KUALA LUMPUR – Bagi memeriahkan sambutan Bulan Merdeka dan Hari Malaysia tahun ini, Astro Ria bakal menyajikan tiga telefilem yang menarik dan penuh dengan mesej patriotik. Antara yang bakal ditayangkan ialah Rombongan Makciks Ke Dataran Merdeka, Hantu Karipap, dan Lion Girl. Ketiga-tiga telefilem ini dijangka akan menyentuh hati penonton dengan pelbagai elemen komedi, misteri, dan inspirasi.
Rombongan Makciks Ke Dataran Merdeka
- Tarikh Tayangan: 30 Ogos 2024
- Saluran: Astro Ria
- Terbitan: Zeel Production Sdn Bhd
- Arahan: Emi Suffian
Para Pelakon:
Rozita Che Wan sebagai Kiah, Mandy Chong sebagai Joanne, Satthiya Kandi sebagai Anjali, Khaled Asharief sebagai Danial, Fendi Seman sebagai Haji Musa, Zain Saidin sebagai Rodi, Hafeezul Yob sebagai Joe, TJ Isa sebagai Husin, Abang Gee dan Azman Ahmad sebagai Penarik Bas, Kamarul Hj Yusof sebagai Wan, serta penampilan khas oleh Abang Bomba Viral, Asma Saiful Hayat.

Sinopsis:
Hari Kemerdekaan tahun ini menjadi lebih bermakna bagi Kiah, Joanne, dan Anjali, tiga makcik dari Kampung Wahab Satu, yang bertekad untuk pergi ke Dataran Merdeka bagi menyaksikan perarakan kemerdekaan. Mereka ingin memberi sokongan kepada anak saudara Kiah, seorang abang bomba yang bakal berarak. Namun, perjalanan dari Perlis ke Kuala Lumpur penuh dengan cabaran apabila mereka disertai oleh Danial, seorang scammer yang menyamar sebagai pemandu mereka. Mampukah mereka tiba di Dataran Merdeka tepat pada masanya?
Hantu Karipap
- Tarikh Tayangan: 31 Ogos 2024
- Saluran: Astro Ria
- Terbitan: MIG Production Sdn Bhd
- Arahan: Reen Emran
Para Pelakon:
Arfie Shah sebagai Farhan, Daniel Fong sebagai Zhen, Sanjna Suri sebagai Priya, dan Ropie sebagai Pak Anjang.

Sinopsis:
Telefilem ini menggabungkan elemen komedi dan seram yang mengisahkan tentang kemunculan hantu yang menyerupai seorang lelaki Cina di Kampung Sejenak. Farhan, seorang penghantar barang yang penakut, bersama rakannya Zhen, yang juga pengecut, terpaksa menyiasat misteri ini selepas menyedari ia mungkin berpunca dari kesilapan Farhan menghantar pesanan yang tidak tepat kepada ‘tuannya’. Dengan bantuan Priya, seorang gadis cantik dan berani, mereka cuba untuk memulihkan keamanan kampung itu.
Lion Girl
- Tarikh Tayangan: 16 September 2024
- Saluran: Astro Ria
- Terbitan: Radius One Sdn Bhd
- Arahan: Shahrulezad Mohameddin
Para Pelakon:
Erysha Emyra sebagai Sakina, Jack Gohr sebagai Ah Bui, Justin Yu sebagai Christopher, dan Preti Kaur sebagai Ivy.

Sinopsis:
Lion Girl mengisahkan Sakina, seorang gadis Melayu remaja yang mempunyai minat mendalam terhadap seni tarian naga, suatu hobi yang tidak lazim bagi kaumnya. Sejak berumur 10 tahun, Sakina terinspirasi untuk mempelajari tarian ini selepas berkenalan dengan Ah Bui, seorang kanak-kanak lelaki Cina yang handal bermain gendang. Namun, impiannya mendapat tentangan daripada ayahnya, Salleh, yang lebih mahukan Sakina meneruskan perniagaan keluarga. Mampukah Sakina mengejar cita-citanya tanpa mengecewakan ayahnya, sambil menghormati tradisi dan identitinya sebagai seorang Muslimah?
Ketiga-tiga telefilem ini bukan sahaja menawarkan hiburan tetapi juga sarat dengan nilai-nilai perpaduan dan semangat cintakan tanah air, sesuai untuk dinikmati sempena sambutan Bulan Merdeka dan Hari Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk menonton tayangan istimewa ini di Astro Ria!