February 24, 2024

KUALA LUMPUR – Sempat menyapa peminat menerusi konsert sempena 25 tahun keberadaannya dalam industri muzik di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada November tahun lalu, ternyata kemunculan sulungnya pasca pandemik Covid-19 itu belum memadai untuk mengubat sepenuhnya kerinduan Datuk Seri Rossa.

Bagi pemilik nama lengkap Sri Rossa Roslaina Handiyani itu, masih ada yang terbuku dan tidak sempat diluahkan, meskipun konsert itu terus memahat kukuh namanya sebagai antara penghibur Indonesia yang disegani.

Justeru, bagi melunaskan segala yang terbuku di sudut hatinya, Rossa tekad kembali menerusi konsert Another Journey: The Beginning yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Julai depan.

Rossa bakal adakan konsert Another Journey: The Beginning

Ternyata, kemunculannya itu sentiasa dinanti peminat setianya yang digelar Pecinta Rossa apabila semua tiket untuk konsert tersebut habis terjual dalam masa 24 jam.

Akur dengan permintaan ramai, penganjur yang enggan menghampakan peminat diva tersohor Indonesia itu bersedia menambah satu lagi malam konsert iaitu pada 13 Julai depan.

“Banyak faktor perlu dipertimbangkan sebelum menambah satu lagi malam persembahan, termasuk kekosongan lokasi, penyanyi undangan, pemuzik dan pasukan produksi.

“Kami bersyukur kerana impian itu dapat direalisasikan pada 13 Julai depan, sekali gus memberi ruang kepada peminat Rossa untuk bersama-sama berhibur,” kata Pengarah Projek Dream Collaboration, Rama Ananda Ambri.

Konsert Another Journey: The Beginning adalah siri persembahan ketiga dalam rangka Dream Festival Collaboration, selepas meraih sukses luar biasa menerusi konsert pertama menampilkan Nidji dan Budi Doremi, disusuli Wali Band bersama Floor 88 dalam siri Dream Festival Collaboration Vol. 2.

Mengulas mengenai sambutan luar biasa peminat terhadap konsert Another Journey: The Beginning, Rossa, 44, terharu kerana kemunculannya terus dinanti ramai.

Disebabkan enggan menghampakan harapan peminat, dia bersedia untuk beraksi satu malam lagi sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas sokongan luar biasa yang diberikan itu.

Konsert Another Journey: The Beginning kata Rossa, sedikit istimewa kerana tidak hanya membawa peminat menelusuri perjalanan 25 tahun kerjaya muziknya, malah turut memperkenalkan lagu terbaru daripada album yang menggunakan judul sama yang dilancarkan pada Februari lalu.

“Album ini merangkumkan pelbagai emosi dan turun naik saya sebagai manusia sepanjang dunia berdepan pandemik Covid-19. Jika ingin tahu apa yang saya lalui sepanjang dua tahun yang menguji itu, datanglah ke konsert Another Journey: The Beginning pada 13 dan 14 Julai nanti,” katanya.

Rossa bakal bergandingan dengan penyanyi muda dan bakat baharu

Tidak bersendirian, konsert itu menyaksikan Rossa bakal bergandingan dengan penyanyi muda, Rizky Febian pada 13 Julai dan Mahalini Raharja (14 Julai), selain turut memperkenalkan bakat baharu, Zareef Sein.

Mahilini yang sedang popular dengan lagu Sial turut memberikan sentuhannya menerusi lagu Lupakan Cinta yang dimuatkan dalam album Another Journey: The Beginning.

“Untuk kali pertama sepanjang 25 tahun berkarier, saya mengundang beberapa komposer muda berbakat besar untuk bekerjasama dalam pembikinan album ini.

“Ternyata, mereka sangat hebat dan Mahalini antara komposer serta penyanyi muda yang bakatnya sangat luar biasa. Lebih bermakna apabila Mahalini bersedia untuk menjadi sebahagian daripada konsert itu nanti.

“Kemunculan Mahalini, Rizky dan Zareef membuktikan industri muzik tidak ketandusan bakat baharu yang bakal membanggakan Malaysia dan Indonesia. Pastinya akan ada kejutan daripada kami nanti,” katanya.

Sementara itu, Rama Ananda Ambri atau Anda menaruh harapan Dream Festival Collaboration Vol. 3 bersama Rossa dapat menghiburkan seluruh pecinta muzik, sekali gus membekas memori buat penonton yang hadir.

Dream Collaboration dibawakan Inspire.IDN dan didukung oleh HotBox, Chatime, VGI dan Zepp Kuala Lumpur. Tiket untuk persembahan 13 Julai berharga RM178, RM198, RM388, RM508, RM688 dan RM8,888 (Royal Box) boleh diperoleh menerusi pautan: www.ticket2u.com.my bermula semalam, 26 Mei 2023 atau hubungi talian: 016-703 0512 (Inspire).