November 2, 2024

KUALA LUMPUR : Untuk suku tahun pertama 2023, Shiraz Projects Sdn. Bhd dengan bangganya membawakan kepada khalayak sebuah festival yang bakal menggabungkan tiga negara, Malaysia, Indonesia dan Singapura dalam satu lokasi dan kemeriahan pada 4 dan 5 Februari 2023, Sabtu dan Ahad, bermula seawal jam 2 petang di Bandar Malaysia, Sungai Besi.

Festival yang tergendala hampir 3 tahun disebabkan oleh pandemik COVID-19 ini akan kembali dengan lebih meriah dengan barisan nama-nama besar dalam industri tiga negara! Sudah lama rasanya, angin nusantara tidak disatukan dalam nada dan irama yang sejalur dan titian persahabatan ini bakal dijalinkan dalam sebuah festival muzik yang dinamakan Nusa Fest. 

Festival ini bakal menyaksikan kemunculan band-band dan penyanyi solo hebat tiga negara. Pasti peminat seni muzik tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan gabungan ini di satu festival. Untuk dua hari, para penonton bakal disajikan dengan muzik enak dan berkualiti serta barisan nama pemanggung seni yang dekat di hati peminat.

“Pengumuman awal Nusa Fest diawali dengan hanya pengumuman tarikh dan tempat. Tiada nama-nama artis yang diumumkan. Ini menimbulkan pelbagai reaksi dari khalayak. Namun kami percaya bahawa rakyat Malaysia khususnya, memang sentiasa memberikan sokongan yang padu terhadap industri seni tanah air. Buktinya tiket ‘pre sale’ telah habis terjual walaupun kita hanya memberikan hint persembahan tanpa sebarang nama di laman sosial @shirazprojects dan @nusafest.my. Saya percaya bahawa dengan sokongan semua, Nusa Fest akan dapat dijayakan dengan meriah dan menepati konsep festival yang diinginkan,” ujar Shiraz selaku Pengarah Urusan Shiraz Projects. 

Sidang media turut diadakan secara dalam talian membabitkan artis dari Indonesia dan Singapura

Teka-teki siapa yang akan membuat persembahan di Nusa Fest 2023 terjawab apabila pihak penganjur mengumumkan di majlis sidang media bertempat di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, semalam. Pihak Shiraz Projects terus mengharapkan sokongan serta antusias penonton serta peminat seni untuk menyokong Nusa Fest sehingga ke hari persembahan.

Bagi fasa pertama, Nusa Fest akan menampilkan artis dari Malaysia terdiri dari Budak Nakal Hujung Simpang, Bunkface, Forceparkbois, Gerhana Ska Cinta, Iqbal M, Jemson, Salam Musik dan White Percussion Unit. Artis yang diterbangkan khas dari Indonesia terdiri dari Burgerkill, Dipha Barus, Diskoria, .Feast, Fourtwnty, Hindia, Kelompok Penerbang Roket, Kunto Aji, Pusakata dan Ras Muhamad. Manakala The Pinholes adalah satu-satunya artis yang mewakili Singapura.

Bunkface
Jemson
Gerhana Ska Cinta

Menurut Shiraz, pengumuman seterusnya akan dilakukan dari masa ke masa dan semestinya ini akan menambahkan lagi debaran sehingga ke hari festival. 

“Kriteria pemilihan artis yang pertamanya adalah kemampuan artis tersebut membawa peminat mereka untuk datang ke festival ini dan keduanya adalah setiap genre itu mempunyai wakil. Apa yang dapat kita lihat, kita ada semua genre dari metal hingga ke reggae. Penonton atau peminat yang datang, mereka akan dapat merasai semua jenis genre muzik yang dimainkan dalam festival ini,” katanya.

Tiket Pre Sale telah habis dijual dalam masa 5 hari dan tiket Early Bird berharga RM300 telah mula dijual pada hari semalam sehingga 9 Disember ini di www.myticket.asia.

Tiket Bundle Of 4 dijual pada harga RM1200 dan juga Normal Ticket dengan harga RM350 pada 9 Disember ini untuk dua hari persembahan. 

‘Nusa Fest’ ini dianjurkan oleh Shiraz Projects Sdn. Bhd buat julung kalinya untuk memeriahkan lagi industri muzik nusantara.

Forceparkbois
White Percussion Unit
Salam Musik
Iqbal M
Budak Nakal Hujung Simpang