Tobii dan DOLLA bergabung: AfroBeats bertemu R&B dalam ‘Bad Girls Like You’

KUALA LUMPUR – Kolaborasi muzik rentas sempadan semakin menjadi trend dalam industri muzik global. Terbaru, Tobii, bintang Afrobeats dari Def Jam Thailand, berganding bahu dengan kumpulan sensasi Malaysia, DOLLA, dari Universal Music Malaysia, menerusi versi Inggeris lagu hit “Bad Girls Like You”.

Walaupun berasal dari latar belakang dan negara yang berbeza, Tobii dan DOLLA berkongsi visi muzik yang serupa. Kedua-duanya menggabungkan elemen pop, R&B, dan hip-hop, menghasilkan irama segar dan bertenaga yang menarik minat pendengar muda. Tobii, atau nama sebenarnya Tobias Phuwanai Mattmueller, memadukan melodi soul dengan ritma kontemporari, sementara DOLLA menampilkan campuran R&B dan hip-hop yang catchy, menjadikan muzik mereka relevan dalam pasaran hari ini.

Tobii

Lagu “Bad Girls Like You” telah mencetuskan fenomena di media sosial, khususnya di TikTok. Dengan lebih 3.9 juta video pengguna dan lebih 54.3 juta tontonan, lagu ini menjadi viral dan memperkenalkan bunyi AfroBeats yang unik kepada audiens yang lebih luas. Kejayaan ini telah melonjakkan nama Tobii dalam industri muzik Asia Tenggara, termasuk melalui penampilannya di festival antarabangsa Rolling Loud Thailand.

Kini, Tobii membawa kejayaannya ke tahap seterusnya dengan bekerjasama dengan DOLLA untuk merakamkan versi Inggeris “Bad Girls Like You”. Perkembangan ini bertujuan memperluaskan jangkauan lagu tersebut dan memperkenalkan muziknya kepada pasaran global.

“Sungguh satu penghormatan bagi kami,” ujar Tabby dari DOLLA. “Saya rasa pasukan kami dan Tobii bekerjasama dengan baik. Mereka menjemput kami untuk bergabung dalam versi Inggeris lagu ini, dan kami sangat teruja menjadi sebahagian daripadanya. Ia adalah pengalaman hebat untuk DOLLA dan kami berharap dapat terus berkolaborasi dengan artis antarabangsa lain pada masa hadapan.”

DOLLA

Berkongsi pengalaman rakaman, Sabronzo menambah, “Proses rakaman berjalan dengan lancar. Kami membahagikan lirik dan menentukan arah yang ingin diambil untuk bahagian vokal kami, dan saya rasa hasil akhirnya benar-benar mencerminkan identiti DOLLA.”

Angel turut berharap agar DOLLA dapat mempersembahkan lagu ini secara langsung bersama Tobii di Thailand dalam persembahan mereka yang akan datang.

Versi Inggeris “Bad Girls Like You” (feat. DOLLA) kini boleh didengari di semua platform penstriman digital.