February 24, 2024

KUALA LUMPUR – Setiap kali Ramadan tiba, pasti ada antara kita yang tertunggu-tunggu untuk menonton drama Ramadan yang akan ditayangkan khas di televisyen. Apatah lagi dengan pemilihan plot kisah sedih yang seringkali menjadi pilihan untuk dikongsikan bersama penonton terutamanya dalam menghayati bulan Ramadan yang mulia ini.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV2, Dunia Ria turut membawa tumpuan semua mengikuti dua drama khas bertajuk “Mualaf Ekspress” pada 10 April ini, diikuti “Telah Aku Halalkan” pada 17 April depan dan kedua-duanya menemui penonton pukul 9 malam.

Mengetengahkan pelakon yang semakin meningkat naik, Daniel Fong bergandingan dengan Harissa Adlin, dalam telemovie “Mualaf Ekspress” yang turut menampilkan lakonan Nazia Mustafar, Ropie dan Dato’ Awie.

Paparan kisah yang realitinya berlaku dalam masyarakat kita menerusi dijelmakan dalam watak utama bernama Sean Lee, seorang pemuda berbangsa Cina yang cuba berpuasa sepanjang Ramadan kali ini. Hakikatnya dia melakukan semua ini demi membuktikan kepada keluarga kekasihnya, Sweet bahawa dia sanggup melakukan apa sahaja untuk membuktikan kesungguhan dirinya terhadap kekasihnya itu. Ia termasuklah sanggup berpuasa demi mengekalkan hubungannya dengan Sweet.

Sementara itu, Mak Liza ibu kepada Sweet merancang untuk menjodohkan anak gadisnya itu dengan lelaki bernama Ropie yang juga orang kaya di kampung mereka. Mak Liza beranggapan bahawa Sweet akan lebih bahagia dapat berkahwin dengan lelaki kaya yang serba sempurna.

Untuk mencapai cita-citanya menjodohkan Sweet dengan Ropie, Mak Liza merancang pelbagai helah bersama-sama dengan Ropie untuk menggagalkan cubaan Sean Lee berpuasa. Namun adakah hasrat mereka berjaya? Bagaimana pula Sean Lee menepis cubaan tersebut?

Berganti pula kepada plot kisah kekeluargaan dalam telemovie “Telah Aku Halalkan”. Dengan barisan pelakon berpengalaman termasuklah Ainina Ahmad B, Puteri Balqis, Wan Sharmila, dan Jay Iswazir, penonton diajak turut sama berkongsi rasa dan perasaan seorang ibu yang begitu kecewa dengan anak-anaknya.

Ikuti kisah Mak Munah, seorang ibu tunggal yang mempunyai empat orang anak. Anak-anaknya semuanya telah dewasa tetapi semuanya masih mengharapkan kudrat tuanya untuk memberi khidmat kepada anak-anaknya dengan pelbagai alasan.

Mak Munah berasa sedih dengan apa yang berlaku dalam hidupnya dan berasa hati dengan apa yang telah dilakukan oleh anak-anak terhadap dirinya. Kesudahannya dia memutuskan untuk menyerahkan keseluruhan hartanya kepada pihak Baitulmal setelah kematiannya. Namun masih adakah peluang bagi mereka menuntut keampunan daripada ibu tersayang? Ikuti kesudahan kisahnya di TV2.

Bagi yang terlepas menyaksikan siarannya menerusi saluran TV, luangkan masa menerusi RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).