Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah Cetus Semangat Di SESERI: 344 Murid Diilhamkan Selebriti Dan SAFI Shayla

KUALA LUMPUR, 28 Mei 2025 – Sekolah Menengah Sains Seri Puteri Kuala Lumpur (SESERI) menjadi pentas penuh inspirasi apabila program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah, anjuran Rangkaian Televisyen Media Prima, berjaya menarik penyertaan 344 murid dari Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5 dalam satu acara penuh warna, keceriaan dan semangat positif, yang berlangsung petang semalam.

Program yang berlangsung dari jam 2.00 hingga 5.30 petang itu menyaksikan kehadiran selebriti popular dan pempengaruh media sosial tanah air seperti Hariz Hamdan, Apich Lo, kumpulan Dukes, Syafiq Adnan, Amirulhakim Lokman, Risk Saidon, Aizat Saha dan Nisa Kay. Mereka bukan sahaja menceriakan suasana, malah turut berkongsi kisah kehidupan dan cabaran masing-masing yang menjadi suntikan semangat buat para pelajar.

Dengan kerjasama TV3, Tonton, DIDIKTV KPM serta rakan penaja utama SAFI Shayla, program ini bertujuan mencetuskan keyakinan diri dan menyemai nilai positif dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Ia memberi tumpuan kepada pembangunan sahsiah diri melalui pendekatan interaktif yang melibatkan pelbagai aktiviti menyeronokkan, antaranya Uji Bakat, Tic Tac Toe dan Mix & Match – semuanya dirancang untuk merangsang komunikasi, kreativiti dan keberanian peserta.

Menurut Encik Ali Iskandar bin Othman, Pengurus Pemasaran Kandungan TV3 & Tonton,

“Kami mahu pelajar alami satu bentuk pembelajaran luar bilik darjah yang menyeronokkan, penuh aktiviti yang mencabar minda dan fizikal. Yang paling penting, mereka dapat mengenali potensi diri dan membina keyakinan. Harapan kami agar program ini bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi pencetus kepada perubahan positif dalam diri mereka.”

Program ini turut menampilkan sesi ceramah istimewa bertajuk “Sis Shay, Inspirasi Hijabi” oleh SAFI Shayla, yang memfokuskan kepada penjagaan diri dan pembinaan keyakinan diri dalam kalangan remaja perempuan, khususnya yang berhijab. Para pelajar diberi pendedahan mengenai penjagaan rambut di sebalik tudung, sejajar dengan mesej utama SAFI Shayla – “Keyakinan Bermula dari Penjagaan Diri.”

Majlis turut dihadiri oleh Puan Rozaina Mahmod, Pengurus Hal Ehwal Korporat dan Kawalselia SAFI, serta Puan Norzila binti Ali Musa, Pengetua SESERI, yang menyambut baik inisiatif ini sebagai satu langkah memperkasa pelajar dari pelbagai aspek.

Dengan sokongan padu daripada rakan kolaborasi dan kehadiran ikon-ikon inspirasi, Tonton Gen+ Suai Kenal Sekolah membuktikan bahawa pengalaman luar bilik darjah mampu membentuk keyakinan serta menyemai aspirasi tinggi dalam kalangan pelajar. Program ini bukan sekadar acara tahunan – ia adalah platform mencorak masa depan anak muda Malaysia.