April 22, 2024

KUALA LUMPUR – Bagi menghargai sokongan penonton setia program dokumentari Syahadah, 15 Jun lalu, RTM mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Kuiz Syahadah Musim ke-17 yang berlangsung dalam slot Selamat Pagi Malaysia.

Pemenang utama kuiz terkumpul, Puan Aliza Puniran dari Muar, Johor menerima pakej Umrah bernilai RM19,000.00 untuk dua orang tajaan As Safa Travels & Tours Sdn Bhd, pakej percutian “Passport Tour” bernilai RM15,000.00 tajaan D&D Signature Vacation (M) Sdn Bhd dan penginapan tiga hari dua malam tajaan Semenyih Eco Venture Resort. Tempat kedua dimenangi oleh Puan Zaiton Omar dari Gombak, Kuala Lumpur yang menerima pakej Umrah bernilai RM8,990.00 tajaan MJ Success Travel & Tours, pakej percutian “Passport Tour” bernilai RM15,000.00 tajaan D&D Signature Vacation (M) Sdn Bhd dan penginapan tiga hari dua malam tajaan Semenyih Eco Venture Resort. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Puan Nurul Shahidah Ahmad Nasir dari Baling, Kedah yang menerima pakej umrah bernilai RM8,990.00 tajaan MJ Success Travel & Tours Sdn Bhd dan penginapan tiga hari dua malam tajaan Semenyih Eco Venture Resort.

Selain itu, 20 pemenang kuiz mingguan menerima pakej percutian tiga hari dua malam di Semenyih Eco Venture Resort bernilai RM1,500.00 untuk seorang yang keseluruhannya bernilai RM30,000.00 tajaan Semenyih Eco Venture Resort.

Hadiah disampaikan oleh Encik Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarah Penyiaran, diiringi Encik Abdull Hadi Mohd Yusoff, Pengarah Bahagian Program TV, YBhg. Puan Sri Datin Mimi Nur Liana Lim Abdullah, Group COO Semenyih Eco Venture Resort, juga wakil penaja As Safa Travels & Tour dan MJ Success Travel & Tour.

Syahadah sebuah program dokumentari terbitan Unit Majalah dan Dokumentari (UMD) RTM telah bersiaran setiap hari sepanjang Ramadan bermula 23 Mac 2023 hingga 21 April 2023, pukul 6.15 petang di saluran TV1, Berita RTM dan Okey.