untuk menonjolkan kehebatan vokal masing-masing sedangkan pemilihan lagu tidak sesuai untuk pertandingan. Peserta kurang menjiwai lagu yang disampaikan begitu juga dengan mesej lagu tersebut.” 

RAJA SHAM Ketua Juri BRTM 2024
DATUK SYAFINAZ SELAMAT ketika mengulas mengenai persembahan peserta

Beliau banyak menyentuh tentang pitching dan berharap ada “wow factor” bagi persembahan yang akan datang. Katanya ketika memberi ulasan kepada para peserta BRTM2024 yang memilih OST Filem sebagai tajuk lagu yang dipersembahkan.  

Sementara itu, Sharifah Nurilmuhayati Binti Syed Hussain atau lebih mesra dikenali Scha Nuril diumumkan sebagai peserta Pilihan Juri yang diumumkan oleh Datin Alyah selaku juri jemputan pada malam itu. Manakala Noy pula menjadi peserta pilihan penaja. 

Scha Nuril, 26 tahun dari Kuala Lumpur berjaya memukau penonton dengan persembahan nyanyian menerusi lagu “Colors Of The Wind” telah memikat hati juri lalu merampas takhta daripada Roxy pada konsert minggu lepas.  

SCHA NURIL ketika mempersembahkan lagu Colors Of The Wind
SCHA NURIL dan NOY diumum peserta pilihan juri dan NOY peserta Pilihan Penaja

Bagi minggu kedua, Dhania mendapat markah tertinggi yang dinilai oleh para juri, diikuti oleh Joy mendapat kedudukan kedua manakala Feka di tempat yang ketiga. Menurut Datuk Syafinaz, semua peserta yang dilahirkan dari Bintang RTM memang terbaik. 

“Bagi minggu ini persembahan Dhania adalah yang paling menyerlah. Dari aspek nyanyian Dhania menunjukkan interpretasi yang mantap serta konsisten dari minggu pertama konsert. Namun buat minggu kedua ini, kami memberi peluang sekali lagi buat semua peserta untuk memperbaiki mutu persembahan agar lebih menyinar terutama dari segi vokal.” Jelasnya dalam sesi sidang media tersebut.   

DHANIA ketika mempersembahkan lagu Loyal Brave True mendapat markah tertinggi dari juri
JOY membawa lagu Pelangi Petang

Debaran peringkat Suku Akhir kedua ini menyaksikan setiap dua orang peserta keluar membuat persembahan nyanyian lagu masing-masing. Akma Natasha, peserta pertama yang menyampaikan lagu ‘Langit Cinta’ dan diteruskan dengan persembahan oleh Harris dengan lagu ‘Dealova’. Roxy Ixzy menyanyikan lagu ‘Pulangkan’ diikuti Jon dengan lagu ‘Terlanjur Cinta’. Azumi pula mempersembahkan lagu  ‘Memori Cinta Sejati’ diikuti Dhania dengan lagu ‘Loyal Brave True’. Seterusnya peserta Joy menyanyikan lagu ‘Pelangi Petang’ manakala Eylia Guntabid membawa lagu bertajuk ‘Dawai’. 

Pentas diteruskan dengan persembahan Hady Huv dengan lagu ‘Never Enough’, diikuti oleh Zizi Safira dengan lagu ‘Cinta Sejati’. Feka pula menyanyikan lagu ‘Bukan Cinta Biasa’ diikuti Noy, dengan lagu ‘This Is Me’. Bakat Scha Nuril pula ditonjolkan menerusi sebuah lagu OST dari filem Pocahontas bertajuk ‘Colors Of The Wind’. Persembahan Shah Reza turut mencuri perhatian penonton dengan gimmick beliau dengan membawa lagu bertajuk ‘Bila Tiba’.  

AKMA NATASHA peserta pertama dengan lagu Langit Cinta
SHAH REZA menghayati bait lagu Bila Tiba

Bagi konsert minggu depan, para peserta memilih lagu-lagu Rock untuk berentap bagi menonjolkan kekuatan vokal masing-masing. Antara lagu yang bakal dipersembahkan nanti ialah, Tiada Lagi Kudungmu (Lefthanded), Samar Bayangan (Nicky Astria), Kejoraku Bersatu (Search), Hanya Satu (Nora), House Of The Rising Sun (The Animals), Sampai Syurga (Faizal Tahir), Kamelia (Sweet Charity), Ratuku (Awie), What’s Up(4 Non Blondes), Opera Hidup (Wings), Jangan Khianati Aku (Azlan and The Typewriter), Potret (Akim & The Majistret), Bayangan Gurauan (Mega) dan Isabella (Search).    

Setiap persembahan peserta akan dinilai oleh juri tetap, terdiri daripada LY, Datuk Syafinaz Selamat dan Raja Sham. Konsert ini dihoskan oleh Awal Ashaari.   

DATIN ALYAH selaku juri jemputan serta barisan juri tetap Datuk Syafinaz, LY dan Raja Sham

Saksikan Konsert Bintang RTM 2024 disiarkan setiap Sabtu, jam 9.00 malam secara langsung di TV2. Kesemua peserta akan berentap bagi merangkul gelaran juara Bintang RTM 2024 di peringkat akhir yang dijangka pada 24 Februari nanti.  

Siaran langsung juga boleh diikuti dengan melayari RTMKlik di www.rtmklik.rtm.gov.my dan radio rasmi di NASIONALfm.