
SINGAPURA – Selepas membawa ‘Berita Gempa’ di Johor Bahru pada Julai lalu, sekali lagi Sweet Charity bikin ‘Ribut’ di tempat kelahirannya sendiri dengan disaksikan oleh 3,500 peminat setia kumpulan lagenda yang menjadi ikon rock Nusantara itu.
Mula ditubuhkan di Singapura pada awal 70an, Sweet Charity banyak mengadakan jerayawara di pesta ria di seluruh Singapura dalam tahun 70-an hingga 80-an. Sweet Charity jugalah yang mempopularkan muzik rock sehingga mereka dilabel sebagai Deep Purple dan Santana Singapura.

Tidak dinafikan dalam perjalanan 5 dekad Sweet Charity mewarnai persada seni hiburan, semangat dan kecintaannya terhadap muzik tidak pernah luntur. Ini terbukti apabila Datuk Ramli Sarip (vokalis), Rosli Mohalim (gitar utama), Ahmad Jaafar (kibord serta vokalis kedua) dan Rahman Sarbani (dram) ‘menggempur’ The Star Performing Arts Centre, Singapura pada 14 Oktober lalu, dengan rangkaian seleksi lagu-lagu hit mereka bersempena konsert Ribut 5 Dekad Sweet Charity.
Kendatipun usia mereka menjangkau awal 70 an, semangat dan antusias mereka dapat dilihat takkala tirai pentas dibuka dengan paparan visual yang mengembalikan semula nostalgia perjalanan Sweet Charity sewaktu bermulanya mereka di bawah khemah kenduri kahwin sehinggalah namanya menjadi masyhur di seluruh jagatraya.


Muncul sekitar 9 malam Sweet Charity mula menghangatkan dewan konsert bersama seleksi lagu-lagu hit seperti Seniman Di Rantau, Hilang Gelap Terbitlah Terang, Sejuta Wajah, Tahun 2000 dan Pelarian yang pastinya mempunyai kenangan dan kisah tersendiri buat peminat mereka yang menyaksikan konsert paling dinanti-nantikan ini.
Dengan sistem bunyi yang begitu hebat, sebanyak 20 buah lagu dipersembahkan pada malam tersebut merangkumi lagu-lagu yang dipetik dari album Sweet Charity bermula dari album pertama mereka yang diterbitkan pada tahun 1979. Selain anggota asal Sweet Charity, mereka dibantu oleh Eddie Cradle (gitar) Din Safari (bes), Riduan Zalani (perkusi) dan Rozario (kibord) yang mana satu-satu pemuzik dari Malaysia yang berada di pentas konsert Sweet Charity ini.



Dengan kudrat yang ada, anggota Sweet Charity mempamerkan persembahan yang begitu bertenaga, vokal Ramli Sarip sememangnya tidak boleh disangkal meskipun beliau menginjak usia 71 tahun pada malam konsert tersebut beliau tetap ‘selamba’ membawa lagu-lagu bernada tinggi dengan cukup baik sekali menerusi lagu Dekatlah Padaku, Dunia Perlumbaan dan Musibah.
Sementelahan, Sweet Charity menampilkan kelainan dengan membawa anak-anak muda dari kumpulan Nadi Singapura, sebuah kumpulan pemain alat muzik perkusi dilihat begitu teruja apabila dapat beraksi sepentas bersama Sweet Charity menerusi lagu Zakiah dan Jangan Tunggu Lama-Lama. Arrangment muzik yang lebih segar mengikut aliran muzik marcapada dengan bunyian gendang dan alatan perkusi yang lain menjadikan penonton menyanyi bersama serta menari mengikut irama yang dialunkan.


Seterusnya, Ahmad Jaafar atau AJ mengambil alih posisi Ramli Sarip apabila selesainya lagu Raja Kumbang. AJ mempersembahkan dua buah lagu berjudul Bagaikan Bermimpi dan Terharu ditemani petikan gitar lagenda Rosli Mohalim. Pujian harus diberi kepada Rahman Sarbani, pukulan padu dramnya umpama tenaga anak muda dan tidak sedikit pun menampakkan usia sebenar beliau.
Selesai Ahmad Jaafar menghiburkan penonton, kini giliran Ramli Sarip pula mengambil alih semula mikrofon untuk meneruskan seleksi lagu-lagu Sweet Charity yang telah disusun bagi melengkapi perjalanan konsert yang dibawa khas oleh Pos TKI dengan kerjasama Jive Entertainment. Selaku penganjur, Mohd Anwar Tahar begitu teruja dan berbesar hati apabila Sweet Charity sudi menerima tawaran dari pihaknya untuk mengadakan sebuah konsert yang mungkin terakhir untuk Sweet Charity.



Mengimbau semula kenangan, Ramli Sarip selaku ‘frontman’ menceritakan pengalaman dan perjalanan Sweet Charity yang merupakan sebahagian dari sejarah muzik rock yang masih ada dalam industri muzik Malaysia dan Singapura.
“Pernah ketika kami mengadakan konsert telah berlakunya peristiwa rempuhan dan ada penonton yang pengsan, kita dipersalahkan dan suratkhabar melaporkan pentas telah runtuh, disebabkan itu Sweet Charity kena ‘gam’ di Malaysia selama setahun setengah dan setelah 50 tahun dengan izin Allah, kami berada di sini.
“Kalau di luar negara kita ada Rolling Stone, tapi di Singapura, ini sahaja yang ada (merujuk kepada Sweet Charity), jadi kita perlu sokong anak-anak muda untuk terus berdiri teguh dengan apa yang kita ada sekarang,” ujar Ramli seusai mendendangkan lagu Apa Khabar Sayang?, Datang dan Pergi, Batu dan Lahirmu Bukan Untuk Dunia.


Ramli melontarkan vokalnya menerusi lagu Ribut 10.59 Pagi yang pernah dimuatkan dalam album koleksi Sweet Charity pada tahun 1984. Menurutnya lagu ini dihasilkan pada jam 4 pagi di sebuah studio oleh beliau bersama anggota Sweet Charity atas desakan syarikat rakamannya sebelum konsert Raksasa bersama kumpulan The Blues Gangs. Menurutnya lagu ini diilhamkan dari peristiwa yang berlaku pagi hari di Kampong Wak Hassan, yang terletak di Sembawang sewaktu mereka menetap di Singapura.
Tidak lengkap rasanya jika Sweet Charity tidak memainkan lagu wajibnya Kamelia dan Teratai yang telah menjadi seleksi intiha konsert sebelum lagu Penunggu menutup tirai pentas konsert yang menjadikan satu pengalaman dan kenangan indah buat penonton yang hadir di The Star Performing Arts Centre, di sini.


Untuk Rekod, kumpulan lagenda yang pernah menghasilkan enam album bersama vokalis Ramli Sarip sehingga 1985 sebelum Ramli mengambil keputusan keluar dan bergerak solo, manakala Rosli Mohalim dan Sweet Charity meneruskan perjuangan dengan vokalis wanita, Zaiton, untuk album terakhir iaitu ‘Sweet Charity 88’ yang telah diriliskan pada 1988. Ramli Sarip kembali bergabung bersama Sweet Charity dan julung kali mengadakan konsert Sejuta Wajah pada tahun 1996.


