January 14, 2025

Icon Entertainment Ucap Terima Kasih Atas Sambutan Luar Biasa

KUALA LUMPUR – Tiket untuk hari kedua konsert GENKRU telah habis dijual dalam masa hanya 45 minit, membuktikan kehebatan sokongan peminat kepada kumpulan trio legenda Malaysia, KRU. Sambutan luar biasa ini mencerminkan kerinduan peminat terhadap persembahan mereka selepas sekian lama.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, tidak dapat menyembunyikan rasa terharu beliau. “Kami amat terharu dengan sambutan ini. Tiket hari pertama habis dijual dalam masa 1 jam, manakala tiket hari kedua pula hanya mengambil masa 45 minit. Ini semua adalah tanda kasih sayang dan penghargaan peminat kepada ikon muzik negara kita, KRU. Saya mewakili Icon Entertainment dan KRU berasa sangat terharu dan ‘speechless’,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya kini berusaha keras untuk memastikan konsert ini memberikan pengalaman terbaik kepada semua peminat.

“Sekarang menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan semua GENKRU yang telah berjuang mendapatkan tiket hari pertama dan kedua akan mendapat kepuasan maksima pada kedua-dua hari konsert tersebut,” tambah Iman.

Konsert GENKRU yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Kuala Lumpur, telah mencetuskan fenomena apabila tiket untuk kedua-dua hari konsert, iaitu pada 3 Mei dan 4 Mei 2025, habis terjual dalam masa yang amat singkat.

Atas permintaan ramai, Icon Entertainment mengumumkan penambahan hari kedua untuk konsert ini, yang menjadikan peminat berpeluang untuk menikmati lebih banyak detik nostalgia bersama KRU. Tiket untuk hari kedua telah dijual pada 23 Disember 2024 bermula jam 3 petang dan terus mendapat sambutan hangat.

Informasi Acara

• Acara: Konsert GENKRU

• Lokasi: Axiata Arena, Kuala Lumpur

• Tarikh: 3 Mei 2025 & 4 Mei 2025

• Masa: 8.30 malam

• Penganjur: Icon Entertainment

Konsert ini dijangka menjadi salah satu acara terbesar dalam kalender muzik Malaysia tahun depan. Bagi peminat yang telah berjaya mendapatkan tiket, pengalaman dua malam penuh nostalgia bersama KRU pasti menjadi momen yang sukar dilupakan!