Tealive Lancar Minuman Sachet 3-dalam-1: Nikmati Teh, Kopi & Coklat Bila-bila Masa

PUTRAJAYA, 6 Jun 2025 – Tealive, jenama teh gaya hidup terkemuka Asia Tenggara, melakar sejarah baharu hari ini apabila secara rasmi memasuki pasaran barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) dengan pelancaran rangkaian minuman sachet 3-dalam-1 pertama mereka.

Majlis pelancaran yang berlangsung di IOI City Mall baru-baru ini, menyaksikan pengenalan varian minuman dalam bentuk sachet – teh susu, kopi dan coklat – yang menawarkan rasa premium setaraf kafe, kini boleh dinikmati di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Khairy Rasmi Pelancaran, Puji Inovasi Tempatan

Pelancaran itu dirasmikan oleh bekas Menteri dan tokoh media, Khairy Jamaluddin, yang menyifatkan inisiatif Tealive sebagai simbol evolusi budaya dan inovasi Malaysia.

“Perjalanan Tealive daripada kiosk ke rumah pengguna bukan sekadar evolusi perniagaan, tetapi perubahan budaya. Kita bukan sahaja mengeksport produk, tetapi juga gaya hidup dan identiti kita,” ujar Khairy.

Langkah Strategik Kekal Relevan

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tealive, Bryan Loo, menyifatkan langkah ini sebagai satu transformasi strategik.

“Kami mahu menjadikan rasa kegemaran Tealive lebih mudah diakses. Rangkaian 3-dalam-1 ini membawa detik istimewa Tealive ke dalam rutin harian – sama ada di rumah, pejabat mahupun dalam perjalanan,” katanya.

Varian dan Ketersediaan Pasaran

Rangkaian sachet 3-dalam-1 ini bakal mula dijual secara eksklusif di AEON dan cawangan Tealive di seluruh negara serta di platform e-dagang bermula 15 Jun, sebelum diperluas ke lebih banyak saluran runcit pada Julai. Dijual pada harga RM12.90, setiap kotak mengandungi lima hingga enam sachet.

Barisan penuh produk merangkumi:

Teh Susu: Teh Susu Signature, Teh Matcha, Teh Tarik Kopi: Kopi Signature, Caramel Macchiato, Kopi Hazelnut Coklat: Coklat Signature, Coklat Gelap, Coklat Hazelnut

Loo turut menekankan penggunaan bahan premium dalam menghasilkan sachet bagi mengekalkan rasa asli dan pengalaman Tealive dalam setiap tegukan.

Sasar Pasaran Lebih Luas

Tealive menyasarkan untuk menjadi peneraju dalam pasaran FMCG menerusi pendekatan gaya hidup, hubungan emosi dengan pengguna serta kualiti produk.

“Kami membina Tealive bukan sekadar sebagai produk, tetapi jenama gaya hidup. Menyokong jenama tempatan bukan sahaja tindakan patriotik – ia juga pilihan bijak kerana kualitinya terbukti,” tambah Loo.

Khairy turut menyokong kenyataan tersebut dengan menyeru masyarakat untuk terus menyokong jenama tempatan.

“Kita perlukan lebih banyak jenama seperti Tealive yang memimpin dengan kebanggaan dan keaslian. Ini tentang menyokong pekerjaan, impian dan masa depan ekonomi kita,” katanya.

Segmen Teh Susu Malaysia Dijangka Terus Meningkat

Menurut firma penyelidikan Frost & Sullivan, industri kedai teh Malaysia dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 9.6% antara 2024 hingga 2029 – meletakkan Tealive dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan pertumbuhan tersebut.

Pelancaran Menu Baharu & Kolaborasi Eksklusif

Majlis pelancaran turut memperkenalkan pembaharuan menu Tealive termasuk:

Teh susu ringan untuk pilihan lebih sihat Kemunculan semula Bang Bang dengan formulasi baharu Siri baharu seperti Da Hong Pao dan Snowy untuk pengalaman premium.

Sebagai melengkapi pelancaran ini, Tealive turut mengumumkan kolaborasi eksklusif bersama jenama tempatan bagi mengeluarkan barangan edisi terhad, sebagai penghormatan kepada kreativiti dan warisan Malaysia.

Dengan pelancaran ini, Tealive mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama tempatan yang bukan hanya berinovasi, tetapi juga memberi impak budaya dan ekonomi.