Telaga Suriram: Bongkar Misteri Kehilangan Seorang Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR, 12 April 2025 – Kes kehilangan kanak-kanak sering kali meruntun hati masyarakat. Ada yang berakhir dengan kegembiraan, namun tidak kurang juga yang terus menjadi tanda tanya, hilang tanpa jejak, lenyap dalam kabus misteri. Lalu, daripada kisah benar dan kepercayaan lama yang diwarisi turun-temurun, lahirlah sebuah karya seram menyusuk jiwa – Telaga Suriram.

Filem arahan pengarah prolifik, Osman Ali, ini tampil bukan sekadar sebagai naskhah fiksyen seram biasa. Ia lahir dari ilham sebuah kisah nyata yang pernah mengejutkan masyarakat – tragedi seorang kanak-kanak yang dikatakan terjatuh dan mati dalam sebuah telaga lama. Namun benarkah begitu? Atau adakah telaga itu menyimpan rahsia lebih gelap?

“Dahulu, masyarakat percaya ada telaga-telaga lama yang ‘berpenunggu’, malah dikatakan mampu ‘mengambil nyawa’ manusia. Cerita-cerita mistik begini sangat menarik untuk diterjemahkan ke layar perak,” jelas Osman Ali, yang menyuntik elemen budaya dan kepercayaan rakyat dalam naskhah ke-17 arahannya.

Osman Ali

Suriram: Nama yang kini dibayangi misteri

Berlatar di sebuah kampung terpencil, Telaga Suriram mengisahkan kehilangan tragik seorang kanak-kanak bernama Suriram. Dalam usaha mencari anak mereka, pasangan Rohaya (Maya Karin) dan Sopiyan meredah malam yang semakin kelam dengan kisah-kisah aneh yang berlegar di kampung – dari korban saka hinggalah roh terperangkap. Seorang gadis bisu, Maimon (lakonan memukau Nabila Huda), menjadi sasaran tuduhan. Tetapi adakah dia benar-benar bersalah, atau sekadar mangsa takdir?

Turut membintangi adalah Farid Kamil sebagai Zakir, pemuda idealis yang membela nasib Suriram, dan Scha Alyahya sebagai Pegawai Penyiasat Karmila, yang tekad membongkar kebenaran di sebalik kepercayaan gelap.

Penggambaran diselubungi kisah aneh

Penggambaran filem ini yang berlangsung di kampung-kampung tradisional di Perlis, Kedah dan Perak bukan sahaja mencabar dari segi teknikal, malah turut diwarnai pengalaman mistik yang sebenar.

“Kami pernah dengar suara misteri, kru ternampak kelibat dan ada yang rasa seperti diperhatikan sepanjang penggambaran. Tapi semua itu kami anggap sebahagian daripada ‘roh’ cerita ini,” ujar Osman sambil tersenyum penuh makna.

Tiga tahun pembikinan, satu cerita yang menggugah rasa

Menurut penerbit Yus Yusop dari Odissi Creative Sdn. Bhd., filem ini mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dari skrip hingga pascaproduksi. Bagi Yus, karya ini bukan sekadar hiburan, tapi satu usaha mengangkat semula kisah rakyat dan warisan mistik yang semakin dilupakan generasi kini.

“Kami harap filem ini bukan sahaja memikat peminat genre seram, tetapi juga menyentuh hati mereka yang menghargai budaya dan cerita rakyat kita,” jelas Yus.

Telaga Suriram merupakan terbitan sulung Odissi Creative Sdn. Bhd. dengan kerjasama Nuansa Films milik Osman Ali, dan dijadual menemui penonton di pawagam bermula 1 Mei 2025.

Fakta Ringkas Telaga Suriram

  • Genre: Seram Mistik Budaya
  • Pengarah: Osman Ali
  • Pelakon utama: Maya Karin, Scha Alyahya, Farid Kamil, Ellie Suriaty, Nabila Huda, Puteri Rafasya
  • Lokasi penggambaran: Perlis, Kedah, Perak
  • Durasi penggambaran: 45 hari
  • Tayangan: Bermula 1 Mei 2025 di pawagam seluruh negara

Sinopsis
Di sebuah kampung terpencil, kehilangan seorang kanak-kanak bernama Suriram mencetuskan kekacauan. Bisik-bisik kampung mula mengaitkan kejadian itu dengan saka dan sumpahan telaga lama. Rohaya dan suaminya Sopiyan tidak pernah berputus asa mencari anak mereka. Dalam kesuraman, muncul harapan – Zakir dan Karmila, dua individu yang berani menyelongkar kebenaran. Namun, kebenaran yang dicari itu mungkin jauh lebih mengerikan dari yang disangka…