January 15, 2025

Bersempena ulang tahun ke-17 Suria FM yang disambut pada 24 November lalu, stesen radio ini bakal mengadakan acara khas Suria 17 Tahun, Suria Penuh Memori pada 6 Disember 2024 (Jumaat). Acara istimewa ini akan menampilkan dua sesi siaran langsung di TikTok @SuriaMalaysia, masing-masing pada jam 9 pagi hingga 10 pagi dan 4 petang hingga 5 petang. Melalui sesi ini, pendengar berpeluang memenangi cenderahati eksklusif Suria edisi terhad seperti t-shirt dan tote bag.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, menyatakan rasa syukur atas pencapaian Suria sepanjang 17 tahun ini. “Sambutan Suria 17 Tahun bukan sekadar meraikan ulang tahun, tetapi juga kejayaan Suria yang kini mempunyai lebih 3.3 juta pendengar setiap minggu, berdasarkan data terkini dari GFK. Ini merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan,” katanya.

Menurut DJ Lin lagi, acara ini merupakan tanda penghargaan kepada para pendengar yang setia menyokong Suria sejak awal penubuhannya. “Kami amat berbesar hati untuk berkongsi detik istimewa ini bersama para pendengar. Hadiah eksklusif yang ditawarkan menerusi siaran langsung TikTok ini adalah cara kami mengucapkan terima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus,” tambahnya.

Di samping itu, Suria turut merakamkan penghargaan kepada semua pendengar, rakan media, dan klien yang telah menyokong perjalanan Suria FM selama 17 tahun. “Tanpa sokongan mereka, kejayaan ini tidak mungkin tercapai. Sambutan ulang tahun ini juga mencerminkan komitmen kami untuk terus menyediakan kandungan terbaik buat pendengar setia,” ujar DJ Lin.

Jangan lepaskan peluang untuk turut serta dalam Suria 17 Tahun, Suria Penuh Memori dan nikmati pengalaman eksklusif yang disediakan khas untuk anda!