May 22, 2024

KUALA LUMPUR – Filem ‘Misteri Roh Pulau Penunggu’ yang telah ditayangkan melalui Astro First bermula 2 November yang lalu dan telah mendapat pelbagai reaksi positif dari penonton. Namun setiap cerita dihasilkan pastinya ada pelbagai cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh pelakon dan krew produksi bagi menyiapkan karya tersebut dengan sempurna.

Menurut penyanyi dan pelakon filem ‘Misteri Roh Pulau Penunggu’ Raja Farah Afzal Raja Ikram atau lebih dikenali sebagai Tom, dia mengakui pernah diganggu oleh benda misteri sepanjang pembikinan filem tersebut sehingga terpaksa dirawati oleh seorang pengamal ilmu perubatan Islam di set penggambaran.

“Mulanya saya tak percaya sebab penggambaran tersebut dilakukan pada bulan Ramadan, tapi benda tu tetap ada dan mengganggu kami di lokasi penggambaran.

“Kejadian tersebut berlaku ketika Tom berada berdekatan dengan Gua Kajang yang terletak di Lenggong, Perak. Apabila kami selesai penggambaran dan mahu pulang, Tom terasa ada sesuatu yang menolak kepala Tom untuk lihat ke arah lubang gua tersebut. Bila Tom toleh ada semacam kelibat dan Tom terkejut serta menjerit ketakutan.” Ujar Tom yang merupakan bekas peserta Gegar Vaganza musim ke-9.

Kejadian gangguan mistik berlarutan hinggalah Tom dan pelakon lain dalam perjalanan menuju ke tempat penginapan mereka. Namun segalanya selesai setelah dipulihkan semula oleh seorang pengamal ilmu perubatan Islam yang berada di kawasan tersebut.

Selain Tom, barisan pelakon-pelakon lain yang terlibat dalam menjayakan filem ini adalah Keena Mentor, Putra Amaris, Erul AF9, Azlee Senario, Faizal Gegar Lawak dan tamai lagi. Filem bergenre seram ini diarahkan oleh Shahridan Popeye dan diterbitkan oleh Advance Ideas Concept Sdn Bhd.

Sementara itu, penerbit filem ‘Misteri Roh Pulau Penunggu’ ini, Dato Rosli Hj Bujang membuka peluang kepada penonton bertuah yang melanggan filem berkenaan di Asto first secara eksklusif.

Penonton bukan sahaja berpeluang memenangi hadiah menarik seperti kepingan emas hampir 1 gram bahkan dari setiap langganan penonton juga akan disumbangkan kepada Tabung Amanah Anak Palestin Yayasan Nurjiwa.

“Kami sasarkan kutipan lebih daripada RM300,000 di mana sebahagian daripadanya akan disumbangkan kepada Yayasan Nurjiwa yang dikendalikan penyanyi tersohor negara, Dato Seri Siti Nurhaliza, “ ujar Rosli sewaktu diadakan majlis sidang media yang berlangsung di Hotel JW Marriot pada 3 November, lalu.

Turut hadir rakan kongsinya, Dato Zamrud Misdi dan barisan pelakon terlibat antaranya Putra Amaris, Keena Mentor, Tom GV9, Erul AF9, Azlee Senario, Faizzal Gegar Lawak dan pengarahnya, Shahridan Popeye.

Menurut Rosli dalam usaha mengumpul dana, penerbit filem ini, Advance Idea Concept Sdn Bhd akan mengadakan cabutan bertuah setiap 3 hari sekali bermula 7 November 2023 kepada penonton yang melanggan filem berkenaan di Astro First.

Pelbagai hadiah menarik bakal diberikan kepada penonton yang bertuah. Hadiah turut disumbangkan oleh Fingold, Bateriku.com, JW Marriot hotel dan banyak lagi.

Filem yang mengisahkan sekumpulan pelajar dari golongan elit yang sangat sosial dan tidak begitu berminat untuk belajar. Antaranya adalah Ammar seorang remaja kolej yang suka mengkaji tentang kewujudan roh misteri pulau penunggu dan susuk penampakan. Ammar tidak mempercayai tentang kewujudan makhluk-makhluk halus yang sentiasa wujud di sekeliling manusia untuk menyesatkan mereka.

Ekpedisi mencari roh dan penampakan itu mendapat sokongan kawan-kawannya. Johan, Keena, Aida, Hezry, Faizal, Tom dan Farhan. Mereka kemudian meredah Tasik Banding dan menginap disalah sebuah pulau yang mempunyai rumah banglo lama yang terbiar.

Ketika berada dirumah itu bermulalah bermacam peristiwa kerana mereka semua sebenarnya dilarang memijak kaki di pulau tersebut yang di penuhi dengan Penunggu, hantu dan juga roh.

Melalui berita mereka menemui misteri pulau penunggu tetapi berbagai peristiwa pelik berlaku apabila mereka di kuasai hantu dan roh-roh kejam di pulau tersebut. Malah Aida yang suka berselfie sudah merakam satu lembaga putih yang telah merasuknya. Begitu juga dengan Hezry yang terserempak dengan hantu seorang perempuan dan dia mula dikuasai oleh hantu itu yang menganggap dia adalah suaminya. Akhirnya Hezry dibunuh hantu itu yang meratah jasadnya.

Segala perisiwa dan kemunculan roh, bermula apabila Ammar mengajak mereka ke pulau tersebut untuk ekspedisi menyiapkan tugasan matapelajaran sejarah di kolejnya. Tetapi mereka semua tetap melawan roh-roh jahat itu yang akhirnya semua mati dalam keadaan tragis, kecuali Keena yang terselamat.

Keena telah mengalami koma, setelah sedar dari koma barulah Keena tahu segala kejadian pulau penunggu dalam ilusinya ketika koma. Sebenarnya rakan-rakannya semua mati ketika bot mereka karam sebaik berlepas dari pengkalan untuk ke Pulau penunggu tersebut kecuali Keena yang diselamatkan oleh penduduk Orang Asli. Keena terjaga di katil sementara Hantu Pulau Penunggu yang berada di bawah katil setia menjaga dan menemaninya.