KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik pop tempatan, The Gadys, sekali lagi menggegarkan industri muzik dengan pelancaran single terbaharu mereka bertajuk Bullseye. Lagu yang dinanti-nantikan ini menampilkan gabungan irama pop elektronik moden dengan lirik bersemangat, sesuai dengan identiti segar dan dinamik kumpulan ini.
Dianggotai oleh Aznie, Ayunie, dan Thamiera, The Gadys mula mencuri perhatian melalui beberapa single popular sebelum ini, termasuk Cuti Raya dan Gagal Cinta. Lagu-lagu mereka kerap menghiasi carta muzik digital, sementara persembahan pentas yang bertenaga dan interaksi mesra menjadikan mereka pilihan peminat generasi muda.
Dihasilkan oleh duo produser Romeo dan Shane Kennedy, Bullseye membawa mesej keyakinan dan usaha untuk mencapai impian tanpa berputus asa. Menurut Aznie, single ini adalah simbol dedikasi dan fokus kumpulan dalam mengejar kerjaya seni mereka.

“Macam kita tengah main dart, nak kena tepat di tengah-tengah bullseye itu. Kalau tak kena pun kita takkan mengalah. Lagu ini simbolik kepada kesungguhan dan keberanian dalam menghadapi cabaran hidup,” katanya.
Pelancaran single ini turut diserikan dengan aktiviti Fan Activation yang diadakan di The Wedge, Petaling Jaya, di mana penggemar berpeluang menyaksikan perjalanan di sebalik pembikinan muzik video (MV) Bullseye.
Perjalanan Rakaman dan Cabaran
Menurut Ayunie, proses rakaman Bullseye mencabar kerana mereka belum pernah membawakan lagu pop rancak seperti ini sebelum ini. Namun, dengan bimbingan vokal dari Cikgu Delly dan penerbit Karazey, mereka berjaya menghasilkan lagu yang memenuhi harapan.
“Prosesnya menyeronokkan walaupun penuh cabaran. Lagu ini adalah simbol keberanian untuk terus percaya pada diri sendiri, walau apa pun rintangannya,” katanya.

Muzik Video Penuh Warna dan Makna
Thamiera pula berkongsi mengenai penghasilan MV Bullseye, yang diarahkan oleh seorang pengarah kreatif berbakat. Setiap elemen visual, dari warna hingga konsep, membawa maksud tersendiri dan mewakili personaliti kumpulan.
“Proses penggambaran memang mencabar, tapi kami mahu pastikan hasilnya sesuai dengan vibe lagu yang energetik dan penuh fokus,” katanya.
Didengar di Semua Platform
Bullseye kini boleh dinikmati di platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Lagu ini dijangka mengukuhkan lagi kedudukan The Gadys sebagai salah satu kumpulan pop terkemuka di Malaysia.