December 4, 2024

Hanya tinggal sekitar tiga minggu sebelum Estranged melakukan konsert sulung mereka selepas lebih tujuh tahun tidak aktif di Semenanjung, kugiran asal Sabah itu terus menghadirkan kejutan.

Kumpulan rock yang dianggotai Rich Gimbang (vokal), Din (gitar) dan Hanafi (gitar) itu dengan berbesar hati mengumumkan kolaborasi yang cukup bermakna di antara mereka dengan Persatuan Sindrom Down Negeri Johor (PSDNJ).

Kolaborasi tersebut menyaksikan Estranged yang bakal menggegarkan Persada Johor pada 3 Februari 2024 ini menerusi Konsert Estranged Apa Khabar Teman? menyalurkan sebahagian kutipan tiket kepada PSDNJ.

Ia disifatkan Estranged sebagai sebuah inisiatif kecil daripada mereka dalam memberi kembali kepada masyarakat terutama anak-anak istimewa di PSDNJ.

“Kami di Estranged sangat berbesar hati kerana dapat menjalin kolaborasi dengan Persatuan Sindrom Down Negeri Johor (PSDNJ).

“Hal ini kerana selain berhibur objektif kami adalah memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat.

“Kami mahu membuktikan dengan sumbangan yang mungkin dilihat kecil tetapi ia memberi makna besar terutama dalam fasa dan perkembangan yang diperlukan PSDNJ untuk membantu anak-anak istimewa ini.

“Ia sekaligus menjadi platform buat karyawan seni tempatan menyalurkan hal-hal positif di sebalik hiburan yang dihidangkan,” ujar Rich.

Justeru, untuk mencapai matlamat mereka mengumpulkan sebanyak mungkin dana yang boleh disalurkan kepada PSDNJ, konsert yang digerakkan hasil inisiatif Kementerian Komunikasi ini juga akan menawarkan harga tiket baharu buat peminat.

Tiket bagi kategori Itu Kamu dijual pada harga serendah RM50 diikuti Odoi RM40.

“Dengan penawaran harga baharu iaitu RM50 untuk zon Itu Kamu dan RM40 untuk Odoi kami mahu memanggil lebih ramai peminat Estranged hadir menyokong Konsert Estranged Apa Khabar Teman?

“Selain akan ‘disapa’ Estranged dengan ramah dan lebih intim dalam Konsert Estranged Apa Khabar Teman? pada 3 Februari 2024 ini di Persada Johor, kami amat berbesar hati untuk mencapai objektif menyalurkan sebahagian jumlah kutipan tiket kepada anak-anak istimewa di PSDNJ,” ujar Hanafi mewakili Estranged.

Konsert ini turut menyaksikan beberapa teman jemputan Estranged berkongsi pentas dan bereksperimentasi muzik bersama melalui bahasa English, Iban, Kadazan Dusun, dan Kelabit.

“Peminat turut akan disajikan dengan persembahan bakat-bakat hebat iaitu teman jemputan kami dari Sabah dan Sarawak. Mereka adalah Alena Murang, Tuni Sundatang, At Adau dan Masterpiece”,” ujar Din.

Pihak penganjur juga akan berhubung dengan peminat yang sudah membeli tiket untuk sebarang urusan berkaitan menerusi kiriman emel.

Dengan dua pengumuman istimewa ini, Estranged menanti peminat setia mereka di Persada Johor kerana ia bukan hanya bakal mengubat rindu dengan untaian hit mereka namun kugiran ini juga siap mempersembahkan bunyian baru yang dibawakan dari Borneo bagi memperkasakan Warisan Budaya Etnik Borneo.

Konsert Estranged Apa Khabar Teman? yang membawa tema Hancur Aku merupakan inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Estranged menjadi salah sebuah kumpulan yang dianugerahi DKD menerusi Estranged Sdn Bhd oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd.