KUALA LUMPUR, 20 Mac 2025 – Suria FM dengan bangganya mempersembahkan drama raya eksklusif bertajuk Hayati, sebuah karya yang mengangkat genre ‘Psikologi Emosional Raya’, menyoroti kepentingan pengurusan mental dan emosi. Drama ini bakal membawa penonton dalam sebuah perjalanan jiwa yang menyentuh hati, menjanjikan sebuah pengalaman tontonan yang penuh makna.
Tahun ini, Suria FM berkolaborasi dengan Yaya Empire Perfume bagi merealisasikan drama berdurasi 40 minit ini. Hayati mengetengahkan kisah yang berkisar tentang kemalangan tragis pada malam raya yang telah mengubah kehidupan beberapa individu. Mereka dipaksa mengharungi perjalanan penyembuhan yang penuh cabaran, di mana batas antara realiti dan imaginasi menjadi kabur. Setiap watak perlu menghadapi perasaan bersalah, mencari keberanian untuk memaafkan diri sendiri, dan akhirnya menemui kekuatan untuk meneruskan kehidupan dengan harapan baharu.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin), “Sejak tahun 2019, Suria FM telah menerbitkan tujuh drama raya. Idea dan skrip Hayati ini mula digarap sejak September 2024 dan dipersetujui oleh Yaya Empire pada November 2024. Selain penyampai Suria FM, drama ini turut dibintangi oleh pelakon popular seperti Sherie Merlis, Hasnul Rahmat, Cik Man, Anas Ridzuan, dan Hawra Jamalullail. Tidak ketinggalan, penyanyi terkenal Ara Johari dan Adam ZBP, serta pempengaruh popular Mia Azahar. Lebih istimewa, pengasas Yaya Empire Perfume, Puan Nadia Mat Isa, turut membuat kemunculan khas dalam drama ini.”
Drama Hayati akan disiarkan secara eksklusif di Facebook Suria FM dan YouTube Suria TV bermula hari ini jam 12 tengah hari. Projek ini merupakan antara produksi terbesar Suria FM dari segi skala dan tempoh penggambaran, yang mengambil masa tujuh hari di sekitar Lembah Klang. Sebahagian besar babak dirakam pada waktu malam hingga awal pagi, dengan cabaran terbesar termasuk penggambaran babak bas yang memakan masa tiga hari untuk diselesaikan serta cuaca yang tidak menentu.

Puan Nadia Mat Isa, pengasas Yaya Empire Perfume, turut berkongsi keterujaannya dalam projek ini. “Sebagai seorang yang menghargai nilai seni dan budaya, saya tertarik untuk bekerjasama dengan Suria FM kerana komitmen mereka dalam menyampaikan hiburan berkualiti yang penuh nilai murni. Saya berharap Hayati bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberi impak mendalam kepada penonton, menyentuh aspek kekeluargaan, emosi, kehilangan, dan kasih sayang yang menjadi inti pati Hari Raya. Semoga drama ini terus menjadi kenangan bukan hanya di musim perayaan, malah sepanjang masa.”
Dari aspek penceritaan, Hayati membawa satu kelainan dengan elemen yang lebih mendalam, ditambah dengan sinematografi yang dirancang teliti bagi memastikan kualiti penceritaan yang mantap. Drama ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.
Bagi melengkapkan pengalaman tontonan, lagu Pentas Sandiwara nyanyian artis Fugo telah dipilih sebagai lagu tema rasmi drama ini. Bait-bait lagu yang sarat dengan makna kehidupan menjadikan ia seiring dengan mesej yang ingin disampaikan dalam Hayati. Lagu ini turut mendapat sambutan hangat di Suria FM, khususnya dalam kalangan pendengar muda. Pihak Suria FM juga telah menerbitkan muzik video khas Pentas Sandiwara, yang menampilkan babak-babak penting daripada drama ini.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Hayati, drama raya yang bakal meninggalkan kesan mendalam di hati penonton, hanya di Facebook Suria FM dan YouTube Suria TV pada 20 Mac 2025!
Kredit foto: Facebook Suria FM