KUALA LUMPUR – Arena muzik tempatan bakal bergema dengan lagu-lagu popular dua ikon tanah air, Tomok dan Siti Nordiana, yang akan berkongsi pentas dalam konsert penuh nostalgia, “Memori Mungkin Berulang.” Konsert yang dinantikan ini berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Februari 2025, menampilkan gabungan suara dua bintang yang telah menempa nama selama lebih dua dekad dalam industri muzik Malaysia.
Tomok, yang juga penganjur konsert di bawah syarikatnya Popsicle Records, meluahkan rasa terujanya dapat bekerjasama dengan Siti Nordiana buat kali pertama. “Ini satu peluang istimewa untuk kami berdua mengenang perjalanan kerjaya sejak zaman persekolahan. Pelbagai kejutan akan dipersembahkan, termasuk persembahan lagu-lagu hits kami yang diharap mampu mengimbau kenangan manis bersama peminat,” katanya.
Antara persembahan yang dinanti-nantikan adalah tribute istimewa kepada Allahyarham Achik, rakan duet Siti Nordiana dalam lagu-lagu malar segar seperti Memori Berkasih dan Gurauan Berkasih. “Saya akan menyampaikan lagu-lagu ini sebagai penghormatan kepada arwah Achik. Saya yakin peminat akan menyambut baik persembahan ini,” tambah Tomok.
Harga tiket yang ditawarkan bermula serendah RM98 sehingga RM5000 untuk VIP BOX, dan boleh didapati di Ticket2u bermula 28 Oktober 2024. Siti Nordiana pula menyatakan kesyukuran kerana masih berpeluang menyanyi di pentas besar dengan sokongan para peminat yang setia. “Memilih lagu Memori Mungkin Berulang sebagai nadi utama konsert ini adalah pilihan tepat kerana ia sangat dekat di hati saya dan Tomok,” ujarnya.
Dengan gabungan dua penyanyi berbakat ini, Konsert Memori Mungkin Berulang dijangka memberikan pengalaman yang menghidupkan memori lama sambil memperkenalkan muzik ikonik kepada generasi baharu.