‘TANPAMU’ TIDAK MEMATAHKAN SEMANGAT MASK MERAH BAND UNTUK TERUS BERKARYA

KUALA LUMPUR : Dalam arena muzik arus perdana tanah air, penerimaan terhadap muzik reggae dan ska mungkin tidak seperti pop balada, rock, hip hop, rap dan R&B, tetapi muzik yang santai dan ‘layan kepala’ ini ada peminatnya sendiri.

Sejak 1980-an hingga 1990-an dan era millenium, banyak band reggae dan ska muncul terutama secara underground. Antaranya Republic Of Brickfields, Plague of Happines, Gerhana Ska Cinta, Skudap Skudip, Salam Musik, Pure Vibration, dan banyak lagi.

Mask Merah Band yang ditubuhkan di Banting, Selangor pada 2020 dilihat sebagai penyambung legasi muzik ska tempatan.

Tidak seperti band lain, Mask Merah Band yang dianggotai oleh lima anak muda tampil berbeza dari segi gubahan muzik dan penampilan mereka dengan berselindung disebalik wajah yang bertopeng. Menggelar muzik mereka sebagai ska rock, Mask Merah Band dilihat berbeza dan menarik dari segi permainan muzik yang turut dicampurkan dengan elemen rock, dandut, dan termasuk juga joget.

Menurut ketua kumpulan dan juga penyanyi Mask Merah Band yang dikenali sebagai Fakhar, memberitahu bahawa idea penubuhan band ini disebabkan berlakunya pandemik COVID-19. “kita mahu mencetuskan sesuatu yang baru dalam Mask Merah Band ini yang mana ingin mengembalikan semula muzik ska rock yang sudah lama tenggelam, ianya umpama satu wabak yang pernah terjadi suatu ketika dahulu dan hari ini muncul semula wabak ini yang digelar COVID-19” ujar beliau.

Beliau juga tidak menafikan bahawa Mask Merah Band banyak terpengaruh dengan kumpulan ska dari Indonesia yang sangat popular iaitu Tipe-X.

Kini, Mask Merah Band sudah memiliki lagu sendiri lengkap dengan video muzik antaranya lagu Tanpamu dan Kau Yang Pertama. Video muzik Mask Merah Band boleh ditonton di saluran Youtube Botol Mask Entertaiment.

Mask Merah Band sewaktu mengadakan penggambaran video muzik ‘Tanpamu’

Bernaung di bawah syarikat rakaman Botol Mask Entertaiment, Mask Merah Band akan merancang untuk mengeluarkan lagi beberapa single dan berkemungkinan akan menerbitkan album penuh apabila mendapat persetujuan daripada pengarah urusan Botol Mask Entertaiment iaitu Mr. Syak.

Ditanya mengapa semua anggota Mask Merah Band mengenakan topeng atau pelitup muka, mereka mempunyai alasan yang tersendiri selain sebagai imej band, “ia memudahkan untuk kita bergerak apabila mana-mana ahli band tidak dapat bersama, kita boleh menggantikan dengan sesiapa sahaja sebab peminat tidak mengenali kita siapa disebalik topeng tersebut” ujar beliau.

Video muzik rasmi ‘Tanpamu’
Temuramah Mask Merah Band bersama Kelkatu TV