December 4, 2024

KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama-sama menghidupkan kempen sambutan Hari Malaysia tahun ini, ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ menerusi program-program yang plot ceritanya terus menyebarkan aura semangat dan kemeriahan disambut tanggal 16 September ini. 

Dengan suntikan elemen perjuangan, jati diri, perpaduan dan kekeluargaan, rasa cinta kepada negara diterjemahkan dalam tiga drama khas yang disiarkan pada 16 September ini menerusi saluran TV1, TV2 dan TV Okey.

Unit Drama TV RTM tampil dengan karya arahan Erfan Zainialdin bertajuk “Puteh Pasir Mantanani”, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV1. Bersama gandingan pelakon cilik Zarra Zhaff dan Eunice Khaw, ia turut dibintangi oleh Sabhi Saddi, Dayang Areeda, Ebi Kornelis, Sherry Merlis, Fikhree Bakar, Wan Walla, Daniesh Suffian, Melati dan Abu Bakar Ellah.

Ia mengisahkan tentang kanak-kanak perempuan, Puteh yang dikatakan lembab dalam pelajaran. Malangnya Puteh juga sering diabaikan oleh keluarganya. Namun kehadiran seorang guru baru, Cikgu Azam di sekolah itu menghadirkan sinar baru dalam hidup kanak-kanak itu. Cikgu Azam menyedari bakat terpendam anak muridnya itu. Dia cuba menggilap bakat dalam sukan lumba lari yang dimiliki oleh Puteh.

Selami semangat dan perjuangan seorang bekas penari, Syah yang terhenti aktivitinya kerana keadaan sakit slipdiscnya. Dalam drama bertajuk “Tari Sama Bayu”, pukul 10.30 malam yang menemui penonton TV2, kisahnya berkembang dengan menonjolkan watak Syah berubah menjadi tenaga pengajar kumpulan pelajar sekolah menengah kawasan jauh dari kemudahan perbandaran dan diulit kehidupan yang bukan sahaja miskin serba kekurangan tetapi berhadapan dengan masalah silih berganti.

Atas semangat berpasukan, mereka telah memenangi pertandingan di peringkat kebangsaan dan kemudian mewakili negara menjuarai dan memenangi beberapa pingat di peringkat antarabangsa “World Cup Dance”. Pelbagai rintangan dihadapi oleh Syah sebelum sampai ke peringkat ini. Syah telah dianugerah oleh pelbagai negara sebagai kreografer / jurulatih tarian budaya terbaik sekaligus mengangkat nama negara Malaysia ke persada dunia menerusi seni budaya.

Drama ini membariskan pelakon Larry Noh D’Kanju, Enn Xaviera, Nora Ting, Sharif Iswan, Abd Razak Abd Karim, Kevin Omiting, Roza Ain Naquiah, dan Matinin Sungkin.

Dengan tajuk unik “Kek Lapis Penganan Pilah”, RTM menerusi saluran TV Okey pada pukul 9.00 malam mengetengahkan lakonan Fazira Shafinaz, Nazim Othman, Datin Fadilah Mansor, Alif Hadi, Ikhlas Jalil dan Kuben Mahadevan.

Penonton diajak mengikuti latar tentang Safiah seorang suri rumah yang berasal dari Sarawak terpaksa mengikut suaminya berhijrah ke Kuala Pilah. Beberapa bulan di tempat baru, Safiah bercadang untuk menghasilkan Kek Lapis Sarawak untuk menambah pendapatan keluarga dan mengisi masa terbuang. 

Kek Lapis Safiah mula mendapat tempahan selepas menggunakan platform media sosial sebagai medan promosi. Ketika itu muncul Zaidi, seorang pengusaha Dodol Melaka yang sering melihat status Kek Lapis Safiah di media sosial mula kurang senang serta merasakan Safiah adalah pesaingnya. Perbalahan perniagaan tercetus antara keduanya. Lalu apakah kesudahannya?

Bagi yang terlepas untuk menonton drama-drama terbaik ini, anda boleh saksikannya siaran bila-bila masa dan dimana sahaja menerusi portal online, RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my). Jangan lupa untuk memuat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.