May 17, 2024

Tiket Konsert Ratu Rock Malaysia Yang Bakal Dianjurkan Di Axiata Arena ‘Sold Out’ Dalam Masa 24 Jam, Memecahkan Rekod Baharu Buat Artis Malaysia

KUALA LUMPURRatu Rock Malaysia, Ella, baharu-baharu ini menjadi bualan hangat apabila beliau memadamkan kesemua kandungan media sosialnya. Beliau seterusnya mengadakan sidang media khas dengan pengumuman tentang konsert ‘JILID AKHIR: ELLA PUTERI KOTA’ bersempena 35 tahun pembabitannya dalam industri seni yang bakal berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 10 Jun 2023 nanti.

Tiket konsert yang mula dijual pada 13 Mac 2023 jam 12:00 tengahari telah terjual sebanyak 50 peratus hanya dalam tempoh 2 jam sahaja. Pihak penganjur Hitman Solutions dan RockQueen terpaksa mengambil langkah untuk menghentikan jualan sementara kerana lebih dari 25,000 orang telah beratur di laman web mengakibatkan proses pembelian menjadi tergendala. Namun, pihak penganjur telah segera menyelesaikannya dan penjualan disambung semula pada jam 5:00 petang.

Ella

Ini sedikitpun tidak mematahkan semangat peminat untuk terus mencuba untuk membeli tiket konsert Ella. Pada jam 7:00 malam, 90 peratus tiket telah terjual dan selebihnya hanya tinggal kategori Rockzone. Secara rasminya tiket konsert JILID AKHIR: ELLA PUTERI KOTA habis terjual kesemuanya pada jam 12:00 tengahari keesokkan harinya pada 14 Mac, menandakan tiket-tiket tersebut ‘sold out’ dalam tempoh 24 jam selepas jualan bermula.

Menurut CEO & pengasas Hitman Solutions, Encik Rohit Rampal, “Tiket ke konsert JILID AKHIR: ELLA PUTERI KOTA ‘sold out’ dalam masa 24 jam sahaja, memecahkan rekod baharu dalam penjualan tiket bagi artis Malaysia yang pernah dianjurkan di Axiata Arena! Kejayaan ini membuktikan bahawa betapa hebatnya peminat-peminat Ella dan saya kagum dengan kesungguhan mereka kerana tidak berputus asa untuk mendapatkan tiket konsert beliau. Ternyata Ella adalah Ratu Rock Negara yang tiada tolok bandingnya!”

“Secara jujurnya, saya sendiri tidak sabar untuk menyaksikan Ella beraksi di atas pentas dan ‘rock out’ bersama peminat-peminatnya pada 10 Jun ini, 8:00 malam di Axiata Arena Bukit Jalil.” Katanya.

Ella bakal mengadakan konsert pada 10 Jun ini

Dalam pada itu, Ella meluahkan rasa syukur di atas penjualan tiket yang sangat luar biasa.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan saya, RockQueen dan juga rakan penganjur, Hitman Solutions dalam menjayakan konsert ini. Saya sangat teruja, berbangga dan bersyukur dengan hasil jualan yang luar biasa ini.”

“Saya juga berterima kasih kepada semua peminat dari seluruh pelusuk dunia, terutamanya dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan juga Brunei di atas semangat mereka yang ingin bersama saya meraikan konsert ini.”

“Ella tidak sabar untuk berikan yang terbaik pada semua, semoga peminat dapat mendoakan kesihatan kesemua pihak yang terlibat agar acara ini menjadi memori yang wajar dikenang.

Bagi mereka yang terlepas peluang untuk mendapatkan tiket, InsyaAllah, pihak pengurusan sedang mempertimbangkan dan akan mencari jalan terbaik untuk memuaskan hati semua. Peace. Love. Rindu.” Katanya.