January 13, 2025

KUALA LUMPUR – Tiada erti putus asa dalam kamus hidupnya. Apatah lagi membabitkan diri dalam indusri muzik tanah air memerlukan semangat kental. Dari segi persaingan, Rief Daniel perlu sentiasa mempersiapkan diri.

Disebabkan itu, Rief Daniel, 26, atau nama sebenarnya Arief Daniel Zayadi yang pernah melancarkan tiga single sebelum ini muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul, TAKKAN MUDAH.

Rief Daniel

Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Mas Dewangga, Jova Devito dan Aden King itu sudah dilancarkan secara rasmi sejak 13 Januari lalu di bawah terbitan Universal Music Malaysia.

Sama seperti tajuk lagu itu, bagi Rief, TAKKAN MUDAH adalah karya yang cukup istimewa dan takkan mudah dilupakan kerana ia dihasilkan khas buat dirinya.

“Semasa saya berjumpa dengan Mas Dewangga dan pasukannya, saya memberitahu mereka bahawa saya inginkan lagu ‘power ballad’ yang lain dari lain. Mas Dewangga menunjukkan beberapa lagu yang mereka sudah hasilkan sebelum ini kepada saya dan daripada situ, hanya ada satu lagu yang menarik perhatian saya iaitu TAKKAN MUDAH.

“Lagu ini mempunyai ‘vibe’ yang tersendiri. Memang banyak cabaran dan liku yang kami hadapi untuk menghasilkan karya emas ini. Alhamudlillah, dengan kebijaksanaan dan pertolongan mereka, lagu ini dapat dihasilkan dengan baik,” katanya.

Malah, apa yang membuatkan Rief teruja dengan single baharu ini adalah proses rakaman juga berjalan lancar.

“Sewaktu proses rakaman lagu ini, memang banyak perkara yang kami buat. Kami buat rakaman beberapa kali untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Kami mencari tempo dan ‘key’ yang sesuai untuk dipasarkan ke khalayak ramai.

“Banyak idea yang yang kami curahkan dalam lagu ni. Ada idea yang okay dan tidak. Pengurus saya iaitu Nasir Deraman juga ada memberi idea yang bernas untuk menyedapkan lagu ini,” katanya.

Paling penting menurut Rief adalah, dia dapat bekerjasama dengan individu dan pasukan yang sangat profesional.

Rief teruja dengan single terbaharunya, Takkan Mudah

Menurutnya, biarpun terdapat cabaran sepanjang proses rakaman, kepakaran daripada setiap mereka yang terbabit dalam projek ini cukup membantu.

“Bagi saya, setiap individu yang terbabit untuk menghasilkan karya ini semuanya mempunyai idea yang tersendiri dan juga mereka semua ingin yang terbaik. Bukan sahaja pihak ‘audio production’ dan ‘video production’, malah pasukan Plan E Solution dan Universal Music Malaysia juga memberi impak yang besar untuk karya ini.

“Bekerjasama dengan mereka memang amat mudah kerana setiap individu sudah tahu apa yang mereka harus lakukan. Setiap individu mempunyai tugasan dan keistimewaan masing-masing. Saya rasa bersyukur kerana dapat menghasilkan lagu ini dengan pasukan yang mempunyai semangat yang tinggi dan memberi fokus sepenuhnya untuk karya ini,” katanya.

Berkongsi lanjut, menurut Rief, cabaran yang dihadapi semasa proses rakaman lagu ni adalah untuk mencari tempo dan ‘key’ yang sesuai.

“Ini kerana, setiap orang mempunyai suara tersendiri dan ingin memberi hasil yang maksima di dalam lagu. Untuk ‘video production’, cabaran yang kami hadapi adalah untuk memikirkan setiap pergerakan dan sudut kamera di dalam MV.

“Untuk kita ‘shoot’ satu babak dalam MV, boleh mengambil masa paling awal 30 minit untuk menyiapkan tempat lokasi sebelum proses rakaman. Ada juga yang perlu mengambil masa dua jam untuk menyiapkan satu babak.

“Selama proses rakaman MV ni, semuanya berjalan dengan lancar. Kami bekerjasama dengan Artbeast Production untuk menghasilkan MV ini. Mereka mempunyai banyak idea dan mereka juga mempunyai pemikiran yang sangat kreatif. Matlamat kami adalah untuk memberikan hasil yang terbaik untuk lagu dan MV ini. MV adalah tempat untuk kita menunjukkan mesej dalam lagu dan apa yang kita ingin tunjuk kepada khalayak. Lagu dan MV perlulah selari supaya penonton dan pendengar akan dapat mesej yang kami ingin sampaikan,” katanya.

Mengenai harap harapan untuk lagu TAKKAN MUDAH itu, Rief mahu semua pendengar mendapat mesej yang ingin berikan.

“Lagu ini mengisahkan mengenai seorang lelaki yang tidak dapat melupakan perempuan yang dia cintai. Perempuan dan lelaki itu tidak lagi bersama kerana perempuan itu sudah pun meninggalkan lelaki itu. Tetapi lelaki ini berharap dan juga pasti bahawa perempuan itu akan kembali ke dalam hidupnya lagi.

“Jadi, saya berharap semua rasa apa yang kami ingin sampaikan. Saya juga berharap orang ramai dapat menerima lagu ini dan dapat menghayati setiap melodi, lirik dan pergerakan dalam MV untuk lagu ini,” katanya.

Rief Daniel – Takkan Mudah

TAKKAN MUDAH sudah boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music sejak 13 Januari yang lalu manakala muzik videonya pula boleh ditonton di siaran YouTube Universal Music Malaysia.