Sweet Qismina tak lagi ‘Sweet’, bertukar kejam dalam ‘Dendam Seorang Madu’

KUALA LUMPUR, 27 Mac 2025 – Membawakan watak antagonis yang penuh emosi bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi bagi seorang pelakon yang dikenali dengan imej lembut dan manis. Namun, cabaran ini disahut dengan penuh semangat oleh pelakon berbakat, Sweet Qismina, yang kini tampil dalam drama bersiri Dendam Seorang Madu sebagai Izara, seorang wanita yang memiliki sisi gelap tersendiri.

Drama ini yang disiarkan di slot Tiara, Astro Prima (saluran 105) sepanjang bulan Ramadan bermula 3 Mac lalu, setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 6 petang, mengangkat tema konflik kekeluargaan yang sarat dengan emosi dan drama.

Cabaran Membawakan Watak Izara

Sweet Qismina mengakui bahawa ini merupakan kali pertama beliau membawakan watak sebegini dan merasakan tekanan dalam memberikan penghayatan terbaik.

“Saya risau sangat dan takut tidak dapat menyampaikan watak ini dengan baik. Jika salah interpretasi, Izara boleh dilihat sebagai sekadar mengada-ngada atau berlebihan tanpa sebab. Namun, selepas banyak kajian dan penelitian, saya memahami bahawa Izara sebenarnya menghidap Borderline Personality Disorder (BPD),” jelas Sweet.

Menurut Sweet, Izara juga mengalami Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD), menjadikannya lebih sukar untuk mengawal emosi dan tindakannya. Hal ini menimbulkan rasa simpati terhadap karakter tersebut.

Izara: Konflik dan Dendam

Dalam episod-episod mendatang, penonton bakal menyaksikan bagaimana Izara menggunakan pelbagai cara untuk memisahkan Faris dan Rayhana, yang dianggap sebagai punca kehancuran rumah tangganya.

“Semakin lama, Izara semakin membenci Rayhana dan menyalahkannya atas segala yang berlaku. Dia mengalami trauma kerana takut kehilangan Faris,” tambah Sweet.

Di bawah arahan Riza Baharuddin, Sweet juga banyak belajar mengenai realiti penyakit mental serta bagaimana mendalami karakter yang kompleks.

Mesej Buat Mereka yang Berdepan dengan Masalah Mental

Dalam drama terbitan MIG Production Sdn. Bhd. ini, watak Izara turut digambarkan bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan bagi masalah mentalnya. Berdasarkan pengalaman mendalami watak ini, Sweet turut menitipkan pesanan buat mereka yang menghadapi isu kesihatan mental.

“Jika anda merasakan diri mengalami masalah mental atau telah didiagnosis, jangan simpan sendiri. Luahkan dan dapatkan sokongan. Jangan rasa keseorangan kerana pasti ada yang akan memahami,” katanya.

Barisan Pelakon dan OST Drama

Drama ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Hannah Delisha (Puteri Rayhana), Redza Rosli (Faris Alfian), dan Emelda Rosemila (Hanum). Runut bunyi rasmi, Tipu Helah nyanyian Hannah Delisha, turut menjadi latar emosi sepanjang drama ini bersiaran.

Mengisahkan tentang Putri Rayhana yang terpaksa berkahwin dengan Faris demi menampung kos rawatan ibunya, drama ini menyajikan pelbagai konflik menarik. Keadaan menjadi lebih rumit apabila Rayhana mengetahui bahawa Faris telah bernikah secara rahsia dengan pembantu peribadinya, Izara.

Menutup sesi temu bual, Sweet berharap drama ini dapat memberikan pengajaran kepada penonton.

“Saya harap plot drama ini dapat menarik perhatian penonton dan memberikan mesej yang bermakna. Terima kasih kepada semua yang menyokong karya kami,” ujarnya.

Bagi peminat setia drama bersiri, Dendam Seorang Madu pastinya tidak akan mengecewakan dengan jalan cerita penuh kejutan dan emosi yang mendalam.