Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah bersama SAFI Shayla cipta detik bermakna

Program Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah bersama SAFI Shayla yang berlangsung pada 18 dan 27 Februari lalu telah berjaya menyemarakkan semangat lebih 1,000 murid dengan kehadiran selebriti serta pelbagai aktiviti interaktif menarik. Program ini telah diadakan di SMK Convent (M) Kajang dan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, menjadikannya pengalaman yang penuh manfaat dan inspirasi buat para pelajar.

Dengan sokongan padu daripada TV3, Tonton, DIDIKTV KPM, serta rakan kongsi utama SAFI Shayla, program ini bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mendidik. Murid-murid berpeluang mendekati selebriti kegemaran mereka serta mendapatkan inspirasi dan motivasi untuk menonjolkan potensi sebenar. Pelbagai aktiviti seperti sesi perkongsian ilmu, ceramah pendidikan, serta kesedaran kebersihan diri telah dirangka bagi memberikan impak positif kepada mereka.

SMK Convent (M) Kajang

Turut hadir memeriahkan acara adalah barisan selebriti popular termasuk Malia Baby, Imran Aqil, Nabil Aqil, Aizat Saha, Muaz Zabir, Syahir Shafein, Anim Ezati, Zarif Ghazzi, Sharul Kamal, Fitri Farok, Hakimi Noordin, Shah Sulaiman (Tapau), dan Nisa Kay. Kehadiran mereka bukan sahaja menceriakan suasana tetapi juga memberikan inspirasi melalui perkongsian kisah kejayaan mereka dalam industri hiburan serta peranan pendidikan dan media sosial dalam membentuk kerjaya mereka.

Pelbagai aktiviti interaktif seperti Cergas+, LED Q&A, Uji Bakat Drama, Uji Bakat Berita, Mix & Match, serta Tic Tac Toe telah diadakan bagi mengasah kemahiran komunikasi, keberanian, dan kreativiti murid-murid. Wajah-wajah ceria jelas terpancar apabila mereka menyertai cabaran yang menyeronokkan ini. Selain itu, peserta yang paling menyerlah telah diberikan anugerah khas seperti “Terpaling Sporting”, “Terpaling Heboh”, “Terpaling Drama”, “Terpaling Girl Power”, serta “Rambut Hijab Terpaling Slay”.

Sebagai rakan kongsi utama, SAFI Shayla turut memperkenalkan inisiatif “Sis Shay, Inspirasi Hijabi” yang memberikan pendedahan kepada murid-murid hijabi mengenai kepentingan penjagaan rambut di sebalik hijab. Ini selari dengan objektif SAFI Shayla untuk meningkatkan kesedaran penjagaan diri dalam kalangan remaja perempuan dan memperkasakan keyakinan diri mereka.

Program ini mendapat reaksi positif daripada murid dan guru. Murid-murid menyatakan mereka lebih bersemangat, lebih yakin untuk bersuara, dan lebih berani mengejar impian selepas menyertai program ini. Guru-guru pula menyifatkannya sebagai satu inisiatif bermanfaat yang memberikan impak besar kepada perkembangan murid.

Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya

Menurut Puan Farah Shamsudin, Pengarah Pemasaran Kreatif dan Komunikasi, Rangkaian Televisyen Media Prima, “Kami amat teruja dengan kejayaan program ini dan melihat sendiri impak luar biasa yang diperoleh oleh murid-murid. Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada mereka untuk mengekspresikan kreativiti, tetapi juga membantu mereka menonjolkan potensi sebenar mereka. Dengan sokongan berterusan daripada pihak sekolah dan rakan kongsi seperti SAFI Shayla, kami berhasrat untuk terus memberi impak positif dalam kehidupan mereka.”

Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah bersama SAFI Shayla bukan sekadar program biasa, tetapi satu inisiatif untuk memperkasakan generasi muda. Dengan pelbagai aktiviti interaktif, kehadiran selebriti, serta perkongsian ilmu yang bernilai, program ini terus menjadi platform terbaik untuk mencetuskan perubahan positif dalam kehidupan murid-murid. Nantikan lokasi seterusnya dan sertai keseronokan bersama Tonton Gen+!