Tiket ‘An Evening With Nadeera’ Habis Terjual Dalam Masa 3 Minit

KUALA LUMPUR, 3 Mei 2025 – Tiket bagi showcase eksklusif ‘An Evening With Nadeera’ habis dijual dalam masa hanya tiga minit selepas kaunter jualan dibuka, sekali gus membuktikan populariti penyanyi berbakat besar itu yang semakin meningkat dalam industri hiburan tanah air.

Showcase tersebut dijadualkan berlangsung pada 30 Mei 2025 (Jumaat), jam 8.30 malam di Nero Event Space, PJPAC 1Utama, dengan kapasiti penonton seramai 300 orang. Ia dianjurkan oleh Usanita Entertainment dan Mask Team.

Menurut Nadeera, beliau sendiri terkejut apabila dimaklumkan oleh pengurusnya bahawa tiket telah habis dijual dalam masa yang sangat singkat. “Saya benar-benar tidak sangka. Saya tertanya-tanya, ada ke orang nak tengok saya? Tapi inilah kuasa Allah. Subhanallah,” ujar beliau penuh syukur.

Nama Nadeera Zaini mula dikenali selepas menyertai program realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa (2012) dan Mentor Legend (2014), di mana beliau menjadi protege kepada penyanyi terkenal Zainal Abidin. Selepas melancarkan single pertamanya “Hasrat Hati” pada 2014, beliau kembali aktif dalam bidang seni bermula 2020.

Kariernya terus bersinar apabila beliau muncul sebagai juara Lagu Cinta Kita Musim Kedua (2020) dan seterusnya menjuarai Big Stage Musim Kelima (2023). Lagu “Bukan Lagi Kita” ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh melonjakkan namanya selepas dipilih sebagai runut bunyi drama Curang Tanpa Niat, sekali gus meraih tempat kedua di Anugerah Juara Lagu ke-39 (2025).

Tahun ini, Nadeera turut merakam lagu tema Gempak Most Wanted Awards 2024 bersama Hael Husaini serta dua lagu raya bertajuk “Meriah Lain Macam” dan “Dam Dim Dum Raya”. Kedua-dua lagu tersebut mencetus fenomena tersendiri dan mengukuhkan kedudukannya sebagai penyanyi wanita tanah air yang semakin menyerlah.

Dalam sidang media baru-baru ini, Nadeera meluahkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan kepadanya. “Ini adalah impian saya sejak sekian lama. Dengan usaha, tawakal dan doa, akhirnya saya diberikan peluang untuk menjayakan showcase sendiri,” katanya.

Showcase An Evening With Nadeera bakal menyajikan penonton dengan lebih 10 lagu yang merangkumi perjalanan seninya dari awal hingga kini. Menariknya, Nadeera turut bakal menyanyikan lagu-lagu ikonik yang tidak pernah dibawa secara langsung sebelum ini, termasuk karya daripada Dato’ Sri Siti Nurhaliza, penyanyi yang menjadi idolanya sejak kecil.

“Kali ini saya nak tampilkan sisi berbeza. Ada lagu-lagu yang saya simpan lama tapi belum berpeluang dinyanyikan. Semua ini dirancang bersama pasukan saya, Rocketfuel, yang juga menyediakan montaj khas tentang perjalanan seni saya,” tambah Nadeera.


Shawn Amer, Nadeera dan Datuk Adzliana Hasan

Mengenai persiapan persembahan, Nadeera berkata beliau akan menukar beberapa persalinan sepanjang persembahan, namun tetap mengekalkan konsep sederhana. “Tak ada sampai lima pasang baju pun, cukup sekadar yang sesuai dengan lagu dan konsep persembahan.”

Nadeera turut berkongsi kenangan bersama arwah ayahnya yang menjadi sumber inspirasi sejak kecil. “Setiap kali saya pulang dari sekolah, arwah abah akan tanya, ‘Hari ni nyanyi lagu apa?’ Beliau banyak mendorong saya untuk belajar dan mencuba lagu-lagu pelbagai genre, termasuk lagu asli.”

Mengakhiri perbualan, Nadeera menitipkan pesanan kepada mereka yang ingin menceburi dunia seni. “Jangan pernah berputus asa. Teruskan berdoa dan percaya bahawa usaha tidak akan mengkhianati hasil. Rezeki itu ada masanya lambat, tapi ia takkan pernah salah alamat.”