JAKARTA, 16 Mei 2025 – Komposer tersohor Yovie Widianto kembali mengusik emosi pendengar menerusi versi terbaharu lagu popularnya, Tanpa Cinta, kali ini berduet bersama penyanyi muda berbakat, Tiara Andini. Lagu yang mengisahkan tentang kepedihan cinta tidak berbalas ini diterbitkan semula di bawah label Universal Music Indonesia.
“Lagu Tanpa Cinta ini menceritakan tentang seseorang yang harus menerima kenyataan bahawa cinta yang diharapkan telah berpaling arah. Ia sebuah kisah tentang melangkah ke depan walaupun terluka,” jelas Yovie Widianto ketika ditemui.
Kolaborasi ini juga menandakan kesinambungan kerjasama antara Yovie dan Tiara selepas kejayaan mereka terdahulu. Menurut Yovie, Tiara adalah pilihan utama untuk membawakan semula lagu ini. “Saya memang mahukan Tiara sejak awal lagi. Dan saya gembira dia bersetuju,” ujarnya.

Bagi Tiara Andini, peluang ini merupakan penghormatan besar. “Lagu ini sangat dekat dengan jiwa saya. Bila papa Yovie ajak, saya terus setuju. Walaupun mencabar, saya puas dengan hasilnya,” katanya.
Susunan muzik lagu ini masih mengekalkan keaslian ciptaan asal namun diberi sentuhan melodi yang lebih segar. Video muziknya pula diarahkan oleh Prialangga, mengetengahkan konsep teaterikal dan visual artistik yang memperkukuh mesej lagu.
“Visualnya ringkas tetapi penuh makna. Ada elemen tarian juga, yang membuatkan hasil akhirnya sangat memuaskan,” tambah Yovie.
Yovie berharap versi baharu ini bukan hanya dikenang sebagai karya nostalgia, tetapi turut menjadi lagu yang relevan dengan generasi masa kini. “Moga lagu ini terus dekat di hati pendengar hari ini,” katanya penuh harapan.
Tanpa Cinta kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital.