KUALA LUMPUR – Pada 22 November lalu, acara tahunan Anugerah Kancil 2024 telah berlangsung dengan gilang-gemilang. Acara pengiktirafan yang paling dinanti-nantikan dalam industri pengiklanan tempatan kita.
Menariknya, dalam ratusan pemenang diumumkan, projek ‘This is Johan: A BikinSampaiJadi Story’ mencipta pencapaian cukup bermakna dengan membawa pulang trofi tertinggi, merangkul dua Anugerah Emas dalam kategori Filem Fiksyen dan Bukan Fiksyen (5 minit ke atas) serta Pempengaruh dan Kolaborasi.
Penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow, mengakui bahawa kemenangan itu memiliki nilai sentimental tersendiri, berbeza dengan pencapaian yang diraih sebelum ini. Mana tidak, pengiklanan adalah bidang yang sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hatinya.
“Saya amat berbangga dan gembira untuk keseluruhan pasukan di atas anugerah ini. Terima kasih tak terhingga buat Barney (Pengarah Dokumentari) kerana mempercayai visi yang kami perjuangkan.
“Sebagai alumni graduan dalam bidang pengiklanan semasa di kolej dulu, Anugerah Kancil semestinya sasaran teratas buat semua pengamal industri pengiklanan di Malaysia.
“Trofi ini akan saya letakkan di sebelah trofi MTV EMA dan anugerah lain yang pernah saya peroleh dalam bidang muzik sebelum ini,” kata penyanyi lagu ‘CIAO’ itu.
Pencapaian itu semestinya membanggakan keluarga besar di Universal Music Malaysia (UMM) kerana Joe juga adalah Pengarah Urusan Def Jam SEA, label Hip-Hop berpengaruh Asia Tenggara di bawah UMM sendiri.
Ditubuhkan sejak 2019, Def Jam SEA menghimpunkan lebih 25 bakat segar pelbagai latar belakang dari seluruh rantau ini. Joe menjadi tunjang penting melonjakkan lagi label itu ke tahap tertinggi ke arah misi bergelar ‘powerhouse’ di Asia Tenggara.
Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia (UMM), Kim Lim menyifatkan Joe contoh tepat sebagau selebriti sejati yang terbukti memiliki faktor X dan dipercayai kerana impak positif dicetus kepada generasi berbeza.
“Berbeza dengan selebriti tradisional lain yang kebanyakan enggan mendekati dan memahami audiens semasa, Joe Flizzow adalah satu daripada pelopor industri yang kekal relevan dalam kalangan generasi muda.
“Menerusi projek ini, beliau berkongsi kisah peribadi, buah fikiran, dan pengalamannya yang membuka ruang untuk Gen Z dapat menyelami lagi dirinya. Keaslian sebeginilah mereka cari kerana lebih dekat dalam hati.
“UMM percaya bekerja bersama rakan jenama seperti Hotlink yang berkongsi nilai serupa dengan kami mampu gandakan lagi keterbabitan dan berkongsi minat menyatupadukan Gen Z. Kami mahu buka jalan buat mereka ikut serta jadi sebahagian daripada projek besar di masa depan,” katanya.
‘This is Johan: A BikinSampaiJadi Story’ adalah projek di bawah jenama telekomunikasi terkemuka, Hotlink. Dengan misi menjadi Jaguh 5G Termantap Untuk Muzik, Hotlink bertekad mengangkat muzik sebagai bidang yang sangat dekat di hati Gen Z.
Sebagai jenama yang menjurus kepada generasi muda, Hotlink juga berhasrat untuk meraikan mereka yang jaguh berusaha memartabatkan bidang muzik, sambil mengukuhkan ikatan di kalangan generasi tersebut di masa akan datang.
Tidak dinafikan, rasa cinta terhadap muzik sangat mendalam dalam kalangan generasi ini. Bahkan, karya-karya muzik tempatan juga mendapat sokongan padu daripada mereka.
‘This is Johan: A BikinSampaiJadi Story’ mengisahkan tentang perjalanan karier muzik Joe dalam bentuk dokumentari. Istimewanya, ia adalah dokumentari yang pertama dihasilkan berhubung industri Hip-Hop Malaysia.
Proses pembikinan belakang tabir merangkumi temubual selama 400 jam bersama rakan muzik, keluarga dan Joe sendiri. Mengungkap pelbagai sisi perjalanan hidupnya, dokumentari ini membawa penonton melalui saat namanya melonjak naik, kejatuhan yang dilalui dan usaha untuk bangkit semula.
Dokumentari ini dihasilkan dengan kerjasama Mojo Films, Maxis, Universal Music Malaysia dan Publicis Groupe Malaysia, dan ia telah ditayangkan di platform Viu Malaysia.
Anugerah Kancil dianjurkan Pertubuhan Akreditasi Ejen Pengiklanan Malaysia (4As) dan sebanyak 234 anugerah untuk 10 kategori disampaikan pada tahun ini.